Rabu, 19 Januari 2011

Rombakan Umno Terengganu : Siapa masuk, siapa keluar

Oleh Ahmad Hj Ishak




AKAN ada sedikit perubahan atau ada perubahan kecil kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu, satu berita dipetik dari Putrajaya – ketika majlis simbolik penyerahan tugas dari Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada datuk Seri Ahmad Said.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dikatakan mahu menukarkan Ketua Penerangan dan Bendahari tetapi mengekalkan Setiausaha Perhubungan kepada Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Siapakah yang akan dilantik menjadi Ketua Penerangan menggantikan Datuk Ahmad Shabery Chik yang dikatakan gagal memainkan peranannya sebagai seorang Ketua Penerangan?
Siapa pula yang akan menggantikan Abdul Rahin Said sebagai Bendahari kerana Rahin bukan dari kalangan yang dilihat menyokong kepimpinan Ahmad Said di Terengganu, walaupun dia seorang Exco yang dilantik Menteri Besar ini.
Terengganu kini akan lebih mantap pentadbiranUmnonya selepas ini kerana sebelum sejak Hishammuddin dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, beliau bukan sahaja tidak dapat menyelami permasalahan dalam Umno Terengganu, malahan menjadikan Umno Terengganu lebih kusut.
Hishammuddin dilihat seorang pemimpin Umno yang tidak berada di arus bawah dan banyak bergantung kepada laporan dan cerita yang dibawa ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam yang juga Pegawai Khas kepadanya selain laporan dan cerita dari bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Hishammuddin sendiri ketika dilantik dulu, memberitahu media massa, hari-hari beliau berhubung dengan Idris untuk mengetahui perkembangan Umno Terengganu sedangkan ketika itu, yang melepaskan jawatan pengerusi kepadanya ialah Ahmad Said.
Entah apa yang menyebabkan Hishammuddin terpikat dengan Idris mungkin kerana penampilan Idris yang dilihat baik orangnya dan mungkin juga dari cerita-cerita yang dibawa Din Adam, betapa Terengganu hanya boleh dipimpin oleh Idris, barangkali menyebabkan Hishammuddin cukup tertarik dengan Idris.
Tak apalah. Itu cerita dulu. Dah macam-macam mereka yang tidak bersetuju dengan Ahmad Said melakukan, dalam usaha mahu menjatuhkan Ahmad Said dari kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Macam-macam SMS disebarkan. Maklumlah, dalam kumpulan yang menyokong Idris, ada pakar-pakar SMS mendakwa Ahmad Said akan meletakkan jawatan dan sebagainya. Namun, nyata semuanya bohong belaka.
Ada blogger yang pro Idris menghina Ahmad dengan penghinaan yang cukup memalukan tetapi Ahmad seorang ahli politik yang sudah lali dengan pelbagai ujian. Segala-galanya, dapat beliau tempuhi dengan jaya walaupun sesekali ada juga kenyataannya yang dilihat agak keras.
Sepatutnya, Hishammuddin mengadakan majlis penyerahan tugas di Kuala Terengganu dengan dihadiri kepimpinan Umno bahagian-bahagian seluruh Terengganu. Sampaikanlah amanat penting dengan memberi nasihat kepada semua ADUN dan kepimpinan Umno yang tidak ada disiplin supaya memberi sokongan kepada kepimpinan Ahmad Said yang baru sahaja diberi kepercayaan semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Amatlah malang bagi orang politik di Terengganu kerana Hishammuddin seperti seorang pemimpin ‘touch and go’. Melepaskan jawatan itu hanya mengadakan majlis di Putrajaya dengan Menteri Besar Terengganu ke Putrajaya untuk menyempurnakan majlis ini.
Sepatutnya, Hishammuddin yang naik dalam politik kerana Umno, tidak memperlakukan Umno Terengganu seperti ini dengan meninggalkannya seperti lari tengah malam.
Tak mengapalah! Pemimpin Umno Terengganu sebenarnya sudah cukup matang menghadapi segala rintangan dan halangan ini.
Mereka sudah lali dengan semua ini. Mereka boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mereka bukan baru dalam politik. Rasanya, dari segi senior, Ahmad Said jauh lebih senior dari Hishammuddin dan Idris.
Cuma, Ahmad Said bukan dilihat sebagai pemimpin nasional seperti Hishammuddin yang sedang memasang cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.
Ahmad Said juga bukan pemimpin yang memasang cita-cita mahu mencipta tamadun seperti Idris.
Ahmad Said adalah seorang pemimpin bahagian dan negeri, yang dilihat mampu memberi kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang, walaupun ada ADUN-ADUN yang akan mensabotaj perjuangan dan kerja-kerja baik yang dilakukannya.
Sebagai Menteri Besar, beliau dapat menelan perangai buruk anak-anak buahnya di Terengganu yang tidak hadir dalam program-program kerajaan negeri yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Ahmad Said hanya tersenyum dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah apabila ada ADUN BN yang menyerangnya, lebih teruk dari serangan pembangkang dalam Persidangan DUN Terengganu.
Sebagai seorang ahli politik yang sudah matang, semua yang datang ini disambutnya dengan penuh ketenangan.
Akhirnya, kerana kesabarannya itu, beliau akhirnya berjaya melepasi banyak halangan dan rakyat dapat disantuninya seramai mungkin.
Walaupun beberapa ADUN menentang kepimpinan Ahmad tetapi Ahmad tidak menjadikan mereka sebagai musuh. Malahan, peruntukan tetap diberi kepada ADUN-ADUN ini sama dengan peruntukan yang diberikan kepada ADUN-ADUN yang menyokong kepimpinan Ahmad.
Siapakah yang akan gugur dan siapakah yang akan masuk dalam senarai Ahmad, akan diketahui dalam masa terdekat.

3 ulasan:

Klik Di Sini berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Klik Di Sini berkata...

Salam tuan..

Saya blog baru yang masih merangkak2.. Mohon link ke blog tuan untuk menumpang kepopularan blog tuan..

Sekiranya tuan dah link.. maklumkan kepada saya melalui komen.

segala kerjasama didahului ribuan terima kasih...

selamat berjuang,daripada mimview.blogspot.com..

Sang Mohfas Ketujuh berkata...

biduk berlalu,kiambang bertaut...