Oleh Wan Yusoff Hj Wan Ngah
PENGERUSI Felda, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad akhirnya membuka mulut menjawab pertanyaan wartawan mengenai kritikan dan serangan dari Zainal Aznam Mohd Yusof dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap perlantikannya.
Katanya, beliau tidak ambil pusing dengan dakwaan pihak tertentu kononnya pasaran bimbang dengan perlantikannya ke jawatan Pengerusi Felda yang berkuatkuasa 1 Januari 2011 yang lalu.
Dalam nada bersahaja, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang lumrah bagi ‘orang politik’ sepertinya.
Menurutnya, beliau sedar sesiapa pun yang dilantik ke sesuatu jawatan, pastinya tidak akan memuaskan hati semua pihak.
“Sedangkan Nabi yang dilantik Tuhan juga tidak disukai semua orang. Inikan pula saya manusia biasa.
“Saya tidak tahu siapa yang boleh memuaskan hati semua orang. Tetapi sebagai ahli politik, memanglah kalau saya pegang apa juga jawatan dari dulu, pasti bermacam perkara ditimbulkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Promosi Produk Usahawan Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) Felda di Pusat membeli-belah Jusco, AU2, Setiawangsa.
Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, apabila dakwaan itu dibuat, mereka seharusnya meneliti pasaran saham sama ada benar-benar terjejas atau tidak ekoran perlantikannya.
“Saya tidak kisah dan tidak tahu latar belakang orang yang membuat dakwaan itu. Sama ada beliau manusia yang terlalu hebat dan melampau pandai tetapi akhirnya menjadi pandir, itu saya tidak tahu,” katanya.
Beberapa hari lalu, portal propembangkang, Malaysiakini melaporkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa perlantikan Mohd Isa boleh menyebabkan pasaran saham menjadi tidak menentu.
Dakwaan itu disokong Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd Yusof yang dilaporkan berkata, rekod Mohd Isa yang terpalit dengan gejala rasuah menjadi punca kebimbangan pasaran itu.
Sambil menyifatkan hari perlantikan Mohd Isa ke jawatan itu sebagai hari yang ‘menyedihkan’, Zainal Aznam turut menggesa agar ahli politik tidak dilantik mengetuai syarikat milik kerajaan (GLC).
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, perlantikan mana-mana individu untuk mengetuai sesuatu syarikat milik kerajaan (GLC) dilakukan berdasarkan kemampuan dan kebolehan mereka.
Beliau berkata, kerajaan tidak terikat kepada sesuatu dasar dalam proses perlantikan seperti mengamalkan dasar tidak boleh melantik ahli politik atau sebagainya.
“Kita sememangnya tidak ada ketetapan sedemikian kerana kerajaan akan melantik berdasarkan kemampuan seseorang itu.
“Tak kira sama ada orang korporat, bekas pegawai kerajaan atau bekas ahli politik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur dekat Kuantan.
Menurut Najib, sesiapa sahaja yang dilantik untuk mengetuai GLC tidak menjadi masalah kerana terdapat juga ahli politik yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam bidang korporat.
“Sebagai contoh terdapat juga ahli politik yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan berpengalaman mentadbir sesebuah kementerian,” ujarnya.
Mudah-mudah, kenyataan Mohd Isa dan kenyataan Najib ini dibaca berkali-kali oleh Tengku Zafrul dan Zainal Aznam. Kalau tidak faham juga, mintalah bantuan sesiapa untuk menerangkannya, supaya mereka berdua boleh faham.
Kalau ada syarat orang politik tidak boleh dilantik mengetuai GLC, nanti aka nada pula syarat, orang korporat tidak boleh dilantik jawatan politik. Jika ada syarat bekas pegawai kerajaan tidak boleh dilantik mengetuai GLC, nanti akan ada pula syarat, orang korporat hanya boleh dilantik menjaga tandas-tandas awam yang banyak di Kuala Lumpur.
Maka, betul dan tepat kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak terikat dkepada sesuatu dasar tidak boleh melantik ahli politik dan sebagainya.
Faham ke Zafrul dan Zainal Aznam? Kalau tak faham…dalam bahasa mudahnya begini, usah menyibuklah dengan urusan negara ini.
Menyibuk dengan kerja Perdana Menteri siapa suruh? Perdana Menteri mestilah mempunyai cukup maklumat dan cukup fakta mengapa sesuatu keputusan dan perlantikan itu dibuat.
Tak kan lah, bila nak lantik, kena rujuk dulu dengan Zafrul anak Tengku Abdul Aziz dan Zainal Aznam anak kepada Mohd Yusof.
Dulu, ketika Perdana Menteri melantik orang korporat menjadi Menteri, orang Umno marah juga. Tetapi kemarahan pemimpin dan orang Umno tidaklah sampai kepada mahu mengharamkan orang korporat supaya tidak dilantik menjadi Menteri.
Zainal Aznam dahsyat. Mahu diharamkan terus perlantikan orang politik di GLC. Dia barangkali berfikiran orang politik, khususnya orang Umno, khususnya orang Melayu, khususnya yang tidak ada gelaran tengku dan doktor dipangkal nama, bangsat semuanya.
Idris Jala, Nor Mohamad Yackob dan Amir Shah Abdul Aziz antara orang korporat yang pernah dilantik menjadi Menteri.
Ketika itu, pemimpin Umno tertanya-tanya, apakah faedah yang kerajaan dan Barisan Nasional akan dapat dengan melantik mereka ini? Mereka tidak mesra rakyat dan mereka tidak langsung diuji dalam pilihan raya.
Namun, orang Umno tidak duduk di pentas forum untuk meluahkan pandangannya kerana mereka tahu keputusan yang Perdana Menteri buat, adalah demi kepentingan negara.
Itulah sebabnya, mereka senyap walaupun hati dan perasaan orang-orang politik cukup terluka.
Dalam kehidupan ini, Zafrul anak kepada Tengku Abdul Aziz dan Zainal Aznam anak kepada Mohd Yusof perlu tahu, apabila Perdana Menteri membuat perlantikan dan keputusan, ia tentunya sudah difikirkan semasak-masaknya. Yang pasti, beliau sebagai Perdana Menteri sudah mendapat nasihat dari penasihat-penasihat yang dilantik.
Maka, usahlah Zafrul anak kepada Tengku Abdul Aziz dan Zainal Aznam anak kepada Mohd Yusof menyibuk!
Tunggu kedua-dua mereka ini menjadi Perdana Menteri (minta dijauhkan Allah) dan ketika itu, mereka boleh melantik anak beranak mereka untuk menjadi pengerusi GLC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan