Oleh Zamzuri Damanhuri
ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam pernah bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun. Dia menentang Datuk Dr. Rosli Mat Hassan. Din kalah.
Ketika Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu, Din merupakan Exco kerajaan negeri. Fotfolio yang dijaganya, melibatkan sukan dan tentunya stadium. Tetapi, tragedi bumbung stadium runtuh, tidak diketahui ada kaitan dengannya atau pun tidak. Setakat ini, namanya tidak terkait dalam dakwaan.
Pegawai khasnya, Abdul Mubin Ismail. Budak Mubin ni, selepas Din menolak perlawaan menjadi Exco dalam era kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said, menjadi budak nanar (baca: berasa agak pening). Dia ada blog. Dia gunakan blog itu untuk menyerang orang yang paling dia benci, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.
Baru-baru ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dari 13-16 Disember, Din Adam dilihat mendiamkan diri tanpa membawa apa-apa cadangan dalam DUN.
Tidak tahulah, adakah arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarangnya bercakap, menyebabkan dia senyap atau, dia memang takut hendak bercakap, kerana dalam persidangan yang lalu, dia dianggap sebagai ‘kurang cerdik’ kerana dakwaan yang tidak betul dikemukakan di dalam persidangan.
Khabarnya, sekarang ini Din Adam lebih banyak masa di Kuala Lumpur dari di Bukit Besi. Ini kerana dia dikatakan bekerja dengan Hishammuddin, menjadi Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri.
Dalam masa yang sama, Din Adam juga dilihat sering bersama-sama bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Tempat dia bermesyuarat dengan Idris, di PWTC.
Apa yang dirancang dengan Idris, tiada siapa yang tahu kecuali mereka berdua. Kadang-kadang, kelihatan bersama-sama mereka, bekas Setiausaha Politik Idris, ketika Idris menjadi MB Terengganu, Datuk Dr . Ahmad Ramzi yang dalam pendakwaan kerana SMS ugutannya.
Ada orang bercerita, mereka bertiga sedang menyiapkan kaji selidik untuk memperdaya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin – berkitan peluang calon-calon BN (Umno) yang boleh menang dan mungkin kalah di seluruh Malaysia.
Hendak percaya, susah tetapi tidak percaya pun susah juga. Maklumlah, mereka semuanya bijak-bijak belaka. Kalau tidak bijak, bagaimana mereka boleh memboikot Persidangan DUN Terengganu dalam tahun 2009 dahulu?
Agaknya, kalaulah mereka ini Ahli Parlimen, jika mereka ada masalah dengan Perdana Menteri, mereka pun memboikot Persidangan Parlimen. Agaknya kerana mereka ADUN, maka mereka memboikot DUN.
Perdana Menteri sebagai Presiden Umno tidak berani mengambil apa-apa tindakan terhadap perbuatan bodoh mereka ini.
Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Presiden Umno juga tidak boleh buat apa-apa terhadap mereka ini.
Malah, sejarah membuktikan Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan penyokong tegar Muhyiddin sejak sekian lama, langsung tidak mendapat pembelaan dari Muhyiddin.
Idris yang tidak ada sejarah menjadi penyokong Muhyiddin dan tidak pernah menjadi penyokong Najib, kini menjadi orang penting di MARA dan khabarnya diberi tugas menjadi Pengarah IT Pilihanraya Malaysia .
Inilah politik. Orang yang setia, sering menjadi mangsa. Orang yang pandai mencipta tamadun, pandai buat kertas kerja dan kononnya ada idea baru, sering diberikan tempat dan peruntukan. Padahal, kesetiaan orang-orang ini, amat mendukacitakan!
Begitu juga dengan Hishammuddin. Walaupun dia dikatakan memang berkawan rapat dengan Din Adam, tetapi dia sepatutnya berani menegur sikap Din Adam yang keterlaluan terhadap seorang ketua yang bergelar YAB Datuk Seri Ahmad Said.
Kenapa, Hishammuddin takut sangat dengan Din Adam? Walaupun Din bermulut celupar, biadap dan bercakap kasar di depan Datuk Seri Ahmad Said yang turut didengari Idris Jusoh dan Hishammuddin sendiri, Hishammuddin masih melantik Din Adam menjadi Pegawai Khasnya.
Sepatutnya, Hishammuddin kena ada prinsip…menyayangi Umno melebihi menyayangi Din Adam!
Bila sampai musim persidangan DUN, kalau Din Adam tak tahu nak buat ucapan, Hishammuddin sepatutnya melantik pegawai-pegawainya yang berpengalaman membuatkan ucapan untuk Din berucap di DUN Terengganu.
Janganlah membiarkan Din Adam menyerang Menteri Besar Terengganu (seperti dalam persidangan yang lalu) seolah-olah dia seorang wakil rakyat pembangkang.
Kalau dia betul-betul nak membangkang, kenapa tidak menyertai pembangkang? Bolehkah Din Adam menang pilihan raya kalau tidak bertanding atas tiket BN di DUN Bukit Besi?
Sepatutnya Menteri Besar Terengganu mencalonkan Roslee Daud menjadi calon BN di DUN Besi. Umno Bahagian Dungun juga sepatutnya mempertimbangkan nama Setiausaha Umno Bahagian Dungun menjadi calon BN di DUN Bukit Besi.
Cukuplah Umno menyimpan kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tidak setia dan tidak tahu beterima kasih.
Bila Umno Bahagian Dungun buat retreat (pemukiman), Din Adam hanya datang waktu perasmian sahaja. Kononnya dia dengar yang akan datang merasmikan retreat itu ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Itu sebab dia hadirkan diri. Tidak tahu malu, duduk atas pentas dan diberi penghurmatan oleh bahagian yang dia sendiri tidak pernah menghurmatinya.
Selepas selesai peramian yang dilakukan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk tengku Putera Tengku Awang mewakili Setiausaha Agung Umno, Din Adam menghilangkan diri. Terus tidak muncul sehingga selesai retreat tersebut.
Begitu juga bila Hishammuddin ke Terengganu dahulu ketika mahu mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan, Din khabarnya menyambut ketibaan Hishammuddin tetapi apabila namanya tidak disenaraikan sebagai salah seorang pegawai dalam perhubungan negeri, bayangnya pun tidak kelihatan ketika Hishammuddin pulang ke Kuala Lumpur.
Apahal ni Datuk Seri Hishammuddin…tegurlah Din Adam ni!
1 ulasan:
Sudah sampai waktunya anak muda diberi ruang... ahli2 UMNO di DUN Bukit Besi dah lama menderita akibat permainan politik Din Adam yg tidak berkesudahan....kalau dah dgn MB tak sehaluan, dengan Ketua Bahagian pun lagi tak sebulu, dgn Ketua Pemuda pun nak buat baloh, so Din Adam ni wakil parti mana?
Catat Ulasan