Selasa, 29 Jun 2010

100 Ulama Bakal Semarak, Segarkan Perjuangan UMNO

oleh Isa Nikmat

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk Phd akan menyertai UMNO, Jumaat depan menerusi UMNO Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh, percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO.

“Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada UMNO, kita akan menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan UMNO yang lebih cemerlang,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Ab Rauf yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan UMNO lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Menyentuh mengenai perkembangan syiar Islam, beliau berkata, buat pertama kali di dalam sejarah mulai Perhimpunan Agung UMNO, Oktober ini, perwakilan akan menggunakan kemudahan bersolat Jumaat di PWTC. Urusan itu sudah diatur dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut menyediakan khatib mulai minggu depan.

Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu memuji usaha UMNO Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai UMNO.

“Saya berkawan dengan ulama ini sudah lama, tetapi tidak pernah saya dapat ajak mereka libat diri di dalam perjuangan (secara langsung di dalam parti) ini.

“Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam UMNO, Pas tidak akan tidur lena.” -MediaUMNO

(Dipetik dari http://umno-online.com/?p=11348&sms_ss=email)

Tiada ulasan: