Sabtu, 4 September 2010

BLOGGER ProUMNO - TERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA ISLAM, MELAYU & MALAYSIA

Saya tertarik dengan nukilan Jefri Zachariah dari Malaysia-Instinct yang kemudian dipetik blogger House PK mengatakan ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat blog kini menjadi instrumen terpenting, bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki.

Menurut Jefri, antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.

Blog dikatakan menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.


Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 yang dikendalikan Zentrum Future Study Malaysia mendapati, blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Dengan semangat Merdeka yang disambut semalam, seharusnya blogger yang proUMNO terus bersatu.

Yang buat onar itu adalah satu dua yang hidupnya di atas ihsan orang lain dan menindas orang lain. Mereka kononnya blogger terkenal dan mendapat hits yang tinggi.

Itu bukan ukurannya. Hits banyak cara. Ada yang menambah dengan sengaja dan ada yang rela membiarkan bilangan hits mengikut cara yang ‘halal’.

Soal penting kita perlu memeruskan perjuangan. Jangan ikut mereka yang suka menempel di tepi pemimpin UMNO atau kerajaan untuk menunjukkan mereka blogger penting.

Kalaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor atau Setiuasaha Kerja, Datuk Abdul Rauf Yusof tidak mengenali kita pun tidak apa.

Mereka tidak hulur atau iktiraf kita pun tidak apa. Perjuangan adalah demi UMNO dan masa depan anak kita.

Kita bukan blogger yang mengharapkan diambil bekerja dengan Perdana Menteri atau sesiapa yang berpangkat. Nawaitu kita bukan begitu kerana perjuangan menegakkan UMNO, bangsa dan agama Islam perlu diteruskan.

Blogger macam kita - Najib, Tengku Adnan atau pemimpin UMNO tidak peduli atau pandang sebelah mata pun tidak apa. Hakikatnya kita tidak tunduk dan kadangkala terpaksa ‘berbohong sunat’ untuk diundi atau menang pilihan raya!

Blogger kekal blogger. Kepada orang politik, kalah hari ini, esok orang tak buka lagi pintu kereta untuk mereka!

Berapa banyak askar yang mati atau sudah pencen yang tidak menerima bintang dan hidup melarat sebaliknya ketua mereka yang diiktiraf. Apakah mereka berkecil hati? Tidak...mereka bangga kerana menyumbang untuk negara.

Nah begitulah juga kita. Kita tidak mahu menjadi blogger yang melaga-laga antara kita atau tidak amanah membahagi-bahagikan ‘kek’ atau ‘sumbangan’ yang dihadiahkan. Biarlah mereka hidup cara mereka.

Cumanya jangan jadikan antara kita ada blogger elit, blogger yang kononnya 'rapat' dengan pihak tertentu dan mempunyai hits yang tinggi dan memandang rendah kepada blogger-blogger lain.

Tidak seharusnya ada blogger picisan atau kasta antara kita.

Janganlah kita patah semangat kerana senjata kita kini sudah terhunus dan pembangkang sudah panas dengan kehadiran kita.

Tinggalkan blogger yang terus mengharap subsidi dan bantuan orang besar UMNO kerana mereka mempunyai kepentingan diri.

Dalam kedudukan ini, kita yang merdeka perlu menyata dan membuktikan bahawa kita bebas dari segi perjuangan, semangat dan halatuju kita.

Kitalah blogger pembela bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tercinta – MALAYSIA. Merdeka, Merdeka, Merdeka!
 
(Dipetik dari http://hambali1.blogspot.com/2010/09/teruskan-perjuangan-membela-islam.html)

Tiada ulasan: