Selasa, 3 Ogos 2010

Polis ambil keterangan editor Merdeka Review


Oleh
Abdul Rahim Sabri

Editor portal berita Merdeka Review versi Bahasa Melayu, Lim Hong Siang memberi keterangan di ibupejabat polis (IPD) Dang Wangi berhubung siasatan dakwaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terhadap setiausaha agung MCA Chai Kim Seng yang didakwa mengeluarkan satu kenyataan yang berbaur hasutan pada 1 Julai lalu.


Lim yang ditemani peguam Ngeow Chow Ying memasuki bangunan bersebelahan dengan IPD Dang Wangi kira-kira jam 11.20 pagi.

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar dilapor mendakwa Chai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, malah menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan di kalangan ahli pertubuhan itu dan orang Melayu yang menyokong PERKASA.

Kenyataan Chai bertarikh 1 Julai itu menyatakan bahawa "Pemuda MCA akan menyerang balas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA".

Lim memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kanan jenayah IPD Dang Wangi Suhaimi Muhamad.

Ketika ditemui Malaysiakini selepas itu, peguam Ngeow menjelaskan anak guamnya hadir sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung kenyataan Chai itu.

Manakala Lim pula berkata dalam keterangannya dalam tempoh lebih satu jam itu adalah tertumpu kepada menjelaskan kewujudan dua versi kenyataan Chai pada emel dan lampiran yang disertakan serta perkataan "celaka" dalam bahasa Cina.


"Lampiran pada emel daripada pihak (Pemuda) MCA ada perkataan "memang celaka betul", tetapi dalam emel (itu sendiri) tidak ada," katanya.

Menurut Lim, kenyataan pada emel itu berbunyi "kalau tak diambil tindakan terhadap pertubuhan ini, maka merbahaya untuk keselamatan negara".

Kata Lim, beliau membuat penterjemahan berdasarkan kepada lampiran pada emel tersebut.

"Saya tidak perasan. Pada kebiasaannya, kenyataan akhbar pada emel dan lampiran adalah sama. Saya tidak perasan. Kebetulan saya pilih yang lampiran," katanya.
Menurut Lim lagi, beliau turut menjelaskan kepada pegawai penyiasat itu berhubung pemilihan perkataan "celaka" yang diterjemah dari kenyataan Chai dalam bahasa Cina.

Katanya, perkataaan itu "lebih sesuai" berbanding maksud sebenar yang didakwanya "lebih teruk" jika digunakan.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula untuk memberi keterangan, Lim berkata pegawai penyiasat tidak memberitahunya apa-apa berhubung perkara tersebut.

Malah, editor anak kelahiran Muar itu berkata beliau bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya ia diperlukan.

Dalam perkara berkaitan, Lim turut memberitahu Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dan Chai telah memberi keterangan berhubung perkara tersebut pada 9 Julai lalu sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Lim dan peguamnya beredar dari IPD Dang Wangi pada kira-kira jam 12.30 tengahari.

--malaysiakini

Tiada ulasan: