Khamis, 29 Julai 2010

Suara Perkasa 'usik' Ka Siong lagi

Oleh Jimadie Shah Othman

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terus 'mengusik' Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dalam akhbar rasminya Suara Perkasa.

Dalam keluaran keduanya (kanan) bertarikh 16 Julai, akhbar itu antaranya melaporkan di muka depannya, lebih 50 pengundi di Air Hitam membantah keengganan Wee - wakil rakyat kawasan itu - memohon maaf berhubung isu biasaswa kepada pelajar Melayu dan bumiputera.

Ia disuarakan melalui satu memorandum yang menyifatkan "tindakan Ka Siong sebagai wakil rakyat BN sebagai amat memalukan".

"Tindakan Ka Siong itu mencerminkan beliau telah hilang kredibeliti sebagai wakil rakyat dan tidak komited kepada perjuangan kerajaan. Justeru Ka Siong patut segera meletakkan jawatan.

"Kami pengundi dalam kawasan Ayer Hitam juga telah lama diabaikan kerana beliau (Ka Siong) telah menghabiskan lebih setahun setengah untuk memberikan tumpuan kepada krisis dalaman MCA daripada memberikan tumpuan terhadap tugas dan tanggunggjawab yang diamanahkan untuk pengundi di sini.

"Malah, kecacatan moral beliau juga agak menonjol dalam krisis dalaman parti itu dan turut menjejaskan prestasi dan kredibelitinya sebagai wakil rakyat.

"Justeru itu kami mohon kepada kerajaan yang ada sekarang menamatkan jawatan beliau sebagai timbalan menteri pelajaran," wakil penduduk Siti Rosnani Maskan dipetik sebagai berkata kepada Suara Perkasa.

Dalam edisi sulungnya sebelum ini, akhbar itu dilihat bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" - tindakan yang mengundang amaran keras daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia sebagai reaksi kepada laporan The Star yang memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sementara itu, isu kontroversi tersebut terus diheret dalam keluaran terbaru Suara Perkasa bertarikh 1 Ogos (kiri) yang dijadual berada dalam pasaran petang ini.

Bagaimanapun, kali ini, 'serangan' terhadap Wee - yang didakwa "sengaja mencari populariti dengan politik perkauman apabila menolak pelawaaan untuk berdiolog" dengan PERKASA - dimuatkan di muka belakang sekali.

Dalam laporan itu, ketua wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah dilaporkan menganggap Wee sebagai tidak ikhlas untuk menjernihkan suasana berhubung isu biasiswa Mara tersebut.

"Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan kerana jika dia tahu dia tidak buat apa-apa salah kepada orang Melayu, kenapa nak takut berdiolog?" Arman Azha dipetik sebagai berkata.

--malaysiakini

Tiada ulasan: