PETALING JAYA: Misteri di sebalik pergeseran keluarga diraja Kelantan kembali muncul hari ini apabila Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Tuanku Ismail Petra mendakwa ada pihak cuba menghalang ayahandanya, Sultan Kelantan daripada berlepas menerima rawatan susulan di Singapura pagi tadi.
Tengku Fakhry yang menemui para wartawan di Kota Baru petang ini berkata, pesawat yang disewa khas untuk membawa Sultan Kelantan ke Singapura telah tidak diberikan kebenaran untuk mendarat oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat Pengkalan Chepa.
Beliau mendakwa, larangan tersebut dikeluarkan walaupun pesawat tersebut dan juga pemergian Sultan Kelantan ke Singapura akan dibiayai secara peribadi oleh keluarga diraja itu bukannya atas peruntukkan kerajaan negeri.
Menurut Tengku Fakhry lagi, Sultan sepatutnya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura, iaitu hospital yang merawat baginda ayahandanya selama lebih sembilan bulan bermula Mei 2009 sebelum kembali ke tanah air Mac lalu.
Mstar difahamkan, beberapa wartawan di Kota Baru telah menunggu di lapangan terbang seawal 10 pagi lagi selepas mendapat maklumat mengenai keberangkatan Sultan ke Singapura tetapi selepas menunggu selama beberapa jam mereka dimaklumkan penerbangan tersebut telah dibatalkan.
Untuk rekod, Tengku Fakry dan kekanda sulungnya, Tengku Muhammad Faris kini berada dalam situasi berkrisis ekoran penyingkiran Tengku Fakry sebagai anggota Majlis Perajaan Negeri.
Majlis Perajaan Negeri bertanggungjawab menentukan bakal penganti Sultan atau melantik pemangku Sultan sekiranya Sultan berada dalam situasi uzur untuk memerintah negeri.
Dan sejak Tengku Faris memangku jawatan Sultan terdapat beberapa percubaan untuk menguggurkan baginda daripada jawatan itu.
--mStar Online
Rabu, 5 Mei 2010
Krisis Istana Kelantan: Pesawat Untuk Bawa Sultan ke S'pura Tak Dibenar Mendarat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan