Khamis, 20 Januari 2011

Azahar Vs Cikgu Mala : Umno Labis melepas?

Oleh Zamzuri Damanhuri




SEDIH hati bukan kepalang. Sebagai orang yang lama bergerak aktif dalam Umno di Bahagian Labis, rata-rata kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hilang kepercayaan kepada seluruh kepimpinan Umno bahagian ini.

Bila ada pilihan raya, Umno bahagian dikerah untuk bekerja memenangkan calon BN. Bila ada masalah, termasuklah ketika Ahli Parlimen Labis didakwa terlibat dengan skandal seks dahulu, Umno Labis tetap berdiri teguh di belakang BN.
Kalau ada perhimpunan dan perjumpaan dengan pemimpin kerajaan ataupun parti, kepimpinan dan ahli-ahli Umno dikerah siang dan malam. Masa dan keringat ahli-ahli tidak dipandang langsung apabila pucuk pimpinan membuat keputusan memilih Mohd Azahar Ibrahim menjadi calon mewakili Umno di dalam pilihan raya kecil (PRK) Tenang, 30 Januari depan.
Buruk sangatkah kepimpinan Umno Labis? Apakah tiada seorang pun dari kalangan pemimpin Umno Bahagian Labis yang layak ditonjolkan sebagai calon mewakili Umno dalam PRK Tenang ini?
Nampaknya, pucuk pimpinan parti sekarang ini tidak mahu langsung mendengar kehendak orang bawah. Mereka memilih calon ikut kehendak mereka dan ahli-ahli Umno yang “membajak sawah, menebas hutan dan membuang onak duri” hanya dijadikan kerbau bajak tetapi yang menuai hasil tetap mereka yang datang dari istana.
Eloklah, anak-anak peneroka beralih arah dari menyokong Umno kepada menyokong parti pembangkang. Ini kerana Umno lebih melihat kepada anak bangsawan dari anak peneroka dan anak petani.
Melihat kepada hirerki kepimpinan Umno, Najib sendiri anak kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein anak kepada Allahyarham Tun Hussein Onn, Datuk Mukhriz Mahathir anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Tenang, pemilihan Mohd Azahar Ibrahim kerana dia anak kepada Allahyarham Ibrahim Daud, bekas Senator, bekas ADUN Tenang dan bekas Ketua Umno Bahagian Labis.
Begitu juga ADUN Parit Jawa, Dr. Robiah Kosai yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor yang pernah terpilih menjadi Ahli Parlimen Muar dan Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi adalah anak kepada bekas wakil rakyat Muar, Allahyarham Datuk Kosai.
Dulu, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Zainab Bon Abu Bakar juga adalah anak kepada bekas wakil rakyat yang lebih tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Tebrau. Mohd Tawfek Tun Dr. Ismail pula pernah dipilih menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut kerana beliau anak kepada Allahyarma Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Tan Sri Syed Hamid Albar pula adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar sudah mewakili Parlimen Kota Tinggi lebih dari lima penggal.
Datuk Abd Hamid Abd Rahman, ADUN Renggam merupakan menantu kepada Allahyarham Datuk Fatimah Salim, bekas Ketua Umno Bahagian Sungai Benut. Hari ini Datuk Senator Sharifah Azizah Syed Zain pula muncul sebagai salah seorang pemimpin wanita dari Johor kerana beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain bekas ADUN Parit Raja dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.
Begitu juga dengan Datuk Nurjazlan Mohamed, Ahli Parlimen Pulai yang juga Pengerusi UDA merupakan anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno dan Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Rata-rata anak pemimpin, menantu pemimpin dan adik beradik pemimpin Umno terpilih menjadi wakil rakyat, walaupun kelulusan mereka tidak seberapa tetapi mereka yang merupakan cikgu sekolah, peniaga dan orang biasa diketepikan sahaja oleh Umno kerana ‘bukan darah bangsawan’.
Di Johor kini, ada dua ADUN adik beradi. Seorang bernama Osman Safian merupakan ADUN Kempas dan seorang lagi Datuk Aziz Safian, ADUN Nusa Jaya dan merupakan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah.
Jadi, seluruh kepimpinan Umno Bahagian Labis, sama ada Timbalan Ketua Bahagian (kini pemangku Ketua Bahagian), Rusdin Mahamud, Naib Ketua Bahagian, Hashim Daud, Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Bendahari Bahagian dan seluruh AJK Bahagian bolehlah jika mahu berundur dari terus berjuang dalam Umno kerana kelibat mereka tidak disedari oleh pucuk pimpinan Umno di peringkat negeri dan Pusat.
Begitu juga ketiga-tiga sayap parti dalam Bahagian Labis, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tenaga dan masa mereka terbuang dengan sia-sia kerana pucuk pimpinan hanya memerlukan mereka ketika mahu meramaikan orang jika ada majlis sambutan terhadap pemimpin datang ke Labis.
Mereka layak membawa bunga mangar dan berbaris dengan uniform merah putih kebanggaan mereka (yang Puterinya berwana pink) untuk menampakkan Umno itu kuat tetapi apabila pucuk pimpinan mahu memilih calon mewakili Umno dan BN, mereka tolak ketepi semua sumbangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin parti di peringkat bahagian ini.
Mereka betul-betul jadikan pemimpin Umno bahagian sebagai “kerbau yang membajak sawah, tetapi kucing juga makan di dapur”. Jika dalam Umno ada mengamalkan kasta, pemimpin Umno bahagian bolehlah dianggap sebagai kasta paling rendah kerana khidmat mereka diperlukan tetapi yang “menuai hasilnya” tetap golongan bangsawan.
Untuk menjadi ADUN Tenang, adalah lebih baik mereka yang berlatar belakangkan cikgu sebenarnya. Sudah pasti, mereka ini bergaul dengan masyarakat bawahan dan tidak perlu berkelulusan luar negara, sekadar mahu menjadi ADUN.
Namun, ketika ini, timbullah cerita kononnya pengundi Labis mahukan anak tempatan. Sejak bila pula syarat anak tempatan ini dijadikan pra syarat untuk menjadi calon? Adakah kerana tidak sukakan Rusdin maka pra syarat ini dikenakan atau, memang selepas ini, hanya anak tempatan sahaja akan dicalonkan di satu-satu kawasan?
Bagaimana dengan Datuk Sri Shahrir Abd Samad yang dilahirkan di Pahang dan bagaimana dengan nasib Hamid Rahman yang merupakan anak jadi Baling tetapi menjadi Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam?
Penyokong Umno Labis dan seluruh kepimpinan Umno Labis perlu memprotes keputusan pucuk pimpinan ini.
Jika tidak, ia akan berterusan dan ini tidak menguntungkan Umno dan BN. Bagaimana pula dengan undi? Adakah hanya anak Labis sahaja yang patut mengundi calon BN manakala yang tidak dilahirkan di Labis, termasuk Rusdin bolehlah mengundi calon Pas yang merupakan anak jati Serom, terletak di bawah Parlimen Ledang, di mana Ketua Umno Bahagian Ledang, adalah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Fikirkanlah. Mesej yang keras perlu dihantar kepada Najib dan Ghani supaya jangan sesuka hati memilih calon yang berada di luar dari “kotak kepimpinan Umno bahagian” sendiri.



2 ulasan:

Klik Di Sini berkata...

salam.. terima kasih sudi link blog saya...

selamat berjuang di alam maya..

Unknown berkata...

Mereka di atas tidak mahu belajar, mereka juga tidak mahu berubah. hukumlah demi pengajaran