Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
BLOGGER Mubin Ismail dari www.jaranganakmelayu.blogspot.com nampaknya mencemarkan dunia kewartawanan dan moral sebagai seorang wartawan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu apabila menulis walaupun di dalam ‘medianya sendiri’ seolah-olah adap sopan tidak perlu dijaga.
Etika kewartawanan perlu ada kepada setiap diri wartawan, walaupun kita tidak bekerja dengan mana-mana syarkat penerbitan akhbar. Etika ini, mengelak dari dunia kewartawanan dicemari oleh mereka yang tidak beretika, tidak tahu menjaga adap dan sopan dan sebagai wartawan (penulis) kenapa harus menggunakan perkataan yang menghina setiap kali kita menulis?
Kita tentunya mahu diri dan pemikiran kita, sesekali pendirian kita, sebagai wartawan atau penulis dihormati. Jadi, kenapa ketika kita mahu dihormati tetapi kita tidak tahu menghormati? Adakah kita saja yang pandai dalam dunia ini hingga semua orang lain bodoh? Ketika kita berbangga dengan ilmu dan kebolehan yang kita ada, kita jangan pula menghina dan mengherdik ilmu dan kebolehan yang orang lain miliki.
Baguslah kalau Mubin merupakan peramal yang baik dan tepat apabila enam bulan dahulu penulis itu pernah meramalkan bahawa akan ada perubahan bagi penyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Hebatlah! Cuma, tidak ada apa yang hebatnya kalau kita sedar siapa diri kita, kalau setakat jadi peramal ‘orang akan mati selepas hidup’ kerana memang tidak akan ada orang yang boleh kekal dengan jawatan atau boleh terus duduk di atas tanpa turun selama-lamanya.
Kalau Mubin Ismail meramalkan diri dia sendiri pun akan tepat kerana ‘hidup lawannya mati, naik lawannya turun, malam lawannya siang’ dan kenapa harus berbangga sangat dengan ramalan yang kita buat itu tepat? Sedangkan kalau ‘ayam tidak berkokok sekali pun, hari akan siang’. Apakah ayam perlu mendabik dada dengan kata-kata, kalau bukan kerana kokokan aku, mana mungkin hari akan siang.
Malu Mubin. Malu jadi anak Melayu yang bersikap seperti itu. Tak tahulah kalau Mubin memang tidak tahu malu. Tidak ada apa yang perlu diperbahaskan jika YAB Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu diturunkan pangkat dari menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Timbalan Pengerusi sahaja.
Kalau jawatan politik dianggap sebagai ‘sesuatu’ pangkat, musnahlah parti. Sebenarnya jawatan parti, apatah lagi jawatan lantikan adalah ‘amanah’. Mubin juga mempunyai amanah kerana kebolehan dia menulis sepatutnya dipergunakan untuk mengajak seluruh umaah bersatu dan bukan ‘meniupkan lagi api kemarahan’ penyokong-penyokong Datuk Ahmad Said dengan mereka yang tidak menyokongnya.
Datuk Ahmad sebenarnya tidak meminta sesiapa menyokongnya kerana beliau lebih selesa ‘seadanya’ tetapi sokongan yang wajar diberikan kepadanya kerana beliau adalah Menteri Besar Terengganu. Institusi Menteri Besar itulah yang perlu disokong dan bukan batang tubuh Datuk Ahmad Said.
Hari ini, Datuk Ahmad menjadi Menteri Besar, sokonglah beliau kerana kedudukannya itu. Suatu hari nanti, beliau juga tidak selesa kalau orang masih menyokongnya kerana ketika itu beliau mungkin sudah tidak lagi bergelar YAB Datuk Menteri Besar. Waktu itu, Mubin kenalah mengajak semua rakyat menyokong YAB Menteri Besar yang baru, mungkin si A, mungkin si B dan mungkin si C.
Tidak perlu menjadi wartawan yang tidak beretika, mengajak dan mengejek orang supaya memalukan Menteri Besar. Kesannya, bukan Datuk Ahmad Said yang terkena tetapi Umno dan BN Terengganu yang sudah pernah tumbang ekoran terlalu ramai orang yang pandai dan memandai-mandai.
Mubin meramalkan Yahya Khatib bakal menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu lewat tulisannya, enam bulan lalu. Hari ini ia tidak terjadi tetapi tidak mustahil terjadi. Mubin juga meramalkan Menteri Besar akan jatuh, mungkin ia akan terjadi dan mungkin juga Datuk Ahmad Said bukan jatuh kerana ramalan Mubin tetapi kerana kehendak Allah yang menyusun segala perjalanan hidup manusia di dunia dan akhirat.
Betullah kalau Mubin mengaku, dia gatal mulut meminta Datuk Ahmad Said dan gengnya berubah. Berubah sebenarnya tidak membawa kebaikan tetapi yang lebih penting ialah berhijrah. Kita setiap hari berhijrah, sama ada kita sedar atau tidak. Jika kita berjumpa hari Isnin, esok sudah Selasa. Hijrah kita dari Isnin ke Selasa, mudah-mudahan merupakan penghijarahan dari keburukan kepada kebaikan.
Setiap saat sebenarnya Datuk Ahmad Said dan gengnya berhijrah. Hijrah pertama, pertambahan usianya dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari jam ke jam. Cuma, disebabkan ada gangguan kerja-kerja kebaikan yang mahu dilaksanakannya, maka sedikit sebanyak, rakyat yang menanggung akibatnya.
Mubin mungkin seronok kalau Din Adam menjadi Menteri Besar Terengganu tetapi malangnya Din Adam tidak berjaya menumbangkan Datuk Rosli Mat Hassan yang Mubin hina dengan gelaran ‘Doktor Jepun in bracket’ di dalam pertandingan di Bahagian Dungun.
Apa salahnya Datuk Rosli mendapat anugerah kedoktoran dari sebuah university di Jepun? Berdosakah dia menerima dan menggunakan gelaran itu? Adakah dia mengguriskan hati Mubin yang pernah menjadi PA kepada Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu? Memang betul, untuk menjadi PA kepada seorang Exco tidak memerlukan kelulusan SRP tetapi janganlah bila ada orang lain berjaya mendapat apa-apa anugerah, kita jadi sasau, kita hina dia dan kita perlekehkan.
Sekolah mana yang mengajar kita menjadi manusia biadap seperti itu? Dunia kewartawanan mana yang membolehkan kita menghina seseorang tanpa pertimbangan akal budi? Masyarakat mana di dunia ini yang tidak melarang kita menjadi manusia kurang waras dan bebal?
Mubin tidak perlu menuduh Datuk Ahmad Said dan gengnya memandang enteng cadangannya supaya mereka berubah. Bukan semua cadangan dari Mubin boleh diguna pakai. Kalau Mubin pandai membuat cadangan, kenapa Mubin tidak mencadangkan kepada Din Adam supaya jangan berlawan dengan anak Dungun sedangkan kita bukan anak tempatan?
Sudahlah berlawan, berhabis-habis duit, memecah belahkan perpaduan, masalah yang timbul sekarang, mereka yang kalah di peringkat bahagian, tidak dapat menerima kekalahan dan mula meracau. Bukan meracau di bahagian sahaja, tetapi kini sudah melarat ke peringkat negeri dan meracau hingga ke Dewan Undangan Negeri Terengganu, seterusnya memboikot persidangan DUN yang tentunya meletakkan diri mereka benar-benar pemimpin yang tidak tahu tanggungjawab. Mereka dipilih kerana mewakili rakyat tetapi mereka tidak tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Aduh! Sedih.
Dalam tulisan Mubin dalam blognya, jelas Mubin mempunyai niat untuk ‘mempengaruhi Geng 10’ yang tidak hadir persidangan DUN Terengganu untuk menggugat kepimpinan Menteri Besar sekaligus mahu menamatkan karier Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Nasir Ibrahim Fikri, Datuk Roslan Awang Chik, Datuk Zubir Embong dan Datuk Abdul Rahman Bakar. Ada gambar ‘ala Enam Jahanam’ sekali menghiasi blognya!
Dipetik dari : http://bypass308.blogspot.com 28.4.09
Sabtu, 2 Mei 2009
Jadilah wartawan yang tahu etika,tidak biadap,jangan menghina
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan