KUALA TERENGGANU : Persiapan Barisan Nasional (BN) Terengganu kali ini, untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) yang akan datang mestilah mencontohi “rombakan” Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNT). Rombakan besar-besaran itu, termasuk keberanian pucuk pimpinan peringkat negeri dan Pusat menyingkirkan kesemua 10 ADUN BN yang pernah membuat onar dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu beberapa tahun yang lalu. Jika tidak, perkara serupa akan berjalan terus dan tiada siapa yang akan menghormati kepimpinan negeri dan Pusat, kerana mereka tidak pernah “dihukum” kerana melakukan kesalahan dan penderhakaan!
Kepimpinan Menteri Besar Terengganu sekarang, Datuk Seri Ahmad Said kelihatan tenang dan berjaya kerana beliau tidak pernah melayan karenah 10 ADUN biadap tersebut, tetapi sebagai pemimpin di peringkat negeri, beliau kenalah bertindak tegas dan berani. Semua ADUN yang setia dan baik, kenalah diberi peluang semula bertanding kecuali telah melakukan kesalahan dan sudah hilang kelayakan tetapi jangan pula, yang setia disingkirkan, manakala yang derhaka diberikan tempat.
Jika boleh, semua ADUN dalam Parlimen Setiu boleh disingkirkan terus kerana mereka tidak pernah menghormati intitusi parti dan pernah memboikot Persidangan Umno Bahagian Setiu yang dirasmikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Jika mereka tidak berminat lagi, usah diberikan tempat. Ambil orang lain yang lebih baik dari kesemua mereka ini. Mungkin keempat-empat ADUN di bawah Parlimen Setiu melihat bahawa Umno Negeri Terengganu pun tidak berani bertindak terhadap 10 ADUN yang membuat onar dahulu, maka mereka, tidak pernah risau jika membuat onar di Bahagian Setiu.
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak tidak perlu gusar jika beliau terpaksa menyingkirkan Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh. Walaupun Idris tidak dilihat secara terang-terangan membuat onar, tetapi beliau pernah hadir berucap di majlis-majlis yang dianjurkan budak-budaknya untuk menyerang kepimpinan Ahmad Said. Di Dungun, ADUN Bukit Besi dan ADUN Paka tidak perlu dikekalkan lagi.
Walaupun salah seorang darinya dilihat menjadi kawan rapat Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tetapi apa yang telah dia lakukan terhadap Umno dan BN di Terengganu, tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Mereka berhempas pulas mahu menjatuhkan Ahmad dari kerusi Menteri Besar. Satu ketika, mereka berjaya membuatkan Presiden Umno menukarkan kepimpinan Umno Negeri dari tangan Menteri Besar kepada Hishammuddin.
Kemudian, mereka menggunakan pelbagai cara, termasuk media baru menyerang kepimpinan Ahmad, kononnya Ahmad akan digugurkan dari jawatan Menteri Besar. Hari ini, jika perlu, Najib boleh meletakkan semula Datuk Rahman Bakar sebagai calon BN di Parlimen Marang. Rekod telah membuktikan, Rahman dua kali pernah menewaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang.
Cuma, kemenangan Rahman itu tidak menyenangkan hari Idris Jusoh hingga menyebabkan dia menggugurkan Rahman dan digantikan dengan Setiausaha Politiknya, Dr Mohd Ramzi yang pernah disabitkan kesalahan memfitnah. Menteri Besar Terengganu juga perlu mencari seorang calon yang layak untuk diketengahkan di Parlimen Kuala Terengganu, jika Wan Farid sudah tidak diterima pengundi. Lain-lain ketua bahagian, perlulah diberi peluang bertanding kecuali Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Nasir Ibrahim. Jika BN Terengganu berani membuat transformasi, Insyaallah kemenangan yang dicapai akan lebih cemerlang lagi berbanding PRU 12 yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan