Ahad, 20 Jun 2010

Terengganu Latih Ibu Tunggal Jadi Pembantu Rumah

KUALA TERENGGANU, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan memperkenalkan skim latihan pembantu rumah selama tiga bulan untuk hampir 2,000 ibu tunggal di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya tawaran untuk mengikuti kursus latihan itu, yang dikendalikan oleh Kolej Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), akan dibuka bulan depan.

Bagi peringkat permulaan, keutamaan akan diberikan kepada ibu tunggal yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Ahmad Razif berkata pada masa ini terdapat hampir 20,000 ibu tunggal di Terengganu dan ada di antara mereka bekerja sebagai pembuat kuih dan menjadi pembantu kedai makanan.

Selepas mengikuti kursus tersebut, pasaran kerja mereka akan dibantu pihak YPK dan ia menjadi satu lagi cabang yang boleh membantu mengatasi kekurangan pembantu rumah di negara ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan lawatan ke agensi tempat latihan pembantu rumah di Indonesia dan sebahagian daripada modul yang diajar di negara itu akan dijadikan modul latihan berkenaan.

Katanya mengikut cadangan kerajaan negeri, YPK akan menjadi ejen kepada pembantu rumah itu bagi memastikan sumber pendapatan mereka terjamin.

Katanya cadangan kerajaan ialah pembantu rumah itu tidak tinggal bersama majikan tetapi bekerja mengikut waktu pejabat.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Walinong Sari berkata...

Saya telah menulis lebih kurang 30 line. Tetapi sila proses. Saya akan berurusan kelak.