Oleh Safar Jumaat
BEKAS Naib Presiden tiga penggal Umno dan sepenggal menjadi Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib tiba-tiba muncul, mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri baru-baru ini, tanpa mengundang orang-orang politik tetapi, berjaya melontarkan beberapa ayat yang cukup menggusarkan banyak pihak.
“Saya melihat dari jauh perkembangan politik dan sebagai orang biasa, saya tidak ada apa-apa peranan untuk ke depan,” Muhammad dipetik sebagai berkata.
Namun, di majlis-majlis rumah terbuka orang-orang politik, isu Muhammad yang membuat kemunculan semula ini, menimbulkan banyak pertanyaan. Pertama, apakah beliau sudah memaafkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengenepikannya selepas pemilihan Umno dahulu?
Di Selangor, orang-orang Umno masih gagal melupakan sentuhan Muhammad sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Malahan, selepas ketiadaan Muhammad, Umno Selangor seperti teraba-raba mencari pengantinya. Kecaman dan ejekan kisah lamanya sudah tidak menjadi hal, tetapi apabila Muhammad yang merupakan bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor tidak muncul, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen itu, tidak lama dulu, ramai yang melihat, Muhammad terluka.
Malahan, sedikit waktu dahulu, ada yang mendakwa Muhammad mungkin menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas, menentang PKR dan BN di situ – namun, orang-orang Muhammad marah dengan dakwaan ini.
“Tan Sri (Muhammad) bukan jenis penderhaka kepada parti,” kata mereka yang mendakwa rapat dengan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Najib, Muhyiddin dan Muhammad adalah ‘dari satu rangkai’ ketika mereka dalam team wawasan dahulu. Selain dari Najib yang tidak pernah kalah selama tiga penggal berturut-turut sebagai Naib Presiden, Muhammad juga setanding dengan Najib.
Malahan, Najib tidak pernah menang jawatan Naib Presiden tanpa jawatan dalam kerajaan, tetapi Muhammad pernah menang walaupun ketika itu beliau tidak bergelar YB pun.
Muhyiddin tewas ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan, namun kemenangan Muhammad sebagai Naib Presiden tidak menyebabkan beliau segera diberikan jawatan oleh pucuk pimpinan ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hari ini, timbul persoalan, apakah Muhammad akan kembali aktif dalam Umno Selangor kerana beliau masih Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya, walaupun sudah bercuti sejak tewas dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dahulu.
Dari segi pengaruh, Muhammad sebenarnya tidak kurang hebatnya dari Muhyiddin dan Najib. Cuma, Najib adalah anak kepada Tun Razak Hussein. Manakala, Muhyiddin ketika kalah sebagai Naib Presiden Umno dalam tahun 1996, dikekalkan sebagai menteri.
Berbeza dengan Muhammad, selepas digugurkan (digantung) dari jawatan parti dan diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau kekal sebagai Naib Presiden – tetapi tidak ditawarkan sebarang jawatan, hinggalah Abdullah melantiknya sebagai Senator dan Pengerusi RISDA.
Selepas PRU 12, Abdullah mengumumkan Muhammad sebagai menteri tetapi apabila Abdullah diserang hebat ekoran keputusan PRU 12, Muhammad merupakan salah seorang ‘panglima’ Abdullah yang mempertahankan Abdullah hingga saat akhir.
Muhammad ketika itu menyandang jawatan Ketua Penerangan. Sebagai penyandang jawatan ini, beliau duduk dalam Biro Politik. Kenapa Najib tidak berbuat sesuatu ketika Muhammad mengumumkan hasratnya untuk bertanding, sebaliknya, Muhammad difahamkan Najib ‘bersikap terbuka ‘terhadap pertandingan itu’ sebaliknya, dalam masa yang sama, Najib menyokong Muhyiddin dan menyekat kemaraan seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Najib dan Muhyiddin mungkin merasakan mereka selamat dari sebarang cabaran untuk kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.
Namun, di peringkat bawahan, masing-masing bercakap bahawa kedudukan Muhyiddin dengan mudah sahaja boleh digugat, walaupun mungkin bukan Muhammad yang akan tampil menawarkan diri.
Ramai yang melihat kepada potensi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Jika berbincang pasal politik Negeri Selangor, ada pihak mendakwa, selain dari Najib (sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Datuk Seri Noh Omar sebagai timbalannya, ramai yang tahu, ada orang lain yang sedang menyusun sesuatu untuk mencari tempat dalam hirerki kepimpinan Umno negeri.
Itulah sebabnya, Muhammad didakwa ada menyentuh tindak-tanduk ‘orang berkenaan’ yang boleh menyebabkan Umno Selangor akan kembali berpecah, setelah tewas dalam PRU 12 yang lalu.
Apakah Muhammad akan ‘dilamar’ semula oleh Najib setelah melihat kepada perkembangan politik Umno Selangor yang cukup lemah sekarang?
Mahukah Muhammad menerima lamaran tersebut? Apakah Muhammad dengan mudah boleh memaafkan Najib atas apa yang pernah Najib lakukan kepadanya?
Apakah Najib yang dikatakan cukup mengharapkan Muhammad supaya muncul membantu kempen BN di Hulu Selangor, telah menjadikan Najib-Muhammad sudah berkerat rotan berpatah arang?
Apakah Najib tidak yakin Muhammad masih mempunyai ramai penyokong dalam Umno? Atau Muhammad memang sejak dahulu lagi tidak sehaluan dengan Najib dalam banyak perkara?
Hubungan Najib-Muhammad mungkin akan menjadikan sejarah hubungan Tun Dr. Mahathir-Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan Musa Hitam tidak senang duduk.
Apakah Muhyiddin akan berusaha menyekat Najib supaya tidak ada hubungan langsung dengan Muhammad supaya dia selesa menjadi Timbalan Perdana Menteri yang lemah di bawah Najib?
Muhyiddin tentunya risau dengan kecemerlangan yang Mohd Ali Rustam tunjukan sekarang walaupun Muhammad lebih banyak berdiam diri. Tiada siapa yang tahu apakah Muhammad masih bersama-sama penyokong-penyokongnya atau, beliau memang mahu terus berehat sambil “memberi budak-budak makan ubat” seperti yang diperkatakannya baru-baru ini.
Entah-entah dengan kemunculan Muhammad ini menyebabkan ada pemimpin Umno yang hilang selera makan, tidak lena tidur dan menjadi resah gelisah?
Bagaimana dengan Najib? Apakah masih mahu berusaha mendapatkan semula Muhammad atau, dia yakin bahawa hanya dengan menjamin kedudukan Muhyiddin, Umno akan kembali kuat tanpa perlu mendapat sokongan yang lain-lain, termasuk Muhammad.
Semua pertanyaan ini sedang berlegar-legar di kepala orang Umno yang ‘suka akan pertandingan’ dan mereka yakin, Najib dan Muhyiddin sedikit terganggu dengan kemunculan semula Muhammad.
(Dipetik dari Harakah Bil 1576 1-3 Oktober 2010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan