Sabtu, 12 Februari 2011

Boleh tak Yahya beritahu Alias…

Oleh Zainal Yusof




KETIKA Menteri Besar Terengganu aktif bergerak masuk ke kawasan-kawasan DUN, khabarnya masih ada ADUN Umno (BN) yang tidak menyambut dan bersama-samanya untuk menjayakan program kerajaan negeri.
Terbaru, ada berita mengatakan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah yang dikatakan tidak bersama-sama MB untuk menjayakan program di DUN yang diwakilinya, sekaligus mengingat semula cerita Alias ini, pada suatu ketika pernah didakwa mengeluarkan kenyataan ada 18 ADUN Terengganu akan menjatuhkan Menteri Besar.
Mulanya cerita 10 ADUN. Kemudian, ada pula dakwaan beberapa pihak mengatakan Alias dikatakan membuat dakwaan mengatakan dari 10 ADUN sudah menjadi 18 ADUN bersekongkol untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Said.
Namun, dakwaan itu kemudiannya dinafikan Alias. Alias ini adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang.
Sebagai timbalan di mana ketua bahagiannya adalah Yahya Khatib Mohamad, yang baru sahaja dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, boleh tak kalau Yahya tegur sikit Alias ini supaya “cukup-cukuplah berbalah.”
Setahun dua yang lalu, nama Alias memang agak terkehadapan di kalangan 10 dan 18 ADUN yang dikatakan menentang Ahmad Said untuk menjadi Menteri Besar. Ramai yang sudah berusaha untuk rapat dengan Alias kononnya sudah terdengar cerita, Aliaslah yang akan dilantik menjadi Menteri Besar kalau usaha menjatuhkan Ahmad Said berjaya.
Itu cerita dua tahun dulu. Tetapi, rupa-rupanya, ketika Datuk Rosol Wahid (Ajil) dan sesekali Zakaria Abdullah (Paka) sudah boleh menyambut kedatangan Menteri Besar ke kawasan mereka, namun Alias nampaknya memang tidak mahu bersama-sama.
Mungkin, diulangi mungkin ada mimpi yang mengatakan Alias akan menjadi Menteri Besar Terengganu agaknya, diulangi, agaknya jika dia terus tidak menyokong Ahmad Said.
Mimpi ini turut mengatakan bahawa jika dia menghadirkan diri dalam program kerajaan negeri yang dihadiri Ahmad, harapan dia menjadi Menteri Besar tidak akan tercapai. Maka, disebabkan mimpi itu, maka Alias tidak mahu hadir, bagi menunjukkan penentangannya yang berterusan kepada Ahmad, walaupun dia tahu mimpi bukan reality.
Tapi, nak buat mcm mana. Memang ada orang yang suka bermimpi termasuklah mimpi di siang hari. Ketika realitinya Ahmad Said tidak sempat kering kaki seluar, bekerja dan bertemu dengan rakyat, ada wakil-wakil rakyat memasang cita-cita yang tidak berkesudahan, kononnya dia bermimpi di datangi pihak istana memberitahu, giliran kau nak jadi Menteri Besar sudah sampai.
Jadi, ketika semua ADUN lain sudah mahu bersama-sama Ahmad Said, ada lagi yang tidur dan bermimpi enggan bersama-sama menghadirkan diri dalam program yang dihadiri Ahmad Said sebagai Menteri Besar di kawasan DUN yang mereka wakili.
Dulu, ketika ada laporan mengatakan Alias ini membuat dakwaan mengatakan Geng 10 (10 Budak Hitam) sudah menjadi 18 Budak Hitam, dia nafikan.
Dalam Bab 18 buku Kemelut Politik Terengganu, tulisan saya bertajuk Alias Nafi Ada Buat kenyataan Geng 10 Sudah jadi Geng 18, Alias tidak pula mengambil tindakan terhadap blogger yang mengeluarkan kenyataannya itu.
Sepatutnya, Alias mengambil tindakan undang-undang kepada blogger tersebut selepas penafian dikeluarkan.
Beberapa pihak mendakwa ada majlis ceramah dan program memperkenalkan calon BN ketika itu diadakan dan antara yang menganjurkan program tersebut dakwannya, ADUN Jabi dan penceramahnya Rosol Wahid dan Alias sendiri.
Tak apalah. Itu cerita dulu. Masalahnya, mengapa sekarang Alias masih dikatakan mahu meneruskan kegiatan memboikot semua aktiviti kerajaan negeri yang melibatkan kehadiran Menteri Besar?
Apa yang menyebabkan Alias masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Datuk Seri Ahmad Said sudah membuktikan kebolehannya sebagai pemimpin nombor satu di Terengganu dan kini, baru sahaja dilantik semula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Menjadi tugas Yahya memperbetulkan keadaan ini. Sebagai timbalan kepada Ahmad di peringkat Umno negeri, menjadi tugas Yahya memperbetulkan pendirian dan pemikiran serta sikap Alias.
Usahlah berbangga dengan kelulusan atau kepandaian bila bergerak aktif dalam Umno. Ramai orang yang Berjaya dalam pelajaran, berjaya juga dalam politik. Tetapi, ramai juga yang berjaya dalam pelajaran tidak berjaya dalam politik.
Jadi, Alias boleh berfikir, dia nak berjaya atau nak gagal. Yahya, kena bertegas dalam hal ini dan carilah pengganti Alias di DUN Alor Limbat untuk dicadangkan sebagai bakal ADUN baru (calon) dalam PRU 13 akan datang.
Sebagai Ketua Umno Bahagian Marang, Yahya mempunyai peluang untuk bercakap sendiri dengan Perdana Menteri mengenai perangai, sikap dan sifat ADUN-ADUN di kawasannya.
Jika Umno Terengganu hendak menjadi kuat di bawah kepimpinan Ahmad dan Yahya, perangai-perangai hodoh yang ada, perlu disingkirkan dan usah diberi tempat.
Banyak masa terbuang kerana berbalah. Padahal, Ahmad Said seperti bersendirian memberi perkhidmatan tanpa mengenal penat dan lelah, bertemu dengan rakyat terbanyak selain terpaksa menangkis serangan pembangkang.
Dalam sejarah politik, akan tercatat semua peristiwa ini. Ahmad Said bukan sahaja terpaksa menahan serangan pembangang, malahan terpaksa juga berdepan dengan musuh dalam selimut yang sesekali dilihat mendapat perhatian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dikatakan memberi peluang dan ruang kepada penentang-penentang Ahmad Said menyebabkan penentang-penentang ini besar kepala dan membuka dada masing-masing, seolah-olah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merestui perbuatan mereka.
Namun, dengan perlantikan Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu telah menafikan semua syak wasangka tersebut. Datuk Seri Mohd Najib dan Tan Sri Muhyiddin mahukan Ahmad sebagai Menteri Besar dan mereka berdua juga mahukan Ahmad menerajui Umno Terengganu yang sudah hampir-hampir runtuh angkara Geng 10 atau 10 Budak Hitam.

1 ulasan:

Unknown berkata...

yb ni tak bersyukurla gamaknya dia menang pilihanraya kerana rakyat percaya kepada perjuangan parti umno...kalau atas tiket peribadi dia mapus dok menang,,, base yb gong,,