Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)
KENAPA ada orang dari kalangan Umno mahu mendesak Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil supaya melepaskan jawatannya? Siapa suruh mereka bercakap mengenai perletakan jawatan ini? Apa hal ni?
Lebih baik, sewaktu Shahrizat bercuti baru-baru ini, mereka yang ditinggalkan menjalankan kerja-kerja parti dan menyiapkan bilik gerakan dengan laporan. Bila ketua balik bekerja selepas habis bercuti, beri laporan apa yang mereka buat selama tiga minggu, sejak ketiadaan ketua.
Yang patut desak Shahrizat melepaskan jawatannya ialah pembangkang. Ini memang kerja mereka. Kenapa ada di kalangan Wanita Umno sendiri, sibuk-sibuk membuat kerja pembangkang? Siapa suruh? Apakah kalau Shahrizat melepaskan jawatannya, ada jaminan Umno dan BN menang 100 peratus dalam PRU 13 akan datang?
Shahrizat yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan supaya melepaskan jawatan Ketua Wanita Umno dan menteri Kabinet.
Semua pihak kena hormati pendirian Shahrizat ini. Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merasakan Shahrizat kena berhenti, beliaulah yang sepatutnya buat keputusan kerana selalunya, sebelum pilihan raya Perdana Menteri akan membuat rombakan kabinet.
Pihak lain, termasuk mereka yang ada jawatan dalam Wanita Umno tidak usah sibuk-sibuk. Buat kerja parti. Isu NFC sedang disiasat oleh polis dan SPRM. Shahrizat bersalah atau tidak, polis dan SPRM akan laporkan kepada Perdana Menteri nanti.
Politik ini “Po...potong, li... libas dan tik.... tikam”. Zalim sungguh politik ini kalau beginilah caranya mereka hendak membunuh karier Shahrizat. Bukan sahaja mereka tidak mempertahankan Shahrizat dari rebah malahan mereka sama-sama mahu memijak-mijak dan menolak Shahrizat.
Kenapa begitu politik Malaysia? Dulu, ada seorang Exco Kerajaan Negeri dalam Selangor, ada tersebar gambar lucahnya. Bukan sahaja orang-orang dalam pembangkang mempertahankannya habis-habisan, malahan, ada yang mengatakan dia teraniaya.
Tapi dalam Umno, yang tidak bersalah disuruh berhenti. Ditekan siang dan malam dan dihambat supaya mengosongkan kerusi. Apa hal ni? Sakit mentalkan orang-orang ini? Apakah mereka ini tidak cerminkan muka mereka bahawa mereka bukannya lebih hebat dari Shahrizat malahan mereka ini pun menang jawatan dalam Wanita Umno kerana “ihsan” Shahrizat.
Shahrizat boleh berhenti dan Shahrizat boleh berundur. Bukan esok, hari ini dan semalam pun beliau boleh berhenti. Begitu juga PM Najib boleh sahaja memecat Shahrizat, bukan esok, malahan hari ini atau semalam, PM Najib boleh melakukannya.
Cuma, tidak payahlah sesiapa sibuk-sibuk mendesak, memberi tekanan dan mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya “Shahrizat perlu meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi dan keluarga”.
Baguslah kalau Shahrizat sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau tidak akan lari dari tanggungjawabnya. Katanya, sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno, beliau mahu memastikan Wanita Umno bersatu dan bersiap sedia menggerakkan jentera pilihan raya.
“Pelbagai cabaran yang dilalui tidak melemahkan saya, sebaliknya ia menguatkan semangat sebagai seorang ketua. Saya tidak akan lari daripada cabaran,” Shahrizat dipetik sebagai berkata demikian baru-baru ini.
Mungkin ada yang sudah tidak lena tidurnya kerana berangan-angan, kalau Shahrizat berundur, tempat Shahrizat akan digantinya. Mungkin juga ada yang tidak sabar-sabar nak jadi menteri Kabinet menggantikan Shahrizat. Ini semua kerja orang yang rendah moralnya dan buruk adapnya.
Shahrizat kena lebih kuat selepas ini. Jangan pedulikan apa orang nak kata. Walaupun Ketua Audit Negara sudah mengesahkan NFC tidak ada melakukan apa-apa penyelewengan tetapi ada berlaku kelemahan, namun mereka yang dengki kepada Shahrizat terus menerus mengganggu Shahrizat.
Sepatutnya, dalam hidup ini, kawan-kawan akan bangkit mempertahankan kita bila kita menghadapi masalah. Malangnya, dalam Wanita Umno, ia menjadi sebaliknya. Kawan yang dianggap sebagai “setia” tiba-tiba mabuk dengan angan-angan nak jadi ketua dan nak jadi menteri Kabinet.
Percayalah, kalau Allah tidak izinkan, angan-angan akan tinggal angan-angan. Kalau Allah tidak berkenan, tungang terbaliklah, tidak akan dapat apa yang dikejar. Ada empat Timbalan Perdana Menteri yang kempunan kerusi Perdana Menteri.
Jadi, sejarah pernah membuktikan bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno juga ramai yang tidak menjamah kerusi Ketua Pergerakan Wanita Umno. Jadi, janganlah baru dua taiga tahun jadi Naib Ketua Wanita Umno, sudah memasang angan-angan nak menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno.
PM Najib dan TPM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin nampaknya tidak kering kaki seluar bekerja menemui rakyat. Malangnya, Wanita Umno yang baru sahaja ditempuh sedikit ujian sudah tidak dapat bertahan. Mereka tidak mampu menjadi benteng mempertahankan parti sendiri.
Seperti ada kecelaruan dalam pemikiran mereka yang menentang Shahrizat sekarang. Mereka bukan sahaja tidak tahu menghormati ketua, malahan, mereka memperlekehkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam hal ini.
Buatlah kerja masing-masing. Kalau ada orang yang pegang jawatan dalam Wanita Umno mahu mengambil tugas dan kuasa Perdana Menteri, mahu memecat Shahrizat, parti Umno yang merupakan parti keramat ini akan hancur.
Kerja PM biarlah PM yang buat. Kerja TPM, biarlah TPM yang buat. Kerja Ketua Wanita, biarlah Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil yang buat. Jadi masalahlah kalau kerja-kerja PM, TPM dan kerja Ketua Wanita ini mahu diambl alih oleh mereka yang perasan mereka bagus sangat.
Apakah mereka yang mendesak Shahrizat melepaskan jawatan ini mempunyai daya tahan dan kemampuan seperti Shahrizat? Rasanya jauh panggang dari api. Maka, eloklah jika mereka buat kerja mereka dan masing-masing memainkan peranan masing-masing.
Cukup-cukuplah! Shahrizat dah teruk kena serang. Janganlah jadi pengkhianat kepada ketua sendiri.
Sabtu, 4 Februari 2012
Shahrizat tidak perlu didesak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan