Selasa, 1 November 2011

Fitnah jadi modal cari makan


Oleh Zainal Yusof


SEJAK sebulan dua ni, ada cerita baru yang dijaja pencacai politik di Kuala Lumpur. Mereka bawa cerita, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sedang bekerja keras mahu menjatuhkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Politik Malaysia, pencacai ni sebenarnya tak ramai. Mereka cari makan dengan membuat fitnah. Mereka akan hidup dengan memfitnah kerana ada pihak yang mahu dilindungi dari fitnahnya, membayar ribuan ringgit, dan kadang-kadang, ratusan ringgit. Dan kadang-kadang, RM50, pun mereka sapu.
Mulut tukang fitnah ini semakin besar. Hidung semakin kembang dan otak mereka semakin mengejut. Mereka tidak susah hendak ditemui, kerana mereka tidak pergi sembahyang bila masuk waktu. Mereka bersepah, merayau dan menjelir-jelirkan lidah mereka, macam anjing kehausan.
Tiada sesiapa boleh ketemu mereka di masjid atau surau waktu sholat, atau terserempak dengan mereka waktu sembahyang Jumaat kerana mereka tidak tahu hukum dosa dan pahala, menyebabkan mereka memilih kerja memfitnah sebagai “kerjaya” mencari makan.
Usah pelik jika ada Setiausaha Politik kepada seorang Menteri Besar yang membawa mereka ini ke hulu dan ke hilir. Usah terkejut kalau sesiapa tahu ada seseorang di Ibu Pejabat Umno membayar elaun bulanan kepada orang ini kerana kerja-kerja memfitnahnya dan yang penting, jangan hairan kalau ada yang takut dengan kaki-kaki fitnah ini.
Ramai yang percaya, TPM Muhyiddin tidak pernah gentar dengan kaki fitnah. Malahan, PM Najib juga cukup yakin beliau dalam keadaan stabil politiknya walaupun didakwa menerima ancaman dari TPM Muhyiddin. Najib dan Muhyiddin adalah cerdik pandai yang dapat menilai sesuatu berita itu dan bukan mudah terpedaya.
Cuma, dalam politik Malaysia, memang ada orang Melayu yang kuat sokongannya kepada Umno mula bimbang kalau-kalau fitnah ini akan merobek hati Najib dan menyebabkan Najib bertindak pula ke atas Muhyiddin. Orang Umno jenis ini, mereka kurang membaca dan mereka kurang membuat kerja. Jadi, kerja mereka melayan kaki-kaki fitnah ini untuk memboncetkan perut si kaki fitnah.
Perut kaki fitnah semakin membusung. Setiap hari ada persidangan Parlimen, mereka akan merayau-rayau di Parlimen sambil terjelir lidahnya macam anjing kehausan. Bila ada Ahli Parlimen yang melemparkan seratus dua kepada mereka, lidah mereka akan ke dalam mulut semula dan tidak lagi terjelir-jelir.
Khabarnya mereka merayau-rayau dengan status blogger, kononnya. Bila mereka mengenalkan diri sebagai blogger, maka mereka seperti ada lesen untuk menyerang sesiapa sahaja yang mereka suka, termasuklah memfitnah. Mereka tidak tahu apa hukum orang yang memfitnah?
Jika di dunia mereka terlepas dari hukuman, di akhirat mereka akan kena juga. Mereka bukan memfitnah seseorang itu kepada seseorang yang lain sebaliknya mereka menyebarkan fitnah mereka melalui FB, Twitter dan blog. Maka, ramai yang membaca, malahan, ramai juga yang bebal, mempercayainya.
Kadang-kadang, ada akhbar pembangkang dan blog pembangkang (termasuk portal) yang memetik kata-kata fitnah itu untuk dijadikan berita yang kononnya, bernilai! Kera dan lotong di hutan pun tertawa kalau mereka tahu membaca bagaimana seorang penulis dan wartawan profesional boleh memetik sumber dari pemfitnah untuk dijadikan bahan tulisan mereka?
PM Najib dianugerahkan Allah kekuatan dan kerajinan yang luar biasa. Kerja-kerja yang dibuatnya, tidak tercapai dek pemikiran pembangkang. Ada yang terkedu dan ada yang tergamam dibuatnya dengan pengumuman yang mengejutkan.
Sebagai Perdana Menteri, bukan sedikit serangan yang ditujukan kepadanya. Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga menjadi sasaran mereka. Orang-orang Umno yang layak bersara dari arena politik juga mempertikaikan tingkah laku Rosmah. Mereka tidak pula mempertikaikan ke mana perginya Jam Omega Anwar Ibrahim yang menjadi isu suatu ketika dahulu.
Bila mereka serang Rosmah, tidak berkesan, mulalah mereka serang Muhyiddin. Mereka dakwa kononnya Muhyiddin bekerja keras sekarang ini bukan untuk memperkuatkan Najib dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya Muhyiddin bekerja keras sekarang ini kerana Muhyiddin mereka dakwa berangan hendak menjadi Perdana Menteri.
Umno sudah kuat. BN sudah kembali bertenaga. Malangnya ada pencacai politik melihat, jika Umno dan BN kembali kuat, mereka tidak dapat cari makan. Mereka mahu mencari makan, jika Umno dan BN sentiasa berkrisis dan bermasalah.
Cuba lihat orang-orang ini, kaki-kaki fitnah ini, pencacai ini, apakah mereka bekerja? Apa kerja yang mereka buat untuk mendapatkan rezeki? Apakah mereka seorang profesional? Atau mereka mewarisi harta pusaka emak dan bapa mereka yang banyak hingga menyebabkan mereka tidak perlu bekerja?
Jawapannya mudah! Mereka meminta-minta. Mereka paw duit orang-orang politik dan mereka paw duit orang-orang berniaga yang ingin mendapatkan sokongan dari orang-orang politik.

Tiada ulasan: