Oleh Zainal Yusof
PERINGKAT awal, saya malas nak menulis mengenai mahasiswa universiti yang bertindak di luar batasan, mengadakan demontrasi dan bertindak melawan anggota keselamatan.
Tetapi beberapa orang bapa yang sebaya dengan saya, di mana anak-anak mereka masih menuntut di universiti bertemu dengan saya dan menyatakan rasa kecewanya dengan apa yang berlaku kebelakangan ini.
Kata mereka, mereka mencari duit untuk menyekolahkan anak-anak mereka dan bila mereka dapat masuk universiti, bukan sangat kerana kecemerlangan tetapi kerana quota kerajaan memberi tempat kepada anak-anak Melayu untuk masuk ke universiti.
Bapa yang bekerja sebagai guru itu berkata lagi, dia terpaksa berniaga pasar malam, untuk mencari pendapatan tambahan kerana mahu anak-anak hidup selesa dan dapat membeli buku-buku tambahan untuk mereka baca.
Akhirnya, bila seorang demi seorang anak-anaknya dapat melanjutkan pelajaran hingga ke IPTA, sebagai seorang bapa, dia sangat berbangga. Hasil titik peluhnya mendidik anak, akhirnya anak melangkah juga masuk universiti.
Malangnya, dia menjadi risau kebelakangan ini bila ada “parasit” dalam universiti. Ada beberapa orang yang mungkin anak orang kaya dan bapanya senang lenang, tidak mahu menghabiskan pengajian, sebaliknya memilih untuk berdemontrasi di atas jalan raya dan berbaring di tengah-tengah jalan.
Bila polis dan anggota keselamatan menghalang mereka melakukan perkara-perkara tidak betul itu, mereka melawan dan mencabar polis dan anggota keselamatan. Bila polis halang mereka, mereka rakamkan gambar dan video untuk mereka dakwa kononnya polis bertindak kasar kepada mereka.
Orangramai jangan terpengaruh dengan dakwaan budak-budak mentah ini. Polis dan anggota keselamatan bukan masuk ke dalam kolej untuk menyerang dan menghalang mereka belajar. Polis dan anggota keselamatan bukan masuk ke dalam kelas untuk memukul mereka. Polis dan anggota keselamatan bukan masuk ke bilik tidur mereka untuk menyembur gas pemedih mata.
Tidak sama sekali. Polis dan anggota keselamatan menghalang mereka di atas jalan raya di mana jalan raya itu dibuat oleh kerajaan untuk kegunaan lalu lintas, bas, lori, kereta , motosikal dan semua kenderaan, berjalan lancar dan mudah.
Kalau mereka berhimpun di atas jalan raya, ia mengganggu lalulintas. Mungkin ada emak saudara mereka nak bersalin di dalam ambulan, tetapi tersekat dek kerana perbuatan budak-budak mentah dan menyusahkan banyak pihak.
Mereka ini semuanya malas belajar. Mereka dianugerahkan Allah menjadi budak-budak yang cerdik tetapi kecerdikan mereka tidak memberi erti mereka matang. Disebabkan belum matanglah maka mereka bertindak macam kebudak-budakan. Mungkin mereka dihasut oleh pihak yang memang terkenal dengan “hidup dalam demontrasi”.
Kalau mereka hendak berhenti dari menjadi pelajar universiti, berhentilah. Tidak ada sesiapa yang melarang mereka untuk berhenti. Hari-hari mereka boleh berdemontrasi. Mereka boleh berdemontrasi di rumah emak dan bapa mereka dan tentanglah sesiapa yang mereka tidak suka.
Tetapi bila masuk universiti, mereka terikat dengan peraturan. Bila masuk hospital, mereka kena ikut peraturan. Bila masuk sekolah, mereka kena ikut peraturan sekolah. Bila masuk masjid mereka kena ikut peraturan masjid. Bila memandu, mereka kena ikut peraturan memandu.
Mana boleh mereka hendak masuk universiti yang kerajaan buat, mereka nak ikut peraturan yang mereka (pelajar) ini buat?
Kalau sesiapa masuk ke rumah keluarga mereka, bolehkah orang yang datang atau bertamu itu buat sesuka hati mereka? Tentulah tidak boleh. Kalau orang yang datang ke rumah mereka (pelajar-pelajar biadap ini), masuk tanpa memberi salam, tentulah tuan rumah tidak menyenanginya.
Begitulah juga bila masuk universiti. Kena akur dan ikut peraturan dan undang-undang yang universiti buat. Ia dibuat sebelum budak-budak kurang ajar ini masuk sekolah lagi. Peraturan sudah ada sejak lama dahulu.
Peraturan dibuat untuk semua pelajar. Saya percaya kalau bukan kerana peraturan dan disiplin yang pihak universiti buat, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyokong pelajar-pelajar “memberontak” ini juga mungkin tidak dapat ijazah jika universiti tempat dia belajar dulu tidak mempunyai undang-undang dan peraturan.
Sabarlah. Belajarlah. Bukan lama mana. 3 tahun buat diploma dan dua tahun buat ijazah. Lima tahun tidak lama. Kalau mereka bersabar, mereka akan keluar dengan ijazah. Bukan kerana mereka pandai menyebabkan mereka dapat ijazah tetapi kerana bantuan pensyarah, dekan dan disiplin yang diterapkan oleh pihak pemerintah.
Bangun pagi itu pelajaran. Bersihkan tandas selepas digunakan itu pelajaran. Pergi ke sekolah setiap hari itu pelajaran. Berpakain kemas itu pelajaran. Bergaul dan berbaris ketika nak masuk kelas itu pelajaran. Pakai pakaian bersih itu pelajaran. Semua itu disediakan di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
Kerajaan terpaksa mengujudkan Kementerian Pengajian Tinggi yang dahulunya hanya Jabatan Pengajian Tinggi kerana kerajaan mahu memberi peruntukan yang lebih besar kepada universiti dalam mendidik anak bangsa.
Pelajar-pelajar hanya perlu mendisiplinkan diri sahaja dan datanglah belajar. Mereka tidak usah mahu memikirkan soal AUKU kononnya menyekat kebebasan mereka. Masa belajar, memang banyak perkara yang perlu disekat tetapi selepas habis belajar esok, menjeritlah, bertempiklah dan makilah sesiapa yang engkau nak maki, jika itu sesuatu yang boleh memuaskan hati mereka ini.
Malangnya mereka nak tunjuk mereka pandai. Mereka ingat orang lain tidak masuk universiti kerana bodoh dan mereka masuk universiti kerana mereka pandai. Mereka lupa, mereka pandai, mereka selamat, mereka sihat bukan kerana mereka hebat tetapi kerana dasar kerajaan yang membentuk mereka sedemikian.
Kalau mereka dilahirkan di Vietnam atau Bangladesh, mungkin mereka berlantaikan bumi nyata dan beratapkan langit terbuka di waktu lena mereka. Alhamdulilah, mereka yang biadap ini lahir di bumi Malaysia.
Kalau mereka lahir di Libya atau di Somalia, tidak tahulah berapa banyak lalat menghurungi mereka kerana kudis di badan mereka.
Insaflah. Anak-anak yang masih belajar di universiti sekarang, contohi orang yang baik untuk berjaya. Gunakan masa yang ada untuk belajar dan menjadi manusia yang cemerlang dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Balas budi baik kedua ibu bapa dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Bila sudah berjaya, sudah mendapat pekerjaan yang baik, kenanglah jasa kerajaan kerana kerajaan membuat semua ini untuk kita dan generasi akan datang.
Mungkin kita tidak tahu berterima kasih tetapi janganlah kita merosakan apa yang sudah kerajaan buat ini. Undang-undang ini mungkin tidak memberi kebebasan kepada kita tetapi undang-undang ini diperlukan di universiti untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya.
Keluarlah dengan cara baik dari universiti kalau ia tidak memberi kebebasan kepada kita. Tetapi janganlah kita keluar dengan meninggalkan kerosakan sedangkan kita tidak pernah membantu untuk membina universiti itu.
Kita mungkin tidak perlu universiti itu tetapi ada ribuan lagi mahasiswa yang memerlukannya. Jadi, hormatilah hak mereka juga ketika kita mahu melaungkan hak kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan