Ahad, 10 Jun 2012

Kaki, bila hilang baru kita terasa


Oleh Wan Noriah Wan Syukor




KITA kena hilang kaki baru kita terasa nikmat adanya kaki. Kita kena hilang mata, baru kita tahu nikmatnya penglihatan. Kita kena hilang tangan, baru kita tahu nikmanya mempunyai tangan. Dan kita kena hilang peluang membuat pinjaman PTPTN baru kita tahu betapa susahnya bila pinjaman itu tidak didapati.

Jadi, kalau kita tidak tahu nikmat sesuatu yang diberikan kepada kita, janganlah kita mengada-ngada. Usahlah kita berdemontrasi kerana mahu memansuhkan PTPTN. Bila pihak Kementerian Pengajian Tinggi menangguh sementara pemberian pinjaman PTPTN, barulah bertempik, kononnya mahu menjual aset negeri Selangor bagi tujuan menyelesaikan masalah pelajar-pelajar Unisel.

PTPTN bukan segala-galanya. Ada juga ibu bapa yang tidak memerlukan pinjaman PTPTN untuk anak-anak mereka. Tak apalah. Tetapi bagi yang kurang mampu, mereka amat-amat berharap dengan PTPTN, pelajaran anak-anak mereka tidak terganggu.

PTPTN sedang elok berjalan. Pelajar-pelajar pun dapat belajar dengan tenang. Ibu bapa tidak terbeban dengan keperluan-keperluan mendesak anaka-anak mereka yang sedang belajar, tiba-tiba ada seorang dua “budak-budak dari parti pembangkang” memulakan cerita bahawa jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah, pendidikan percuma mereka janjikan.

Maka, mahasiswa yang masih belum matang, atau dalam bahasa mudah faham, masih belum cukup masak, menawarkan diri untuk berdemontrasi. Mereka terpedaya dengan cakap-cakap pembangkang itu. Mereka sanggup keluar dari dewan kuliah hanya mahu merancang mengadakan tunjuk perasaan, menentang kerajaan yang ada.

Zaman mereka belajar, mereka tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh. Mereka nak jadi apa nanti kalau mereka sudah kena buang dari pengajian? Mereka akan jadi manusia yang merosakan orang lain. Mereka menjadi mahkluk perosak. Kehadiran mereka akan menjadikan pihak lain kucar-kacir.

Sudah terbukti kini, mereka yang beria-ia sangat mahu menyibukkan diri dengan demontrasi akhirnya menjadi perosak kini. Zaman mereka belajar mereka sia-siakan. Kawan-kawan mereka yang tidak terpengaruh dengan aktiviti mereka ini, kini menjadi orang yang hebat-hebat kerana mereka menggunakan peluang belajar sepenuhnya.

Sepatutnya, mahasiswa yang dikatakan bijak ini kena belajar dari sejarah. Kemana bekas-bekas pelajar yang asyik sibuk berdemontrasi dulu? Ada yang sering berseluar pendek dan tidak diketahui agamanya masih Islam atau tidak, walaupun namanya Melayu.

Itulah sebabnya, para pelajar ini disifatkan sebagai tidak matang. Mereka bukan sahaja kurang ilmu, malahan mereka beranggapan maklumat yang mereka miliki itu sebagai ilmu. Mereka tak dapat membezakan antara maklumat dengan ilmu. Maka, disebabkan kurang ilmu, maka maklumat yang mereka dapat tidak ditapis.

Jadi, janganlah sampai bila sudah hilang kuasa Melayu, baru kita terfikir bahawa betapa nikmatnya jika kita terus berada di dalam kuasa politik Melayu. Malangnya, ketika kita ingat semua itu, baru kita sedar bahawa segala-galanya sudah tiada lagi.

Tiada ulasan: