Isnin, 25 Mei 2009

Kemelut Terengganu : Bolehkah ia diselesaikan?



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah (citra_bangsa@yahoo.com)

TULISAN Abdul Halim Yusoff dalam Berita Harian hari ini (Isnin, 25 Mei 2009) bertajuk Kemelut politik Umno Terengganu jauh daripada penyelesaian, menarik perhatian saya.
Selepas sesi bertentangan mata dan mencurah rasa hati antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua lapan ketua bahagian Umno negeri dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Putrajaya pada malam Rabu, 19 Mei 2009 lalu, khabarnya ia menjadi medan melepaskan geram.
Ada satu sahaja cara untuk menamatkan kekeruhan ini, percepatkan pendakwaan, kalau ada kes terhadap dalang yang menghantar sms bernada ugutan kepada tiga ADUN hingga menyebabkan 10 ADUN yang sihat, tidak hadir ke persidangan DUN Terengganu, 14 April lalu.
Apakah status penyiasatan terhadap Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zuber apabila polis menggari tangannya setelah gagal menyerah diri walaupun diberi masa yang cukup oleh pihak polis? Di Terengganu, dalam era kepimpinan Datuk Seri Idris Jusoh atau DSIJ, Dr. Ahmad Ramzi dilihat sebagai pakar dalam menyusun pelbagai strategi.
Khabarnya, melonjakkan nama DSIJ sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia juga adalah idea Dr. Ahmad Ramzi dan khabarnya dia juga mempunyai peranan penting di Ibu Pejabat Umno sebelum dia tertangkap dengan isu sms bernada ugutan ini.
Kalau Hishammuddin mengkaji secara mendalam latar belakang isu ini, tiada sebab mengapa kemelut ini tidak boleh diselesaikan. Amatlah malang kalau Hishammuddin hanya mahu mendengar cerita dari Geng 10 yang menjadi punca kepada masalah ini.
Jika pertukaran pegawai kerajaan negeri mahu diperjuangkan Geng 10 dan DSIJ, apakah perkara yang sama tidak berlaku ketika DSIJ menjadi MB Terengganu dulu? Apakah tidak ada masalah pertukaran pegawai kerajaan termasuk isu SS ketika DSIJ menjadi MB?
Satu perkara yang Hishammuddin perlu tahu ialah usaha pihak-pihak berkenaan mahu menutup cerita dan pekung dalam era kepimpinan DSIJ. Tentu ada yang tidak betul dalam era DSIJ, khususnya soal-soal pembangunan dan tender projek-projek secara runding terus, yang kuasa meluluskannya ada kuasa mutlak Menteri Besar.
Mustahil, tanpa apa-apa sebab, tiba-tiba pihak istana Terengganu enggan menyambung tugas DSIJ sebagai Menteri Besar Terengganu. Mustahil, selama menjadi MB Terengganu dan dalam usaha memprojek DSIJ menjadi pemimpin bertaraf dunia, DSIJ tidak langsung melakukan apa-apa kesilapan dalam pentadbirannya.
Bukan sahaja Hishammuddin, malahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kenalah tahu secara mendalam mengapa ada penolakan terhadap kepimpinan DSIJ yang menyebabkan semua ADUN di Terengganu kecuali Datuk Ahmad Said kononnya menggugut mahu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi.
Kalau benarlah ada di kalangan Exco yang dilantik Datuk Ahmad Said turut menyokong gerakan Geng 10 ini, bermakna Exco-Exco ini yang mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pangkuan Diraja telah memilih untuk menderhaka kepada istana.
Satu isu besar yang Najib, Muhyiddin dan Hishammuddin perlu tahu, kesemua ADUN di Terengganu dipilih oleh DSIJ ketika mereka diletakkan menjadi calon. Memanglah, secara logiknya, mereka tidak akan menyokong Datuk Ahmad tetapi setelah Datuk Ahmad diperkenan menjadi Menteri Besar oleh istana Terengganu, menentang kepimpinan Datuk Ahmad adalah merupakan penderhakaan kepada istana Terengganu.
Malanglah kalau cerita dan umpatan Geng 10 yang diketuai DSIJ menjadi fakta yang diterima pakai oleh Hishammuddin dan anak-anak buahnya yang diberikan tanggungjawab untuk menyiasat dan mendalami masalah atau kemelut politik Terengganu.
Datuk Ahmad Said dan pasukannya juga, termasuk Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Negeri juga perlu diberi peluang menceritakan siapakah sebenarnya Geng 10 ini di Terengganu. Adakah mereka dari kalangan ADUN yang sentiasa bekerja untuk kebajikan rakyat atau sering ke Indonesia kerana berhibur .
Percayalah, semua yang berlaku dirancang begitu rupa dengan niat mahu merosakkan imej dan kreadibiliti Datuk Ahmad Said. Bayangkan jika benar sms bernada ugutan datangnya dari Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, yang disebut-sebut sebagai ketua kepada Geng 10 ini, membuktikan bahawa komplot ini memang mereka rancangan sedemikian rupa.
Mereka sebenarnya tidak pernah puas selagi Umno Terengganu tidak kalah dalam pilihan raya dan mereka tidak akan berhenti selagi Datuk Ahmad Said mereka nampak, selesa sebagai MenteriBesar Terengganu.
Bekas MB Terengganu sebelum ini, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad tentunya boleh menceritakan bagaimana DSIJ ketika menjadi Ketua Pemuda Umno Terengganu, memboikot konvensyen Umno Terengganu. Dari rekod ini, apalah salahnya jika PM bersetuju menghantar DSIJ menjadi duta ke mana-mana negara, khususnya yang jauh-jauh supaya susah untuknya berulang alik ke Besut untuk berjumpa dan berunding dengan Geng 10.

Tiada ulasan: