Oleh Ahmad Hj Ishak
SYUKUR. Ketika Kolumnis Sydney Morning Herald, Andrew Horney mempertahankan apa yang dia tulis mengenai Datin Sri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai benar, kononnya dia ada bukti, tetapi pereka fesyen yang didakwa diterbangkan ke Malaysia, Carl Kapp menafikannya.
Carl Kapp menafikan dakwaan yang dibuat Andrew Horney itu dan kenyataannya yang dihantar ke sebuah portal di Malaysia yang mula-mula menyiarkan laporan fitnah tersebut dapat dibaca di Mstar.com.my Khamis, 26 Januari 2012.
Peringkat awal lagi, saya tidak mahu menerima bulat-bulat dakwaan itu. Pertama, ia datang dari seorang penulis luar negara. Kedua, ada dakwaan mengatakan penulis itu seorang yang buruk dan gay. Ketiga, kenapa kita sebagai orang Malaysia, suka sangat bila ada orang dari luar menyerang orang kita?
Memang ada orang Malaysia yang sengal. Mereka akan menyambut fitnah
dan serangan orang luar dengan tangan terbuka. Mereka akan menyambung fitnah tersebut dan cukup seronok menjadi orang yang menyambung lidah pembangkang.
Lebih-lebih lagi kalau cerita dan fitnah mengenai Datin Sri Rosmah, memang mereka ini cukup berminat. Mereka tidak kisah menerima dosa memfitnah, asalkan hati mereka puas dan matlamat politik sempit mereka tercapai.
Kalau ada penulis seperti saya menegur dan mengingatkan, usah kita sambung fitnah pembangkang dan orang-orang kafir, mereka akan bertanya, berapa Umno bayar kepada kau? Bila kita jawab bukan kerana sesiapa bayar tetapi ini adalah ingatan dari seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain, mereka akan kata, inilah pendapat seseorang yang diternak oleh Umno.
Saya bersumpah saya tidak dikenali oleh Datin Sri Rosmah dan saya juga tidak berhajat untuk mengenali Datin Sri Rosmah. Saya juga bukan terfikir untuk menawarkan diri menjadi calon seperti fitnah yang dilemparkan budak-budak Melayu sengal yang sentiasa mencari bahan fitnah sebagai santapan jiwa mereka.
Cuma saya mahukan semua kita, orang Islam atau bukan Islam, yang melayari portal pro pembangkang, mengambil tahu semua hal tetapi tapislah dahulu sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.
Portal-portal yang meniarkan laporan tersebut, berkemungkinan satu strategi mencari makan cara mereka. Itu kerja mereka. Tetapi kita yang ada asas agama ini, usahlah memanjangkan fitnah yang mereka mulakan. Apa faedahnya?
Nanti akan ada seorang dua ahli politik dari parti pembangkang yang tidak berkelulusan dan rendah akhlaknya menyokong usaha memfitnah ini. Maka, makin menjadi-jadilah fitnah yang dibuat ke atas orang yang tidak sepatutnya difitnah.
Semua orang berhak mendapat maklumat. Tetapi maklumat bukan semuanya betul. Kalau kita berilmu, ilmu yang kita ada itu boleh menapis maklumat. Kalau kita tidak berilmu, janganlah kita memandai-mandai untuk menyambung fitnah yang datangnya dari pelbagai sumber.
Berkali-kali saya tekankan, jangan sambung fitnah orang. Ini kerana saya sebagai seorang Muslim merasakan saya mempunyai tanggungjawab untuk ingat-mengingati. Malangnya, saya diserang dengan pelbagai bahasa yang kasar, biadap dan kurang ajar.
Tidak perlulah saya sebutkan kembali apakah perkataan-perkataan yang mereka ini, kaki sambung fitnah ini gunakan untuk menyerang saya. Saya tidak penting walaupun kadang-kadang, saya juga ada rasa nak marah kepada mereka ini, tetapi saya tidak sanggup kita semua sebagai orang Islam, menanggung dosa memfitnah.
Ingat, dosa memfitnah itu lebih besar dari dosa membunuh. Ini bukan kata saya tetapi ini ajaran Islam, agama yang suci.
