Jumaat, 3 Februari 2012

Aduhai Fuziah Salleh, cukup-cukuplah main isu Lynas

Oleh Ahmad Hj Ishak



ORANG Kuantan, bukan semua, tetapi segelintir sudah terpengaruh dengan hasutan yang sering dibuat oleh Ahli Parlimen Kuantan, dari PKR, Fuziah Salleh. Mereka kononnya akan menjadi “tikus makmal” apabila projek Lynas itu bermula.



Pelbagai usaha juga dibuat oleh pihak berkuasa, termasuk penjelasan berkali-kali dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan pegawai-pegawai berkaitan, namun Fuziah seperti tidak pernah berputus asa untuk bergayut kepada isu ini.


Selama empat tahun menjadi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah nampaknya tidak banyak isu yang dibawanya untuk mengekalkan populariti. Namun, nasib dia baik kerana ketika dia tidak henti-henti menyerang projek Lynas ini, Barisan Nasional (BN) yang memerintah Pahang seperti terkedu dan terkaku.


Kadang-kadang, Menteri Besar dilihat berseorang mempertahankan projek ini. Maka, Fuziah membawa beberapa penyokong tegar DAP dan PKR untuk sentiasa menyerang projek yang akan dibangunkan di Gebeng ini.


Kebetulan, tidak ramai yang tahu apa itu Lynas tetapi pihak kerajaan sudah menjalankan penerangan yang terus-menerus untuk memberi tahu rakyat, bahawa apa yang Fuziah dakwa mengenai kesan kepada kehidupan manusia, ternyata tidak ada bukti secara saintifik.


Namun, Fuziah seperti bertuah dalam karier politiknya bila mendapat isu ini. Walaupun dia sendiri bukan pakar dalam bidang ini, tetapi dia mainkan isu ini seolah-olah dia seorang sahaja yang sayangkan penduduk Kuantan, sedangkan orang lain tidak.
Fuziah sebenarnya menang kerusi Parlimen Kuantan kerana dia bertanding menentang calon BN dari MCA. Bila pengundi Melayu lari dari memberi undi kepada BN, maka menanglah dia di situ. Kuantan sebelum ini diwakili Umno tetapi kemudiannya diserahkan kepada MCA bila wujud Parlimen Indera Mahkota.


Dari segi logiknya, Fuziah jika dia bertanding lagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan, amat sukar bainya untuk menang semula.


Cuma, dia seperti ditakuti oleh wakil-wakil rakyat BN di Pahang. Walaupun Pahang adalah negeri di mana datangnya Perdana Menteri, namun apa yang Fuziah lakukan terhadap BN dan Umno seperti tidak mendapat tentangan langsung.
Itulah sebabnya dia semakin berani. PKR tidak banyak pengaruh di Pahang walaupun bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abd Rahman yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kuantan kini sudah menyertai PKR.


Politik BN Pahang memang ada turun naiknya. Pertelingkahan dalaman MCA sejak isu Tan Sri Lim Ah Lek dan kemudiannya Datuk Seri Chan Kong Choy memperlihatkan seperti ada perpecahan dalam MCA.


Suatu ketika PAS dilihat berpengaruh di beberapa kawasan DUN tetapi ia tidak bertahan lama, kerana PAS sendiri ketandusan isu di Pahang, kecuali apabila Umno lemah, mereka mendapat undi dari rakyat dan pemilih.
Hari ini, Fuziah mungkin bergantung kepada Lynas untuk dia kekal menang di Parlimen Kuantan. Betul atau tidak serangannya, dia kena terus menyerang dan memberitahu pengundi Kuantan dia seorang wakil rakyat ada buat kerja dan orang perjuangan.


Kebetulan, rakyat tidak begitu faham dengan Lynas. Maka mudahlah bagi Fuziah membuat pelbagai dakwaan kononnya rakyat Kuantan akan menjadi “tikus makmal” apabila projek itu dilaksanakan. Mustahil, Menteri Besar dan seluruh wakil rakyat BN di Pahang, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak “mahu membunuh” orang Kuantan hanya kerana Lynas. Ini sesuatu yang cukup bodoh kalau kita fikir secara tenang.


Jika benar Lynas berbahaya, mustahil Najib tidak tahu. Mustahil Najib membenarkannya. Mustahil Menteri Besar berani meluluskan dan mustahil tiada seorang pun pakar yang mahu bercakap benar supaya projek ini dilaksanakan.
Kalau benar Lynas ini bahaya, Najib bukan sahaja akan kehilangan Pahang malahan, kehilangan Malaysia. BN akan kalah hanya kerana Lynas dibanngunkan di Pahang. Jadi, kalau Najib benarkan ia diteruskan, menunjukkan bahawa Perdana Menteri tahu projek ini baik dan tidak membahayakan penduduk di kawasan tersebut.
Namun, siang malam Fuziah mahu menyakinkan rakyat bahawa Lynas akan menjadikan penduduk Kuantan sebagai “tikus makmal”. Bahan uji kaji. Betulkah apa yang diperkatakan oleh Fuziah ini? Tentulah jawapannya tidak betul dan dia sebenarnya bermain politik untuk mencari populariti.


Sebenarnya di kalangan pembangkang pun tidak bersetuju dengan Fuziah ini. Itulah sebabnya dalam isu Lynas, pembangkang khususnya PKR tidak menyerang Menteri Besar Pahang seperti mana PKR menyerang Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dalam isu NFC.
Dari segi ini sahaja, rakyat dan orang Kuantan boleh fikir. Kenapa PKR tidak bersatu hati dengan Fuziah dalam perkara ini. Kerana mereka tahu Fuziah tidak tahu banyak apa dia nadir bumi dan Lynas.


Orang Pahang tidak usah risau. Sejarah membuktikan Menteri Besar Pahang adalah “orang yang berada di barisan depan” di dalam membela rakyat sejak sekian lama. Beliau tidak gilakan publisiti dan sedia berdepan dengan pelbagai tohmahan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.


Jika ada yang terpengaruh dengan dakwaan Fuziah, mereka ini pun kurang sihat mentalnya. Mereka juga tidak ada kerja lain dan mereka pun “cari makan” sama seperti Fuziah.

Tiada ulasan: