Rabu, 6 April 2011

Kastam : Betul rupanya cakap Datuk Md Said…

Oleh Zainal Yusof




DARI apa yang berlaku kini, yang kita dengar beratus bilion wang negara ini dilesapkan dek angkara kastam, tiba-tiba saya teringat bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Md Said Yusof yang pernah digelar “YB Kastam” satu ketika dahulu.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin menimbulkan kontroversi, hingga beberapa maklumat mengenai perniagaan import kayu balak bergergaji di Pelabuhan Melaka menjadi isu, kononnya didedahkan pihak kastam yang ingin memalukannya.

Banyak pihak menuding jari ke arahnya ketika itu, kononnya beliau yang mempunyai syarikat mengimport “benyusof” terlibat dengan beberapa hal hinggalah didakwa mahu pihak kastam menutup sebelah mata.

Bila beliau berucap di Parlimen mengenai pendagangan Negara dalam tahun 2006 RM1 trilion tetapi mengapa kastam hanya mengutip cukai RM238 juta sahaja? Pertanyaan di Parlimen ini menyebabkan kastam membongkar berbagai hal mengenai perniagaan Datuk Md Said yang menyebabkan pihak pembangkang menyerangnya.

Tidaklah saya tahu, apakah pengguguran Datuk Md Said dari menjadi calon BN di Jasin dalam pilihan raya umum 2008 disebabkan isu ini kerana ada pihak mendakwa Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan di mana Kastam terletak di bawahnya, kurang senang dengan situasi ini, menyebabkan Datuk d Said digugurkan.

Kalau kita lihat dari apa yang berlaku sekarang, SPRM usah menyiasat apa yang berlaku sekarang ini sahaja kerana SPRM perlu melihat sejak bila ia bermula dan siapakah yang bertanggungjawab meletakkan pegawai-pegawai kastam yang korup ini di pintu-pintu masuk ke negara.

Apakah bekas-bekas Ketua Pengarah yang kini sudah bersara terlibat? Apakah pengarah-pengarah yang sudah bersara juga terlibat? Apakah memang mereka ini, yang dipercayai mampu melesapkan hasil cukai untuk masuk ke saku mereka disusun “menjadi pengutip” cukai untuk diri mereka, untuk anak-anak mereka dan untuk kaum keluarga mereka menjaga pintu-pintu masuk negara ini?

Dari segi logiknya, mustahil pengarah yang kena tahan baru-baru ini sahaja yang melakukan hal seumpama ini. Apakah yang lain-lain, yang berpangkat lebih besar dari dia, yang mungkin berpangkat lebih besar dari dia tidak “terliur” untuk mempunyai timbunan wang dan timbunan harta secara mudah.

Lebih mengerikan lagi, jangan-jangan mereka yang berkuasa menyusun “jerung-jerung” ini.menjadi “penjaga pintu masuk” bekerjasama rapat dengan penyeludup, untuk memudahkan mereka “mengumpul kekayaan” dan membenarkan barang-barang seludup masuk ke negara ini.

Oh! Kalau saya tulis, apa yang saya syak berlaku, hasil dari cerita yang tersiar dalam akhbar kebelakangan ini, hingga ada yang menyimpan jongkong emas, ada yang mempunyai wang yang bertaburan di rumah, ada yang mempunyai pistol mainan, ada yang mempunyai mercun dan bunga api, boleh sesak nafas dibuatnya.

Malangnya, mereka ini, mereka yang tidak amanah ini disusun begitu rupa, menjadi “pagar” yang akhirnya menjadi “pagar yang makan padi”.

Mungkin terlalu kasar jika kita menggelarkan mereka ini sebagai “culprit” tetapi itulah sebenarnya perkataan dan gelaran yang sesuai untuk diberikan kepada manusia seumpama ini.

Ingat, mereka yang dilantik menjadi Ketua Pengarah sekarang, walaupun mungkin sebagai seorang Ketua Pengarah yang baru, tetapi dia tentunya pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah.

Jika sekarang jawatannya adalah Timbalan Ketua Pengarah, mungkin dia dulu datangnya dari jawatan Penolong Ketua Pengarah. Kalau dia sekarang berjawatan sebagai Penolong Ketua Pengarah, tentulah dia dulunya pernah menjadi Pengarah di peringkat negeri atau pengarah di peringkat bahagian-bahagian.

Apakah mereka ini, termasuk yang sudah bersara sekarang sedang bersenang lenang, bersama keluarga mereka, sering bercuti ke luar negara, mungkin dengan kekasih hati mereka, mungkin dengan cucu-cucu mereka, hasil dari wang yang “bertaburan” dan hasil dari “sumbangan” penyeludup.

Selain dari SPRM, pihak polis juga boleh masuk menyiasat agen-agen perkapalan di Pelabuhan Kelang dan KLIA…pelabuhan-pelabuhan lain juga, lapangan terbang lain juga, siapa yang “diletakkan di situ” menjaga hal-ehwal kemasukan barang-barang bercukai ini.

Siasat juga, apakah benar kemasukan kereta import sekarang banyak melalui Sarawak dan jika benar, mengapa ya? Apakah ada “pagar bocor” di Sarawak yang menyebabkan kereta mewah yang diimport masuk melalui Sarawak.

Sebelum mereka ini didakwa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPRM, yang berjaya membongkar cerita ini. Walaupun mereka ini mungkin terlepas dari sebarang hukuman mahkamah kerana “masalah membuktikan” bukan sesuatu yang mudah tetapi sekurang-kurangnya, apabila ia sudah terdedah, penyamun-penyamun tarbus ini akan “mengurangkan” kegiatannya.

Seret mereka ke mahkamah. Walaupun mungkin mereka boleh menutup muka mereka dengan setokin, tetapi biarlah mereka tahu bahawa Allah tidak membenarkan mereka menjahanamkan negara ini untuk membuncitkan perut mereka.

Sebenarnya, sindiket ini dikatakan bekerjasama dengan “kartel” yang berpengakalan di Singapura untuk menyeludup kretek. Oh! Kalau bercakap soal seluduh rokok dan gudang garam termasuk kretek ini, artikel ini mungkin menjadi berjela-jela pula.

Kita serahkan kepada SPRM dan Polis, jika boleh, serbu semua “pengakalan” mereka dan koreklah sedalam-dalamnya, supaya ada yang sudah bersara, lebih kerap ke surau dan masjid berdoa agar mereka tidak “masuk dalam perangkap” yang mereka sendiri pasang.

Tidak adalah “kebencian” yang lebih dari kebencian yang pernah menyerang jiwa saya, apabila saya membaca berita mengenai “penyelewengan” yang berlaku dalam Jabatan Kastam.

Saya boleh mendesak mereka yang terlibat dengan jabatan ini, supaya berundur dan meletakan jawatan, tetapi dalam situasi sekarang, saya tidak mahu berbuat demikian kerana saya mahu mereka “terus memegang jawatan itu, terus duduk di situ dan terus menyarung uniform itu” dan bersedialah disiasat bagi “membersihkan” diri mereka dan bukan sahaja mereka dapat “dibersihkan” tetapi Jabatan Kastan ini perlu dilihat dan diyakini sudah bersih.

Mereka bolehlah beli setokin banyak-banyak sekarang, bukan untuk disarung di kaki mereka tetapi kali ini, menyarung ke muka mereka bagi mengelakkan wajah mereka menjadi fokus jurugambar akhbar apabila mereka dihadapkan ke mahkamah nanti.


Maka, marilah kita semua mengucapkan terima kasih kepada Datuk Md Said Yusof, bekas Ahli Parlimen Jasin kerana “betullah apa yang beliau cakapkan selama ini” walaupun mungkin ada orang menyangka dia bercakap hanya kerana mahu melindungi perniagaannya.

Tiada ulasan: