Khamis, 29 Julai 2010

PERKASA dakwa vendor tak berani edar akhbarnya

Oleh Jimadie Shah Othman

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sedang mengumpul maklumat jualan akbarnya Suara Perkasa ekoran terdapat aduan bahawa pihak vendor tidak berani mengedarkannya.


Ketua editornya berkata, perkara itu mungkin disebabkan pihaknya pernah mendapat amaran keras daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menggesa Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong ditahan bawah akta ISA.

"Setakat ini kita belum dapat lagi maklumat (berapa naskhah terjual)," kata Daud Ibrahim ketika ditanya tentang sambutan terhadap akhbar itu yang sukar ditemui di kedai-kedai.

Dalam edisi sulungnya sebelum ini, akhbar itu bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" - tindakan yang mengundang amaran keras daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia sebagai reaksi kepada laporan The Star yang memetik Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Daud berkata walaupun mengalami sedikit masalah jualan, pihaknya tetap akan meneruskan cetakan sebanyak 30,000 naskah di seluruh negara.

"Kita tidak perlu takut. Kita tidak langgar undang-undang. Kita satu-satunya akhbar yang tak ada main isu politik," katanya.


Walaupun dalam diam-diam, menurut Daud, terbitan akhbar dua kali sebulan itu kini sudah memasuki keluaran ketiga dengan mengikut jadual yang ditetapkan pada setiap 1 dan 15 haribulan.

Sebelum ini, akhbar berharga RM2 di semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak itu hanya dicetak sebanyak 25,000 naskhah.

Edisi kedua Suara Perkara memfokuskan seruan supaya semua orang Melayu bersatu bawah PERKASA, jelas Daud.

Manakala edisi ketiganya pula mengetengahkan isu "pengkhianat bangsa" yang tidak menghormati hak keistimewaan orang Melayu, seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Keluaran 1 Ogos dijadual berada dalam pasaran petang ini, tambahnya lagi.

--malaysiakini

Tiada ulasan: