Oleh Ahmad Hj Ishak
Program penerangan yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) it5u bertujuan bagus tetapi apabila Ahmad mengeluarkan wang dari poketnya sambil bertanya; “Siapakah antara yang boleh menyebutkan kepada saya siapakah Menteri dari Sabah dan akan dihadiahkan RM50,” menyebabkan ada seseorang berbisik, inikah nilai orang tua di Sabah?
Kalau Ahmad menduga akal ini di kalangan murid-murid sekolah, ramai yang menganggapnya sebagai kewajaran tetapi malangnya, Ahmad bertanya dengan orang-orang tua yang rata-rata sebaya dengan bapa Ahmad dan bukan mereka yang sebaya dengan Ahmad.
Perkara ini perlu diketahui oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin agar ia tidak terus berulang dan sekaligus merugikan Barisan Nasional (BN).
Sebenarnya, perlantikan Ahmad sebagai Ketua Penerangan Umno merupakan satu kesilapan buat PM Najib. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, adalah lebih baik Najib menukarkan Ahmad kepada orang lain, yang lebih dewasa darinya.
Dulu dia pernah buat kenyataan semua Ketua Penerangan Umno di cawangan-cawangan tidur dan tidak pandai buat kerja.
Program Umno Juara Rakyat juga hancur. Maknanya, Ahmad Maslan ini sepatutnya PM Najib lantik dia jadi Guru Besar Sekolah dewasa kerana pemikirannya ternyata jauh ketinggalan zaman. Kadang-kadang, kenyataannya seolah-olah dia ini kebudak-budakan.
Orang-orang tua di Sabah yang hadir majlis penerangan yang dihadiri Ahmad Maslan sudah mula marah-marah. Mereka tahu Ahmad Maslan banyak wang dan kini sudah terbang tinggi meninggalkan kawan-kawan yang sama-sama menaikannya dalam politik.
Apakah PM Najib berani menegur Ahmad Maslan? Begitu juga dengan TPM Muhyiddin, yang berpejabat setingkat dengan Ahmad Maslan di Putrajaya, apakah punya sedikit keberanian untuk menegur?
Kalau betul-betul berani, tukarkanlah Ahmad dengan orang lain. Biarlah dia jadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tetapi jawatan Ketua Penerangan Umno, dia tidak layak. Itulah sebabnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hebat melantik Tan Sri Hussein Ahmad, Tan Sri Dr. Yusof Noor, Tan Sri Megat Junid sebagai Ketua Penerangan Umno manakala Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Ketua Penerangan Umno.
Kenapa dalam era PM Najib, beliau melantik seorang budak mentah yang tidak pernah menjadi Ketua Umno Bahgaian dan tidak pernah menjadi wakil rakyat sebagai Ketua Penerangan Umno? Adakah PM Najib ambil mudah kerja-kerja Ketua Penerangan Umno ini?
Betulkan kesilapan ini wahai PM Najib dan TPM Muhyiddin. Masih ramai yang layak untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini. Tugas ini penting kerana generasi muda tidak tahu sejarah perjuangan dan pengorbanan Umno.
Kalau PM Najib dan TPM Muhyiddin terasa dengan kritikan ini, terserahlah. Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan Ahmad Maslan tetapi kerana rasa sayangnya saya kepada Umno, maka saya tulis artikel ini.
Bertanyalah dengan sesiapa sahaja yang hadir di majlis penerangan tersebut, masing-masing marah dengan sikap dan cara Ahmad Maslan. Tetapi, mungkin kemarahan orang-orang tua ini tidak sampai kepengetahuan PM Najib dan TPM Muhyiddin, namun saya berharap ada orang-orang yang sama macam saya, sayangkan Umno sampaikan kemarahan ini kepada pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor dua negara ini.
Ahmad Maslan mungkin merasakan dia terlalu hebat. Dulu dia buat-buat seronok tidur rumah orang kampung dan berjemaah Subuh dengan orang-orang kampung. Itu kerana ada pilihan raya kecil. Dibawanya wartawan bersama. Maka, keluarlah gambar dia dalam surat khabar.
Kemudian dia berlakon menjadi penoreh getah. Ini berlaku di Kuala Krai kerana ada pilihan raya kecil DUN Manik Urai. Kerana lakonannya itu tidak diyakini pengundi, maka calon BN tewas di situ. Ahmad Maslan tidak belajar lagi dari apa yang berlaku ini.
Janganlah berlakon macam-macam kerana orang ramai sudah tahu itu hanya lakonan dan kehadiran Ahmad hanya kerana ada pilihan raya kecil. Bila tiada pilihan raya kecil, bayang Ahmad pun tidak nampak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan