Khamis, 16 Februari 2012

Isu NFC : Sabarlah kata Muhyiddin

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)



BEKAS Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad memang suka bercakap. Beliau bercakap banyak perkara dan ada antara perkara yang dicakapkannya itu tidak diperlukan langsung dan cukup-cukuplah membandingkan dengan diri sendiri dalam beberapa kes rujukan.

Kelmarin, Dr Mahathir mencadangkan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil supaya tidak terlalu sayangkan jawatan hingga menyebabkan parti kerugian.

Maksud percakapannya, berhetilah. Semua orang faham apa yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir itu. Kenapa Dr Mahathir bercakap, “contohilah dia yang berhenti bila sudah dengar orang boring” dengan tempoh yang lama dia menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir memang patut berhenti. Bukan sahaja sudah terlalu lama, malahan, sudah banyak masalah yang ditinggalkannya jika makin lama dia menjadi Perdana Menteri.
Dulu, sebaik sahaja dia mengumumkan hendak berhenti, ramai juga yang tidak bersetuju. Bukan kerana tidak bersetuju tetapi mahu mengampu. Itulah sebabnya, bila dia betul-betul dia berhenti, Malaysia seperti baru mencapai kemerdekaan sekali lagi. Terlalu lama di bawah cengkamannya.

Ingat, sebaik sahaja pilihan raya diadakan, BN menang besar. Satu kemenangan yang tidak pernah dicapai oleh BN sebelum ini dan Terengganu yang tumbang ke tangan PAS juga dapat dirampas kembali hanya kerana Dr. Mahathir berundur.

Dalam kes Shahrizat, tidak bolehkah sesiapa yang menyeru dan mendesak beliau berundur supaya belajar bersabar. Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semua pihak kenalah bersabar.
Siasatan sedang dijalankan. Kenapa mahu mendahului siasatan? Kenapa tidak mahu bersabar? Jadi, sebelum ini beberapa orang Umno yang juga membuat desakan supaya Shahrizat berundur dari jawatannya sebagai ketua Pergerakan Wanita Umno dan menteri Kabinet, supaya mengambil serius teguran Muhyiddin.
Bersabarlah. Lagipun, mereka yang beria-ia sangat mahu melihat Shahrizat berhenti dari jawatan itu, tidak akan mampu mengambil alih tugas Shahrizat untuk menerajui sayap kanan parti Umno itu. Apakah mereka semua boleh bersabar?
Ramai yang melihat, Dr Mahathir lebih elok jika dia bercakap mengenai isu-isu antarabangsa. Jangan ganggu hal-hal dalaman. Tak elok sangat kalau kata-katanya nanti dibidas kerana ada yang dia bercakap, tidak menepati.
Dia berhenti setelah 22 tahun “membina dan merosakkan” Malaysia. Jadi, janganlah yang orang baru setahun dua menjadi menteri, dia nak suruh orang berhenti. Dulu, dia asak Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya berhenti. Akhirnya, BN hampir tumpang dikerjakannya.
Muhyiddin tidak mahu mengulas kenyataan Dr Mahathir kerana katanya, masing-masing ada pendapat sendiri. Tetapi, fahamlah, apabila siasatan sedang dijalankan kenapa ada pihak yang mendahuluinya.
Masih ramai, khususnya kalangan Wanita Umno mahukan Dr Mahathir berhenti. Bukan berhenti dari jawatannya tetapi berhenti bercakap. Kata mereka, boleh tolong tak? “Tolong apa,”.... tolong senyappppppppp!
Datuk Seri Shahrizat kena sabar. Kena banyak-banyak bersabar. Nak berhenti, boleh berhenti tetapi jangan berhenti kerana tidak tahan dengan asakan mereka yang cemburu dengan kehebatannya. Kalau nak berhenti, mestilah kerana pendirian sendiri dan pilihan sendiri.

Umno mesti ada seorang pemimpin yang tahan diuji. Umno memerlukan mereka yang kuat dan mampu bertahan. Ini sedikit sahaja. Tapi sengaja diperbesar-besarkan. Benda yang sedikit, diulang-ulang hingga ia seolah-olah macam betul-betul.

Ada seorang menteri meminta NFC pulangkan balik duit kerajaan yang dipinjam? Apa hal menteri ni nak campur? Yang beri pinjam ialah Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri sendiri.

Kalau Datuk Seri Mohd Najib tidak ada mengarahkan apa-apa, kenapa yang lain sibuk-sibuk? Musuh yang ada di depan mata mereka biarkan bebas mengkritik kerajaan, kawan-kawan sepasukan yang mereka cantas dan tikam belakang.

Ubahlah cara berfikir wahai orang-orang Umno! Pertahankan Shahrizat kerana prinsip Umno itu sendiri dan bukan menentang Shahrizat kerana mahu menjadi hero dan mahu menonjolkan diri kononnya mereka bersih.

Tiada ulasan: