Jumaat, 4 Februari 2011

Idris Jusoh : Bukalah buku baru

Oleh Malek Saiful Muda




JIKA bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh boleh membuka buku baru atau lembaran baru dalam politik, tentulah siatuasi di Terengganu yang selama ini digambarkan sebagai bergelora atau berkemelut, akan dapat diselesaikan dengan mudah.
Baru-baru ini, beliau dipetik sebagai berkata; “Takkanlah saya nak meruntuh apa yang sudah saya bina selama ini.”
Maknanya, dalam dirinya sudah ada kesedaran bahawa apa yang beliau lakukan selama ini baik untuk Terengganu tetapi apabila ada usaha memboikot Persidangan DUN Terengganu dan kemudiannya dilanda sindrom bisu ketika Persidangan DUN Terengganu, ramai yang mentafsirkannya sebagai “Idris masih berdendam”.
Ulasan ini mungkin melukakan hati seseorang. Namun, sejarah tidak berbohong. Idris pernah menghadiri perjumpaan dan berucap membelasah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. Rakaman ucapan Idris disampaikan kepada Ahmad oleh orang Besut sendiri.
Ahmad ketika mendengar rakaman ucapan tersebut hanya ketawa dan tidak mengulas apa-apa.
Malahan, Ahmad memberitahu orang Besut yang membawa rakaman itu bahawa tugasnya hanyalah untuk membangunkan Terengganu dan membebaskan rakyat Terengganu dari kemiskinan yang mencengkam.
Begitu juga dengan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr Rosli Mat Hassan. Bila diajukan soalan apakah beliau tidak berkecil hati dengan tindakan Idris yang menyerang kepimpinan Umno Terengganu ketika Dr Rosli sendir adalah Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu ketika itu?
Beliau menjawab; “Kita ada tugas yang lebih besar untuk diselesaikan. Musuh kita bukan sama-sama sendiri tetapi musuh utama kita ialah PAS, PKR dan DAP.”
Maknanya, dalam politik Terengganu, penggantikan team Idris lebih jujur dan ikhlas dari team Idris sendiri. Mereka yang menyokong Idris mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat bahawa Idris bukan Menteri Besar Terengganu lagi selepas PRU 12 yang lalu.
Jikalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh bercerita berapa kali kumpulan yang tidak bersetuju dengan Ahmad Said menemui mereka untuk menjatuhkan Ahmad Said, dunia akan tahu bahawa kumpulan ini memang berhasrat mahu menamatkan karier politik Ahmad.
Di pihak Ahmad, masing-masing sibuk menyusun kerja di Terengganu dan tidak ada masa untuk membuat rombongan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk mempertahankan Ahmad.
Ahmad dilihat lemah kerana ada orang Terengganu yang mengajak semua orang mengatakan Ahmad seorang pemimpin yang lemah.
Umno Terengganu dikatakan bergelora kerana ada orang Terengganu datang ke Kuala Lumpur membawa cerita dan berita bahawa Umno Terengganu di bawah kepimpinan Ahmad sedang bergelora.
Ahmad tahu perkara ini, tetapi beliau memilih untuk menyerahkannya kepada Allah swt kerana ada tugas yang digalasnya untuk membangunkan Terengganu.
Beliau dipetik sebagai berkata, “jika saya melayan semua ini akhirnya pembangunan Terengganu akan terabai dan suatu masa nanti, segala-galanya akan terbukti bahawa saya berada di pihak yang benar.”
Hari ini, apabila ada ulasan dan tulisan yang menyentuh tentang cerita lama ini, maka aka nada yang mengatakan “pengulas dan penulis itu sebagai lebih sudu dari kuah”. Mereka mahu cerita ini dilupakan sahaja kerana Umno Terengganu kini sudah sepakat untuk memenangi PRU 13 yang akan datang bila-bila masa sahaja.
Sebenarnya, semua yang berlaku ini adalah catatan sejarah. Sejarah tidak boleh diubah dan tidak boleh dipadam.
Kenapa ada yang takut dengan sejarah? Apakah ulasan dan tulisan di blog ini selama ini merupakan fitnah dan bukan kenyataan?
Apakah tidak betul memang ada 10 ADUN yang pro Idris memboikot Persidanagn DUN dahulu?
Menipukah ulasan ini apabila ada dakwaan mengatakan beberapa ADUN BN di Terengganu yang dilanda sindrom bisu, termasuk Idris sendiri hingga mereka sanggup melihat Ahmad diserang ADUN pembangkang?
Cerita SMS palsu dahulu bukan sejarah? Semua kesalahan yang dibuat kumpulan yang anti Ahmad Said perlu dilupakan sahaja dan apabila buku baru dibuka, bermakna, semua pihak perlu memuji dan menyanjung Idris dan 10 Budak Hitam kerana mereka sanggup melupakan perkara lama?
Oh! Mudahnya politik Melayu ini. Yang melakukan kesalahan tidak dihukum. Yang buat kerja diserang. Lepas tu, kalau mahu memuji, mereka akan memuji yang buat salah kerana sudah sedar akan kesalahannya tetapi yang tidak henti-henti bekerja dan mendekati rakyat, dilihat sebagai pihak yang mesti melupakan segala-gala kesalahan yang pernah musuh mereka lakukan.
Ia tidak begitu sebenarnya. Jika Umno Terengganu sudah sepakat mahu memperkuatkan parti untuk persediaan menghadapi PRU 13 akan datang, tugas penting Ahmad Said dan team baru sekarang ini ialah menyingkirkan mereka yang pernah menjadi penentangnya dahulu.
Ahmad kena tegas, Jika perlu, singkirkan juga Idris Jusoh dari menjadi calon BN dalam PRU 13 akan datang. Umno sebenarnya sudah mempunyai 1,000 orang Idris di Terengganu jika Idris yang ada hari ini disingkirkan.
Begitu juga dengan Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam. Jika kedua-duanya disingkirkan, Umno Terengganu tidak akan rugi malahan, untung.
Ini kerana ada beribu Rosol dan beribu Din di Terengganu sekarang ini untuk menggantikan mereka sebagai ADUN. Tidak ada hebatnya Idris, Rosol dan Din kerana kehebatan mereka kerana mereka menyertai Umno.
Kalau mereka duduk dalam parti lain, mereka juga hanya berada di kaki lima politik Terengganu sahaja dan tidak lebih dari itu.
Jika mereka membuat jasa semasa mereka berkhidmat dahulu, jasa mereka itu kerana mereka bersama Umno. Hari ini, kalau mereka sudah tidak duduk dalam Umno, jasa apa lagi yang mampu mereka buat?
Ahmad perlu mempunyai satu tahap ketegasan yang tinggi untuk menyelesaikan semua perkara ini.


1 ulasan:

hello berkata...

http://www.youtube.com/watch?v=uU8a3WtsAR4

Ahmad said terkenal dgn ketegasan di peringkat DUN lagi.

Cuma rakyat nak pemimpin yang lebih educated.macam idris jusoh,education tinggi,speaking english,melayu, sangat hebat.

Sebab tu Allah mengangkat darjat org berilmu dan bertakwa.

Idris banyak bwk pembangunan.walaupun ada yg runtuh,yg buat runtuh tu pun kini jadi calon PAS...cube kite fikirkan...Ia menunjukkan Idris x memilih bulu untuk sesorang tu dpt projek..tp projek dari PAS yang runtuhnya.sebab tu PAS x leh mentadbir n buat pembangunan.