Oleh Ahmad Hj Ishak
KATA orang-orang tua, kalau kita hendak tahu cerdik atau tidak seseorang, dengarlah dia bercakap.
Itulah sebabnya, ada orang berkata, kalau tak tahu, lebih baik diam dan kalau dengar seseorang itu bercakap, kita akan tahu setakat mana ilmu yang ada pada dirinya.
Samalah dengan kisah ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam yang dikatakan bercakap banyak ketika ADUN-ADUN Terengganu mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, malam Rabu, 19 Mei 2009 yang lalu.
Berita Harian, Isnin 25 Mei 2009 melaporkan, ‘difahamkan dalam pertemuan itu, tiga ADUN, Datuk Rosol Wahid (Ajil dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu), Zakaria Abdullah (Paka) dan Din (Bukit Besi yang tewas bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun) bercakap panjang lebar mengenai politik Terengganu.
Kata satu sumber, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mendengar semua percakapan tidak berhemah Din itu tanpa menjawab sepatah pun kerana Din menyentuh secara langsung kedudukan dirinya sebagai MB Terengganu.
Jika benar dakwaan sumber ini, ia menunjukkan Din Adam mencabar pihak istana Terengganu mengambil tindakan termasuk menarik semula gelaran ‘Datuk’ yang diterimanya, kerana jelas Din mahukan Hishammuddin menggantikan Menteri Besar Terengganu dan menolak kehendak istana Terengganu.
Apakah Din sedar bahawa Hishammuddin dilantik oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan bukan ditugaskan untuk menukarkan Menteri Besar?
Kalau kedudukan Hishammuddin ini pun tidak difahami oleh Din, bagaimana dia boleh dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam era kepimpinan Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) sebagai Menteri Besar Terengganu dahulu?
Orang Terengganu mungkin tidak kenal siapa Din Adam secara dekat. Dia bukan anak jati Dungun. Dia hanya seorang juruteknik rendah dan diberi peluang aktif di Dungun. Kalau sesiapa nak tahu sejarah ‘buruk’ Din Adam, bertanyalah dengan Saudara Roslee Daud yang satu cawangan dengan Din.
Menurut cerita orang-orang yang dekat dengan Roslee, walaupun Roslee memberi laluan kepada Din dalam politik cawangan, Din jenis makan kawan dan bukan makan berkawan.
Jika kita suka makan berkawan, Din pula jenis makan kawan-kawan. Ini diceritakan beberapa orang di DUN Bukit Besi, apabila mereka melihat karenah Din sejak bergelar YB dan menjadi orang kuat DSIJ.
Hari ini, Roslee sudah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Dungun. Din tentunya merasakan kedudukannya sebagai ADUN Bukit Besi tergugat jika Roslee nanti dinamakan sebagai calon di situ.
Itulah sebabnya, Din berusaha sedaya-upaya menuntut jawatan penyelaras DUN diserahkan kepada ADUN dan bukan atas kehendak Ketua Bahagian. Din tidak sedar, perlantikan dan kuasa perlantikan penyelaras DUN bukan termaktub dalam Perlembagaan Umno dan terserahlah kepada Menteri Besar untuk melantik sesiapa yang diyakininya tidak menyulitkan Umno dan BN.
Apakah Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar dan Ketua Kerajaan Negeri Terengganu tidak terasa hati dengan percapakan celupar Din Adam yang didakwa sebagai kawan rapat Hishammuddin itu?
Seorang teman rapat Datuk Ahmad memberitahu, Datuk Ahmad seorang ahli poliitk yang sudah ‘season’ dengan karenah politik. Macam-macam ujian dan halangan sudah dilaluinya. Beliau bukan sahaja terpaksa berdepan dengan dengan Din Adam, malahan, dia berdepan dengan segala-gala ‘gergasi’ politik di Kuala Lumpur dan Terengganu.
Memegang prinsip perjuangannya, orang politik tidak perlu mudah berkecil hati, jauh hati, merajuk hati, terasa hati tetapi perlu berhati-hati membuatkan Datuk Ahmad ‘tersenyum’ mendengar cerita dari tiga ADUN yang membelasahnya di depan Hishammuddin.
Orang Terengganu mungkin menyangka Datuk Ahmad pernah melakukan sesuatu yang tidak wajar kepada Din menyebabkan Din marah kepadanya. Sangkaan itu sebenarnya tidak betul kerana Datuk Ahmad pernah menawarkan Din untuk menjadi Exco Kerajaan Negeri sebaik sahaja Datuk Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Menurut cerita dari mereka yang rapat dengan Datuk Ahmad, Din bukan sahaja tidak menjawab perlawaan Datuk Ahmad itu, malahan, menolak perlawaan itu melalui orang lain kerana mungkin dia merujuk terlebih dahulu kepada bossnya, DSIJ.
Apakah Din tidak tahu bahawa sebagai ADUN yang tidak berjawatan dalam parti, tindak tanduknya janganlah sampai ‘mencederakan parti’.
Din boleh datang dan pergi tetapi Umno perlu menang dalam pilihan raya. Begitu juga Zakaria Abdullah dan Rosol Wahid yang mungkin memasang cita-cita untuk menjadi orang penting dalam Umno tetapi, jelas mereka ditolak di peringkat bahagian.
Din dan Zakaria kalah di Dungun manakala Rosol tewas di Hulu Terengganu. Ketika Rosol menceritakan dia sayangkan Umno lebih dari sayangkan Datuk Ahmad Said, seolah-olah dia mahu orang ramai tahu bahawa dia seorang sahaja yang lebih sayangkan Umno dari pemimpin-pemimpin Umno yang lain.
Kenapa Din terlalu lantang berbanding dengan Rosol dan Zakaria ketika berada di depan Hishammuddin? Ada dakwaan mengatakan Hishammuddin sudah memberi signal kepada kawan-kawannya mahu menamakan Din Adam sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan.
Jika ini benar, Hishammuddin akan melantik Din Adam menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, sahlah dalam Umno, orang menang (Datuk Rosli menang jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun) digugurkan dan yang kalah (Din Adam kalah di tangan Datuk Rosli) diberikan jawatan.
Isnin, 25 Mei 2009
Din Adam Nak Hishammuddin Gantikan MB Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Wan Yusuf Wan Ngah. Aku Ibnu. Aku baca blogmu ni tak cerita benda lain. Ganu-ganu.
Catat Ulasan