Di Malaysia, budaya menerima maklumat melalui media baru ini sudah lebih 10 tahun bermula. Sepatutnya, kematangan seseorang di dalam menerima dan membaca maklumat yang mereka terima, sudah sampai ke satu tahap, dengar (baca) boleh, percaya jangan.
Malangnya, ada yang bersifat seperti orang buta menyentuh gajah. Mereka masih teraba-raba dan mereka akan terima bulat-bulat apa yang mereka terima itu. Lebih buruk mereka sebarkan pula. Mereka sambung fitnah yang mereka terima. Ini kesilapan dan ini dosa besar.
Macam mana mereka yang menyambung fitnah ini mahu meminta maaf dari mangsa yang mereka fitnah itu? Apakah mereka mahu mati bersama-sama dosa fitnah yang mereka buat?
Mereka ini, mungkin juga saya terpaksa gunakan perkataan kasar dan biadap, mungkin diternak oleh parti pembangkang. Mungkin juga minda mereka sudah terbiasa makan dengan maklumat seperti ini, yang jelas tidak benar tetapi mereka yakinkan hati mereka, mengatakan yang tidak benar itu tetap benar asalkan ia menyerang Perdana Menteri dan menyerang isteri Perdana Menteri.
Saya tidak melarang mereka ini melayari portal pembangkang atau portal yang pro pembangkang. Tetapi saya tidak mahu mereka menjadi perkakas pembangkang dan diperbodohkan oleh pembangkan dan portal ini hanya kerana kepentingan politik sempit. Agama Islam tidak membenarkan sama sekali kita berlaku tidak adil kepada seseorang, hanya kerana kita tidak sukakannya.
Belajarlah berkata benar walaupun ia dibuat oleh seseorang yang tidak kita sukai. Kenapa kita nak membenci Datin Sri Rosmah? Tidak adakah kebaikan yang beliau buat selama beliau menjadi isteri Perdana Menteri?
Saya tidak mengajak semua orang memuji Datin Sri Rosmah tetapi kalau kita tidak mahu memuji kebaikan yang beliau buat, kenapa kita mahu memfitnahnya? Apakah kita juga bersedia jika kita atau keluarga kita difitnah?
Saya tidak berniat untuk sama-sama menuduh Kolumnis Sydney Morning Herald, Andrew Horney sebagai pengamal budaya gay kerana saya tidak tahu dan saya tidak mahu memfitnahnya. Tetapi, janganlah hendaknya orang-orang di Malaysia, sama ada mereka penulis, blogger atau rakyat biasa dengan mudah menjadi “penyambung lidah fitnah” yang dibuat oleh orang luar.
Berkata benarlah kita kepada diri kita sendiri dan belajarlah untuk tidak melibatkan diri dengan kerja-kerja fitnah yang mungkin dibuat oleh Yahudi yang mahu memusnahkan umat Islam di Malaysia. Fahaman politik sempit kena dihindarkan dan keluarlah dari tempurung pembangkang yang mengajak kita terus bodoh dan diperbodohkan.
Mereka tidak akan mahu memuji usaha baik yang pihak kerajaan buat dan yang mereka boleh buat ialah berceramah dan mengutuk kerajaan. Yang mereka buat apa? Boleh sebut adakah masjid yang mereka bina bila mereka memerintah di negeri-negeri tertentu?
Kita bersembahyang di masjid mana? Bukankah di masjid yang kerajaan buat.... susah sangatkan kita memikirkan hal ini?
Kita bersekolah di mana? Bukankah kita bersekolah di sekolah yang kerajaan buat? Siapa yang bayar gaji guru-guru yang mengajar kita? Emak dan bapa kitakah? Atau kerajaan yang bayar? Kenapa susah sangat kita nak fikir dan nak berkata benar?
Emak kita melahirkan kita di mana? Bukankah di hospital yang kerajaan buat? Bukan di rumah Ketua Pembangkang ketika emak kita melahirkan kita. Kalau bukan kerana dasar kerajaan yang dipelopori Umno ini, mungkin kita sudah mati ketika dilahirkan dan mungkin kalau hidup pun, kita sekarang ini buta huruf kerana tidak bersekolah.
Kepada Datin Sri Rosmah, usahlah melayan budak-budak sengal ini.... sama ada melalui FB atau blog, mereka ini “cacat otaknya”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan