Selasa, 29 Jun 2010

Teka Teki Dr Asri Sertai UMNO Diketahui Jumaat

Oleh: KU AZMAN KU ABAS.

KUALA LUMPUR 23 Jun. – Teka teki berhubung kemasukan bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin bersama tokoh ulama’ muda yang lain ke dalam parti keramat UMNO akan diketahui Jumaat ini.

Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, hasil perbincangan dengan Dr Asri serta tokoh-tokoh ulama yang lain, perkara itu insyaAllah akan menjadi realiti.

UMNO, ujar beliau, dengan tangan terbuka bersedia menerima kemasukan mana-mana ilmuan Islam ke dalam parti keramat berkenaan.

“Daripada apa yang kita faham, tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan agama hari ini melihat Pas sudah lari daripada perjuangan dasar semata-mata mengejar kepentingan politik.

“Sebagai contoh, pada muktamar agung Pas baru-baru ini, isu negara Islam dan Hukum Hudud tidak langsung disentuh. Ini menyebabkan tokoh-tokoh agama tertanya-tanya apa sudah terjadi dengan dasar yang dilaung-laungkan sebelum ini.

“Atas perkembangan itulah, kebanyakan tokoh agama seperti Dr Asri dan sebagainya telah melihat Pas tidak sekata dengan perjuangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Jasamu Dikenang bagi menghargai ahli Lembaga Disiplin UMNO, Senator Tan Sri Abu Zahar Datuk Nika Ujang yang dilantrik sebagai Yang DiPertua Dewan Negara, di Royal Selangor Club, di sini.

Rauf menambah, ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi penggulunganya di muktamar parti itu juga turut menimbulkan kesedaran kepada umum bahawa perjuangan Pas sudah jauh tersasar.

“Hadi menyebut, kerjasama politik yang diamalkan dalam pakatan pembangkang bersama PKR dan DAP sekarang ini dibuat berdasarkan al-Quran dan diizinkan syarak.

“Dulu dia tuduh kita macam-macam apabila UMNO bekerjasama dengan MCA dan parti lain yang bukan Melayu di dalam Barisan Nasional (BN). Hari ini bila untuk kepentingan mereka, dalil Al-quran pula dijadikan mainan Pas untuk kepentingan politik,” katanya. – MediaUMNO

(Dipetik dari http://umno-online.com/?p=11658&sms_ss=email)

Tiada ulasan: