Khamis, 2 Februari 2012

Kata Anwar kepada Dr M, duduk diam-diam, jaga cucu di rumah

Oleh Wan Yusof Wan Ngah



MEMBACA kenyataan dalam ucapan Ketua Pembangkang di depan masyarakat Cina di Sambutan Tahun Baru Cina di SRJK (C) Jinjang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar dan meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya duduk diam-diam dan jaga cucu di rumah, ada sesuatu yang perlu diulas.

Kenapa Anwar, seorang yang sebelum ini pernah menjadi Presiden ABIM dan dilihat sebagai seorang yang pandai dalam hal ehwal Islam, biasa membaca khutbah yang mungkin sekarang ini sudah tidak dilakukannya lagi, mencerca Dr Mahathir yang pernah berjasa kepadanya di depan masyarakat Cina?

Satu pertanyaan kepada Anwar, walaupaun dia bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri, apakah Dr Mahathir tidak ada jasa kepadanya? Siapa yang membawanya masuk Umno hingga dia menjadi Ahli Parlimen, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran dan Menteri Kewangan sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Betul, Dr Mahathir yang memulakan serangan kepadanya mengenai dakwaan kenyataan yang dibuatnya terhadap Israel, tetapi dalam banyak-banyak serangan yang Anwar terima, kenapa ya, Anwar cukup terasa dengan serangan Dr Mahathir?

Kalau Anwar merasakan dia difitnah oleh Dr. Mahathir, ambilah tindakan mahkamah terhadap Dr. Mahathir. Anwar mempunyai pasukan peguam yang hebat dan tidak ada sebab mengapa dia harus takut untuk kalah di mahkamah.

Dulu, zaman Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, mungkin Anwar takut mahkamah dicengkam oleh Dr Mahathir ini tetapi hari ini, budak-budak kecil pun sudah boleh memaki Dr. Mahathir, tak perlu sesiapa takut lagi untuk menyaman Dr. Mahathir.

Baru-baru ini, ada satu kes menyembur gas pemedih mata kepada Dr Mahathir di Airport Kelantan, orang yang dituduh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan. Maknanya, ketika Dr Mahathir dicederakan pun, mahkamah tidak sependapat untuk menghukum mereka yang melakukannya.

Oleh itu, daripada mengecam Dr Mahathir yang merupakan orang yang pernah “menyuap nasi” ke mulut kita, lebih baiklah menyaman beliau di mahkamah supaya “beliau boleh duduk diam-diam” dan hanya menjawab di mahkamah.

Anwar dan budak-budaknya termasuk Azmin Ali semakin kerap menyerang Dr Mahathir dengan kata-kata yang cukup biadap. Kenapa ya, budak-budak sekarang menjadi biadap? Kenapa ya, budak-budak sekarang tidak tahu menghormati orang tua. Kalau pun berpolitik, berpada-padalah. Janganlah melampau sangat. Entah esok, entah lusa, kita juga akan menjadi tua.

Anwar ada imej yang tercalar. Dia tidak dilihat bersih. Cuma, ketika imejnya tercemar, dia pandai berjanji di depan masyarakat Cina dan India, bahawa jika dia menjadi Perdana Menteri, macam-macam dia akan tabur kepada masyarakat ini yang kononnya selama ini Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bagi.

Dulu, masa Anwar jadi menteri di pelbagai kementerian, banyak mana yang Anwar bagi kepada masyarakat Cina dan India? Boleh Anwar sebutkan. Apakah yang Anwar bagi lebih banyak daripada apa yang Dr Mahathir bagi?

Jangan Anwar kata dia tidak ada kuasa masa itu. Orang yang ada kuasa hanya Perdana Menteri. Jangan cakap macam tu kerana banyak dah menteri-menteri Melayu yang mengkayakan orang-orang Cina termasuklah taikun-taikun ternama di Malaysia kini.
Juga taikun India yang cukup kaya hinggakan nama taikun Melayu jika dibariskan dalam 50 orang terkaya, tidak sampai lima orang.

Jadi, dalam hal ini, kalau Anwar nak caci Dr Mahathir, janganlah di khalayak Cina dan India. Cacilah Dr Mahathir di khalayak Melayu. Kenapa sama-sama Melayu nak menjatuhkan maruah bangsa sendiri di khalayak asing?

Memang khalayak Cina akan bersorak gembira kerana seronok mendengar kejian dan cacian. Begitu juga kalau Dr Mahathir mahu mendapat sorakan dan jeritan begitu, beliau juga boleh mengecam dan menceritakan apa yang dia tahu mengenai Anwar di khalayak Cina dan India, tetapi tentulah ia tidak elok dan tidak baik.

Anwar masih ada satu lagi pusingan membela diri dalam kes liwatnya. Ini tidak ada kena mengena dengan Dr Mahathir kerana dakwaan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan dibuat selepas Dr Mahathir bersara. Jadi, lebih baiklah kalau Anwar “berperang dengan Saiful” daripada berperang dengan Dr Mahathir.

Dalam kes Israel, Anwar kena tahu bahawa PAS selama-lamanya memang menentang Israel dan membela Palestin. Inilah perjuangan orang Islam dan inilah perjuangan rakyat yang bencikan kezaliman, tanpa mengambil kira bangsa dan agama. Jadi, Anwar kenalah jelaskan kepada PAS apa sebenarnya yang dia maksudkan dengan kata-katanya itu.

PAS yang terdesak ingin sama-sama berkuasa dalam politik Malaysia bersama-samam DAP dan PKR mungkin boleh bersetuju dengan pendirian Anwar terhadap Israel. Maklumlah, politik PAS ini sudah menjadi sesumpah, yang boleh berubah-ubah tetapi, rasanya dalam kes Israel, PAS tidak mungkin boleh terikut-ikut dengan cara Anwar.

Jika PAS tidak bertahan dengan prinsip yang selama ini dipegangnya, nescaya berkahirlah riwayat PAS. Kenapa tidak, selama-lamanya, sesiapa sahaja yang pernah mengikuti perkembangan politik PAS, mereka tetap istiqomah memperjuangkan nasib bumi Palestin dan kenapa kali ini, mereka mahu tunduk dengan Anwar?

Jadi, ketika Anwar menyerang Dr Mahathir dan mencadangkan Dr Mahathir supaya duduk diam-diam, adalah lebih baik Anwar juga “duduk diam-diam” kalau main politik hingga mahu mengikhtiraf Israel. Jangan melampau sangat hanya kerana inginkan sokongan luar.
Cuma satu yang saya rasa pelik, kenapa Anwar tidak meninggalkan nasihat supaya duduk diam-diam kepada bekas Setiausaha Politiknya, Senator Mohd Ezam Md Nor, Anuar Shaari, Senator Datuk Nallakarupan dan beberapa bekas orang kanannya yang sudah meninggalkan perjuangannya sekarang?

Apakah Anwar tidak ada cukup keberanian untuk berkata demikian? Atau, Anwar takut untuk menyerang bekas orang-orang kuatnya itu?

Masyarakat Cina yang dilihat menyokong Anwar ini pula, kenapa mereka nak bersorak bila Dr Mahathir diserang? Apa dosa Dr Mahathir kepada mereka? Adakah mereka tidak pernah “termakan” budi baik Dr Mahathir selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Kalau boleh, msyarakat Cina kenalah berkata jujur kepada dirinya dan kepada masyarakatnya bahawa kerana Perdana Menteri Melayulah mereka hidup senang lenang sekarang dan kerana Perdana Menteri Melayulah mereka dapat belajar di SRJK (C) dengan semua gaji guru-guru sekolah Cina ini dibayar oleh kerajaan.

Jangan ingat gaji guru-guru sekolah Cina dibayar oleh taikun-taikun Cina, kerana selama ini orang ramai melihat sekolah Cina ini seperti “otonomi” tetapi, hakikatnya, masih ditanggung kerajaan. Kerajaan mana ya, tentulah kerajaan Barisan Nasional yang sedang mereka caci sekarang.

Cukup! Cukuplah bersandiwara dan bermain wayang Cina. Belajarlah bersyukur walaupun mungkin Anwar berkata kepada mereka, tidak pelru bersyukur tetapi sebagai masyarakat yang sudah bertamadun, tidak susah sebenarnya untuk mengatakan terima kasih dan syukur kepada pihak yang membantu tanpa henti-henti.

Tidak ada apa-apa yang istimewa Anwar Ibrahim kecuali cakap-cakap dan pidatonya yang sering tergantung dan tidak ada apa-apa komitmen!

Tiada ulasan: