Oleh Abdul Ghani Ismail
POLITIK ialah permainan serba mungkin. Dalam Umno, cerita berpuak-puak bukan cerita baru. Di Terengganu misalnya, cerita orang Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) dan orang YAB Datuk Ahmad Said memang wujud.
Malangnya, ketika bermain dengan permainan serba mungkin ini, mereka mengenepikan kepentingan Umno (parti) melebihi kepentingan individu. Datuk Ahmad Said yang sudah diperkenankan perlantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu cuba diganggu-gugat atas nama ‘politiking’.
Apabila terlebih lebih ‘politiking’, jelas Umno menerima kesannya. Rakyat yang memberi kemenangan kepada Umno (BN) dalam PRU 12 yang lalu di Terengganu, kini keluh-kesah dengan permainan dan politikng yang tidak sudah-sudah.
Kepimpinan Datuk Ahmad cuba dirosakkan. Imej Datuk Ahmad cuba disuramkan. Kononnya, Datuk Ahmad perlu diganti. Mereka sebenarnya bukan ‘mengherdik’ pucuk pimpinan Umno tetapi mereka cuba ‘mengoncang’ Istana Terengganu yang tidak memberi perkenan kepada DSIJ menjadi MB Terengganu.
Timbul satu pertanyaan, beranikah Geng 10 atau 10 budak hitam memboikot sidang DUN Terengganu, 14 April yang lalu sekiranya DSIJ tidak bersama-sama mereka? Ada salah seorang ADUN yang menjadi anggota Geng 10 memberitahu, kami bukan ADUN cap ayam. Kami akan lakukan serupa dengan apa yang sudah kami lakukan walaupun DSIJ tidak bersama kami.
Namun kata-kata seorang ADUN itu, yang merasakan dia paling layak di kalangan Geng 10 menjadi MB Terengganu tidak dapat diterima mereka yang berada di kem Datuk Ahmad. Kata mereka yang bersama Datuk Ahmad, mustahil wujud Geng 10, atau Geng apa sahaja kalau tidak mempunyai ketua.
Mereka menyebut bagaimana liciknya DSIJ ‘membuang’ empat ketua bahagian dalam PRU 11, antaranya Datuk Rashid Ngah dan Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor. Dalam PRU 12, DSIJ membuang pula Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan dua orang lagi, (Datuk Jidin dan Datuk Nasir) dipindahkan dari bertanding DUN ke Parlimen.
Ketika DSIJ membuang mereka ini, termasuk Datuk Rahman Bakar, DSIJ sudah membayangkan dia akan bertambah kuat dengan kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Besut, ADUN dan Menteri Besar, selain jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Ahli MT yang dilantik.
Memang seronok ‘membuang’ orang tetapi apabila dirinya ‘terbuang’ dia seperti hilang pedoman. Dia bukan sahaja tidak dapat menerima berita tersebut malahan, budak-budaknya yang disusun sebegitu rupa menjadi ADUN-ADUN, mengugut mahu mengosongkan kerusi DUN.
Siapa yang mereka ugut? Adakah mereka ugut pucuk pimpinan parti di Kuala Lumpur? Atau mereka ugut Istana Terengganu? Hari ini, selepas setahun pilihan raya umum 12 berlalu, kepimpinan Datuk Ahmad Said digoncang. Mereka menggoncang kepimpinan Datuk Ahmad sebagaimana mereka menggoncang pintu pagar Istana Terengganu.
Mereka memboikot sidang DUN Terengganu dengan alasan mereka menerima SMS ugutan dan merasa bimbang dengan keselamatan diri mereka. Malangnya, Cuma tiga ADUN sahaja yang menerima SMS ugutan tersebut tetapi ada tujuh lagi yang turut terasa takut akan keselamatan diri masing-masing.
Memboikot sidang DUN bukan perkara kecil. Mereka sebenarnya merosakkan imej parti. Mereka sebenarnya telah merosakkan nama baik Umno dan mereka tidak pula meminta maaf kepada pucuk pimpinan negeri dan Pusat dengan apa yang mereka telah lakukan.
Malahan, ada pihak yang menganggap Geng 10 ini sebagai hero. Mereka dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjaja cerita buruk mengenai Terengganu. Mereka mahu merosakkan nama baik Negeri Terengganu di mata umum.
Hari ini, banyak pihak mendakwa kemelut ini tidak akan dapat diselesaikan dalam jangka masa yang singkat. Beberapa ADUN menunjuk keberanian memalukan Datuk Ahmad Said di depan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana DSIJ turut hadir sama. Di depan DSIJ, mereka yang masih berketuakan DSIJ membuktikan mereka berjaya memalukan Datuk Ahmad Said.
Air muka Menteri Besar Terengganu berjaya mereka jatuhkan. Ini kerana mereka yang bercakap tidak mengikut adap itu merasakan mereka terpilih menjadi calon dalam PRU 12 yang lalu, bukan kerana Datuk Ahmad Said, sebaliknya mereka dipilih DSIJ.
Maka, atas nama mahu membalas budi DSIJ yang menyebabkan mereka menjadi YB, maka mereka bertindak memalukan Datuk Ahmad.
Apakah pucuk pimpinan tidak nampak permainan ini? Jika Datuk Ahmad diberi peluang memilih calon dalam PRU ke 13 akan datang, wajah-wajah biadap ini tidak perlu dikekalkan lagi. Mereka selama ini bekerja kerana DSIJ dan bukan kerana Umno dan BN.
Mereka lupa, tanpa Umno, DSIJ pun tidak berada di kedudukan yang pernah dia nikmati. Mereka buat-buat lupa, tanpa BN, DSIJ tidak akan menjamah kerusi Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Pengerusi MARA. Mereka lupa, tanpa Umno dan BN, DSIJ sudah lama duduk di kedai menguruskan perniagaan keluarganya.
Bila menyertai Umno, mereka terikat dengan disiplin. Sidang DUN mesti mereka hadiri tanpa gagal. Jika mereka tidak boleh menghadiri sidang DUN satu permohonan cuti mestilah dibuat kepada Speaker dan ketua parti perlu dimaklumkan. Malangnya, mereka bertindak seperti budak-budak tadika yang tidak sukakan cikgu yang mengajar mereka.
Apabila sampai musim pilihan raya, Datuk Ahmad Said perlulah berhati-hati memilih calon yang bakal mewakili Umno dan BN. Jika tidak, rakyat akan menanggung kerugian, memilih wakil mereka, yang tidak tahu tugas dan tanggungjawab.
Jika ada di antara mereka yang mahu Menteri Besar digantikan, izinkan mereka mengadap Istana Terengganu dan pesan kepada mereka, jangan goncang pagar Istana tetapi buatlah permohonan untuk mendapat tarikh dan waktu, pengadapan boleh dilakukan.
Isnin, 25 Mei 2009
Kalau Idris Tiada, Beranikah Geng 10 Boikot Sidang DUN?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan