Isnin, 20 September 2010

Kenapa Benci Orang Buat Baik?


Oleh Selamat Saat


MEMBACA tulisan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dalam Malaysiakini, Isnin 26 Julai 2010 bertajuk Tun Dr. Siti Hasmah Tak Menyibuk, menyebabkan saya terpanggil untuk memberi komentar terhadap pandangannya itu.
Dia (bekas Mufti) yang disanjung oleh segelintir orang Umno yang baru belajar agama. Ada yang teramatlah kagumnya dengan pandangan dan tulisan sidia ini, kononnya dalam Malaysia tidak ada lagi seorang bekas Mufti sehebatnya.
Bila dia ditahan pihak berkuasa agama di Negeri Selangor kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah, banyak juga pandangan negatif dihamburkan. Seolah-olah, bila orang pandai agama mengajar agama, dia tak perlu mendapatkan ‘lesen’ mengajar.
Tak apalah. Biarlah pihak berkuasa agama Negeri Selangor menyelesaikan kes itu, kerana kewajarannya untuk diulas, tidak begitu penting. Mustahil, kerana ada seorang yang mengaku dia terlalu pandai, lebih pandai dari orang lain, maka kebenaran untuk mengajar agama itu tidak diperlukan, sedangkan kuasa pentadbiran agama tiap-tiap negeri, berbeza-beza – dan terletak di bawah kuasa Sultan.
Saya sebenarnya tidak berminat untuk membaca tulisan sidia ini. Pertama, saya merasakan dia memang tidak akan sehaluan dengan Mufti-Mufti di negeri-negeri lain, kerana secara kebetulan (barangkali) memang tidak ada seorang pun Mufti yang bergelar doktor seperti dia.
Jadi, kalau ada orang mengatakan sidia ini lebih pandai dari Mufti lain, mungkin benar kerana ada gelaran doktor dipangkal namanya. Kebetulan, memang semua orang yang bergelar doktor diterima sebagai lebih pandai dari mereka yang tidak memakai gelaran doktor.
Tetapi, ketika orang menganggap dia lebih pandai dari orang lain, janganlah pula ada perasaan yang begitu dalam jiwanya. Biarlah orang kata dia lebih pandai dari orang lain, tetapi dia jangan mengaku yang dia lebih pandai dari orang lain.
Samalah kalau ada orang kata seseorang itu cantik, biarkanlah. Jangan orang yang dikatakan cantik itu pergi merata tempat mengaku dan mengatakan kepada semua orang yang ditemuinya, “aku cantik. Cantik tak aku. Orang kata saya cantik, betul ke saya cantik?”
Sebagai bekas Mufti, dia dilantik menjadi Mufti, mungkin atas usaha orang Umno yang menjadi pemimpin di sesebuah negeri. Bukan kerana dia pandai, bukan kerana dia bergelar doktor, bukan kerana dia dikatakan pandai dan bukan kerana dia memang pandai yang menyebabkan dia dilantik ke jawatan itu tetapi kerana dia dirasakan sesuai, ketika itu, oleh pemimpin itu. Ketika itu. Itu sahaja!
Atas kedudukannya itu, dia diberi peluang menulis dan mencurahkan pengetahuannya, yang dia dapat dari pembacaannya dan pengalamannya. Kenapa bakat dan kebolehan menulis itu mahu digunakannya untuk menyindir? Apa faedah yang dia dapat?
Saya difahamkan, sidia ini, menjadi begitu perasan kerana ada orang Umno yang terlalu menyanjungnya. Kalau dia ke Ibu Pejabat Umno, orang Umno yang baru mahu belajar agama dan mahu menunjukkan dia menghormati orang agama, akan memberi kehormatan yang amat tinggi kepada sidia ini.
Sepatutnya, ramai lagi orang yang besar jasanya, yang perlu diberi penghormatan oleh Ibu Pejabat Umno dari bekas Mufti ini.
Orang Umno ini, yang bertugas di Ibu Pejabat Umno, yang diketahui kurang kecerdikannya digelar ‘anaconda’ atau ular ganas yang menelan apa sahaja yang melintas di depannya. Itulah sebabnya dia gemuk. Perutnya buncit. Kulit mukanya hitam dan dia kalau bercakap, kuat suaranya.
Dia pernah umum ada 100 ulama muda akan masuk Umno. Pengumumannya ini tersiarlah dalam ‘Umno-online’ yang merupakan ‘suara rasmi’ Umno. Tiba-tiba, yang masuk Umno dan menghantar boring memohon menjadi ahli Umno hanya sekitar 40 orang.
Maka terbitlah berita di Harakahdaily, ‘Umno dengan 40 orang ulama’ seperti ada persamaan dengan Filem P. Ramlee Ali Baba Dengan 40 Orang Penyamun.
Ulama ke yang muda-muda ini? Ulama, dalam Kamus Dewan bermaksud, orang yang pakar dalam agama Islam. Jadi, layak ke seseorang yang belum pun sampai usia 40 tahun, digelar ulama (muda) oleh anaconda Ibu Pejabat Umno hanya kerana mahu menunjukkan dia mampu menarik minat orang agama menyertai Umno.
Lebih menarik, pembohongan itu tidak dijadikan isu kerana anaconda cukup berkuasa di Ibu Pejabat Umno. Kata ada 100, tetapi yang masuk khabarnya 40 orang. Dari 40 orang itu, ada yang menafikan mereka mahu masuk Umno tetapi ‘dikelirukan jemputan’ oleh kawan-kawan mereka.
Jadi, apabila sidia menulis pasal Tun Dr. Siti Hasmah dan menyindir seseorang, terdetik di hati orang yang membaca tulisan itu, apakah agendanya?
Sidia menyindir isteri Perdana Menteri. Tiada siapa pun yang bangkit untuk mempertahankan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Padahal, sebagai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah sebenarnya boleh sahaja menyorok di balik dapur Seri Perdana.
Namun, Datin Seri Rosmah ada pilihan. Beliau teringin membantu suaminya, seorang Perdana Menteri yang rajin dan kreatif. Suaminya memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Datin Seri Rosmah tampil berganding bahu bersama-sama suaminya untuk membela rakyat.
Di kawasan berlaku kebakaran, Datin Seri Rosmah muncul. Cukup terharu mangsa kebakaran di Lembah Pantai. Bila ada anak-anak yatim, yang cacat dan memerlukan bantuan, Datin Seri Rosmah berada di sisi.
Lagi pun, beliau baru sahaja menjadi orang penting sebaik sahaja suaminya menjadi Perdana Menteri. Beliau membantu orang miskin dan memperkenalkan program ‘Permata’ bukan kerana ‘menyibuk’ tetapi kerana beliau mahu membantu rakyat Malaysia, mengikut kemampuan dan kebolehannya. Kenapa usaha murni ini tidak boleh dilihat dari kaca mata seorang bekas Mufti?
Apakah program yang diperkenalkan oleh Datin Seri Rosmah mampu dilakukan dan terfikir di kepala otak seorang bekas Mufti? Kalau dia sudah terfikir dan mempunyai idea sehebat idea dan kebolehan Datin Seri Rosmah, kenapa tidak dibuat atau dicadangkan dibuat ketika dia menjadi Mufti di Perlis dahulu?
Negara kita sebenarnya ramai pengkritik. Lahir Proton Saga, ada orang yang mengkritiknya. Terbinanya Jambatan Pulau Pinang, ada orang yang mengkritiknya. Terbangunnya KLCC, ada orang yang mengkritiknya. Terbinanya Menara Kuala Lumpur, ada orang yang mengkritik. Tetapi, kalau kita bertanya, apa yang dibangunkan oleh sipengkritik itu, tentulah jawapannya ‘kosong’.
Tun Dr. Siti Hasmah memang seorang ‘ibu, isteri dan ikon’ yang hebat tetapi untuk memuji beliau, usahlah menyindir sesiapa. Kita boleh menulis dan bercakap tentang kehebatan Singapura tetapi usahlah kita menyindir negara lain.
Jika Datin Seri Rosmah mahu berbakti kepada masyarakat, usahlah sesiapa mengatakan ‘beliau mengalahkan menteri’. Memetik kata-kata Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz di Parlimen sedikit waktu dahulu, ucapan tahniah patut diberikan kepada seorang isteri Perdana Menteri kerana memilih untuk ‘bekerja’ sedangkan beliau boleh sahaja ‘berehat’ kerana kedudukannya itu.
Malangnya, orang yang ada gelaran doktor dipangkal namanya, menggunakan kelebihan dan kepandaiannya (jika dia pandailah) untuk menyindir orang yang mahu berbakti. Apakah ada ‘hukum’ dalam Islam yang dia terjumpa ketika dia membaca dan membelek kitab-kitab, bahawa seorang isteri Perdana Menteri, mestilah tidak menjadi ‘menteri tambahan?’ (istilah yang saya pinjam dari tulisan sang bekas Mufti ini).
Para empat lewat tulisannya, bekas Mufti ini menulis...’Jika kita masih ingat semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun Siti. Wajahnya yang tidak sombong gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi’.
Dari tulisannya ini, kita tentunya tahu bahawa dia (bekas Mufti) ini tidak tahu cerita sebenarnya. Saya tidak perlulah menyebut apakah cerpen dan novel yang ditulis, selain risalah politik (ketika itu belum ada blog dan internet) yang mengejek, mengecam dan mengutuk Tun Dr. Siti Hasmah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagi orang politik dan mereka yang kuat ingatannya, tentulah tahu apa tajuk buku dan cerpen yang saya maksudkan itu, hingga pernah Tun Dr. Mahathir mengulasnya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno.
Saya mengambil masa yang agak panjang untuk menulis komentar ini kerana saya mengharapkan ada juak-juak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan mereka yang rapat dengan Datin Sri Rosmah menjawab sindiran dari ‘lebai malang ini’. Malangnya, mereka bukan sahaja takut untuk menjawabnya, malahan, ada yang menyebarkannya kepada rakan-rakan melalui SMS supaya artikel tidak berhemah itu dibaca.
Demi Allah, saya tidak pernah mengenali Datin Sri Rosmah. Jauh sekali Datin Sri Rosmah mengenali saya. Tetapi, saya merasakan saya mempunyai satu tanggungjawab, mempertahankan beliau bukan kerana mahu mengenalinya secara dekat tetapi mahu mempertahankan usaha baiknya, niat murninya dan kejujurannya di dalam membantu masyarakat.
Orang berbuat baik, kita sindir. Kita sendiri tidak mampu berbuat seperti apa yang orang itu buat. Saya tidak mampu melakukan apa yang Datin Sri Rosmah lakukan, jadi, mempertahankan usaha kebaikan yang dilakukannya itu sudah cukup baik bagi saya. Saya bukan mahu menyokong usaha orang melakukan kejahatan sebaliknya saya menyokong usaha orang yang melakukan kebaikan.
Kalaulah ada orang benci pemimpin kerana bini dia, sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti, inilah saat yang sesuai digunakan untuk mempertahankan usaha baik. Membandingkan seorang isteri Perdana Menteri dengan Tun Dr. Siti Hasmah tentulah tidak adil. Tun Dr. Siti Hasmah ada caranya beliau membantu rakyat, Datin Sri Rosmah, tentulah ada caranya.
Seorang isteri kepada seorang timbalan menteri memberitahu, Datin Sri Rosmah sebenarnya seorang ‘pemimpin’ yang cukup berkaliber, baik dan berreputasi yang cukup baik. Tetapi, jika ada orang menyindirnya, mengutuknya, mengatanya...bukan kerana mereka bercakap benar tetapi hanya kerana mereka berprasangka buruk terhadap seseorang.
Kepada Datin Sri Rosmah, beliau tidak perlu menjadi seperti orang lain. Jadilah diri sendiri. Teruskan berbakti kepada rakyat dan orang yang memerlukannya kerana jika bukan beliau yang melakukannya, mustahil ada bekas Mufti yang mampu memainkan peranan seperti apa yang Datin Sri telah lakukan.

Tiada ulasan: