Oleh Hassan Mohd Hussein
TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kini diserang oleh orang Tengku Razaleigh Hamzah, ekoran kenyataannya mengatakan Umno tidak pernah menyekat ahlinya daripada bercakap sebagai menjawab dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang yang menuduh Umno kini sudah tidak bebas bersuara.
Orang Tengku Razaleigh itu, Muhd Lukhman Ghani yang dikenali sebagai “budak tidak cukup inci” di kalangan orang-orang Umno menyerang Muhyiddin dengan mengatakan Muhyiddin sendiri tidak sedar dia sendiri kini sedang disisih oleh Umno.
Kata Muhd Lukhman Umno meletakkan Perdana Menteri sebagai orang nombor satu, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai orang nombor dua, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai orang nombor tiga, Dati Seri Masnah Rais sebagai orang nombor empat dan Muhyiddin sebagai orang nombor lima atau enam.
Mohd Lukhman dipetik sebagai berkata demikian kepada Harakahdaily, portal PAS sebagai mengulas jawapan Muhyiddin yang menafikan dakwaan Tengku razaleigh Hamzah kononnya Umno kini sudah tidak lagi memberi kebebasan bersuara.
Muhyiddin ketika menjawab dakwaan Tengku Razaleigh itu berkata, Umno tidak pernah menyekat sesiapa untuk bercakap malahan ada yang lebih banyak bercakap dari yang sepatutnya – menyebabkan Muhd Lukhman melenting marahkan Muhyiddin, sekaligus, dia yang juga AJK Umno bahagian di salah sebuah bahagian di Selangor mahu membuktikan dalam Umno, memang ada masalah.
Muhd Lukhman kononnya mahu mengambarkan bahawa isteri Perdana Menteri dan isteri Rais Yatim mengambil tempat yang terlalu kerap ditonjolkan melalui media. Perkara ini sebenarnya satu usaha untuk menjadikan Rosmah dan Masnah sebagai ‘mangsa’ dalam pertembungan kenyataan Tengku razaleigh dan Muhyiddin.
Tengku Razaleigh memang tidak mungkin boleh ‘tunduk’ kepada orang lain sejak sekian lama, menyebabkan beliau semakin hari semakin tersisih dari hirerki kepimpinan Umno. Namun, ada orang-orang tertentu, termasuk bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir yang menaruh harapan agar Tengku Razaleigh akhirnya mendapat tempat dalam parti itu.
Sebenarnya, kehebatan dan keharuman nama Tengku Razaleigh sudah pudar sebaik sahaja beliau bertindak membubarkan Parti Melayu Semangat 46 dan kembali bersama-sama Umno. Keputusan itu mungkin dianggap bijak kerana Presiden Umno ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Ahli MT Umno.
Malangnya, perlantikan itu menyebabkan Tengku Razaleigh yang berura-ura mencari sedikit pengaruh bagi melayakkan bertanding kerusi Presiden Umno menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian Umno.
Akhirnya, punahlah harapan Muhd Lukhman mahu menyaksikan tengku Razaleigh menjadi Presiden Umno. Kadir yang ketika itu menjadi Ketua Umno bahagian Kulim Bandar Baharu pun tidak mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden Umno – bahagian manakah yang masih ada sedikit keberanian mahu mencalonkan Tengku Razaleigh?
Tengku Razaleigh sebenarnya disampaikan laporan palsu dari kawan-kawannya termasuklah mereka yang bekerja dengannya mengenai situasi politik Umno sebenarnya. Muhd Lukhman sendiri sebenarnya kurang bergaul dengan “massa” yang menyebabkan dia teraba-raba di dalam melahirkan sokongan kepada Tengku Razaleigh.
Muhyiddin tidak perlu melayan serangan Muhd Lukhman ini. Pertama, budak ini tidak ada apa-apa di dalam Umno dan kedua, dia hanya kenal dunia Umno melalui Tengku Razaleigh dan Umno Gua Musang. Mungkin dia sendiri tidak tahu banyak mengenai Umno kerana kesibukannya menjaga Tengku razaleigh.
Biarlah Rosmah sendiri menjawab dakwaan ‘orang Tengku Razaleigh ini’ dan kita serahkan kepada Masnah Rais dan Rais Yatim menjawab, jika mereka merasakan perlu melayan Muhd Lukhman Ghani yang semakin terdesak mahu menghantar Tengku Razaleigh menjadi Presiden Umno.
Muhyiddin tidak perlu rasa tersisih kerana Muhyiddin perlu membuktikan kepada Perdana Menteri, datuk Seri Mohd Najib Tun razak bahawa beliau merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri yang boleh diharapkan ketika negara ini memerlukannya.
Serangan dari mereka yang berperangai macam budak-budak ini akan datang dan ia akan pergi dengan sendirinya kerana memang ada orang yang mencari makan dari kenyataan-kenyataan menghina, memperli dan memperendah-rendahkan orang lain.
Dari kata-katanya itu, kita semua boleh mengukur sejauh mana pengetahuannya, sejauh mana kecerdikannya dan sejauh mana kaki mereka melangkah.
Dia mungkin seronok kerana dapat bercakap dengan Harakahdaily, kerana mana mungkin kenyataan yang tidak bermutu itu boleh disiarkan di dalam akhbar arus perdana?
Muhyiddin tidak rugi apa-apa. Umno tidak hilang apa-apa dan yang penting, Muhyiddin boleh terus bekerja membantu Perdana Menteri ketika yang sama, beritahu kepada semua pemimpin Umno yang masih takut mereka dilupakan bahawa Umno tidak pernah mengeluarkan surat pekeliling mengahalang ahli-ahlinya bersuara.
Tidak tahulah kalau-kalau Tengku Razaleigh Hamzah ada mendapat surat dari Ibu Pejabat Umno menghalangnya bersuara!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan