Ahad, 21 Februari 2010

Najib, Tun M terus calar imej K


Oleh Idris Samad

KJ atau Khairy Jamaluddin bukan nama orang biasa dalam politik Umno. Dia punya aura tersendiri, walaupun lebih ramai yang membenci dari yang menyukainya.

Ternyata, walaupun pemilihan dicemari dengan dakwaan berlaku politik wang, KJ memenangi pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, mengatasi saingannya Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Muhkriz Tun Dr. Mahathir.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyenangi kemenangan KJ ini hingga memaksa beliau menyerang KJ setiap kali ada kesempatan. Terbaru, ketika menghadiri majlis perlancaran Perkasa Negeri Selangor di Hulu Klang, Dr. Mahathir memuntahkan kebenciannya itu lagi.

Katanya, bagaimana untuk mengira undi 400 perwakilan mengambil masa tujuh jam dan belum pernah ada mana-mana ketua Pemuda Umno yang dilarang turun berkempen dalam pilihan raya kecil!

Dalam sungguh erti kata-kata Dr. Mahathir itu. Secara mudah, beliau bolehlah dianggap mahu perwakilan Pemuda Umno memilih anaknya menjadi ketua Pemuda tetapi kata-katanya itu terlindung dek serangan duit di malam akhir berkempen, dakwa beberapa perwakilan yang menyokong Mukhriz.

Namun, bagi mereka yang menyokong KJ mendakwa, kenapa Dr. Mahathir perlu begitu emosi sekali apabila bercakap soal Pemuda? Adakah beliau mahu menjadi seperti bapa yang menghantar anak-anak masuk darjah satu, dengan duduk sekali di dalam bilik darjah bagi memastikan anaknya tidak menangis, dipilih menjadi ketua darjah dan diberi lebih perhatian oleh guru darjah tersebut?

Berbeza dengan Dr. Mohamad Khir yang tewas. Dia menyepikan diri dengan menulis blognya – walaupun ramai yang tahu bekas Menteri Besar Selangor ini sebenarnya cukup kecewa dengan kekalahan tersebut.

Ada seorang dua penyokong Dr. Khir yang menang kerusi Exco Pemuda kini bertindak menjadi duri dalam daging kepada Pemuda di bawah kepimpinan KJ. Pemuda dikatakan dilanda sindrom bisu apabila KJ tidak ditawarkan apa-apa jawatan oleh Presiden Umno, padahal budi Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terlalu besar!

Ada yang mengatakan, Najib takut untuk melantik KJ memegang apa-apa jawatan bagi mengelakkan serangan Dr. Mahathir terhadapnya. Kini, selepas hampir setahun KJ memenangi jawatan tersebut, tanpa diberikan apa-apa jawatan, Dr. Mahathir sudah pun melahirkan rasa bangganya terhadap kepimpinan Najib.

Najib juga menyambut puji-pujian Dr. Mahathir itu dengan ucapan penghargaan dan semakin tipislah harapan KJ untuk menjamah kerusi kabinet selagi Dr. Mahathir mengekori kepimpinan Najib secara dekat.

Ketika Najib melantik ketiga-tiga Naib Presiden Umno menjadi anggota kabinetnya tentulah nama KJ tersenarai sama. Bayangkan, Zahid Hamidi yang baru beberapa bulan menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri diberi kepercayaan menjadi Menteri Pertahanan sedangkan Zahid baru sahaja beberapa bulan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Hishammuddin Hussein yang bertahun-tahun menjadi Menteri Pendidikan (Pelajaran) kerana kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno juga diberikan jawatan Menteri Dalam Negeri sedangkan jawatan itu biasanya disandang oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Begitu juga dengan Shafie Afdal, dilantik menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di mana kementerian ini sebenarnya satu kementerian yang memerlukan mereka yang sanggup tidur bersama-sama orang-orang kampong dan mandi dengan air perigi – seperti yang diperkenalkan di zaman Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi menterinya.

Tak apalah. Mungkin itu rezeki Zahid, Hishammuddin dan Shafie tetapi dipercayai mereka dilantik ke jawatan-jawatan tersebut kerana mereka menang bergaya kerusi Naib Presiden Umno.

Mustahil, jika mereka kalah Najib akan melantiknya ke situ kecualilah Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang terkenal di kalangan orang-orang Umno menteri yang terlalu banyak bercakap dan sering berada di atas pentas dengan isterinya yang berfesyen rambutnya, tetap dilantik menjadi menteri walaupun kalah kerusi Naib Presiden.

Berbeza dengan KJ, dia menang tetapi dipinggirkan. Kalau rakan-rakannya dari dua lagi sayap parti senasib dengannya, tidak ketara sangat dilihat kebencian itu tetapi disebabkan ketua pergerakan Wanita dan Puteri diberikan jawatan, jelaslah kemenangan KJ tidak pernah diikhtiraf!

Najib sendiri pernah menjadi ketua Pemuda. Atas kedudukannya itu macam-macam jawatan diberikan kepadanya oleh Dr. Mahathir. Hishammuddin juga begitu, dilantik ke jawatan yang ‘selesa’ apabila menang kerusi ketua Pemuda. Apakah jaminan Najib dan Hishammuddin tidak terlibat dengan politik wang ketika pertandingan tersebut menyebabkan mereka dilantik?

Barangkali, selagi Dr. Mahathir sentiasa mengekori kepimpinan Najib secara dekat dan masing-masing saling puji memuji antara satu sama lain, selama itulah KJ tidak boleh mengharapkan apa-apa jawatan dari Najib.

Najib mungkin memikirkan apabila Mukhriz yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri boleh menyebabkan Dr. Mahathir menutup mulut tetapi ia mungkin bersyarat, selagi Najib tidak melantik KJ.

Hari ini, kedengaran ada desakan supaya KJ melepaskan jawatannya sebagai ketua Pemuda walaupun naibnya, Datuk Razali Ibrahim yang menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan sudah menafikan berlaku desakan tersebut, namun dengan pantas cerita tersebut merebak.

Hari ini, media arus perdana pun dilihat kurang memberi perhatian kepada KJ dalam setiap komen yang dibuat. Malahan, kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali lebih kerap menghiasi dada-dada akhbar jika dibandingkan dengan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sayap terkuat dalam parti yang memerintah kerajaan Persekutuan.

KJ tidak perlukan simpati sesiapa tetapi disebabkan imejnya tercalar ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, di mana dia dikatakan terlalu berkuasa menyebabkan calaran imej tersebut sehingga kini masih belum berjaya dipulihkan.

Jika ini yang berlaku, apakah Umno dan BN masih mempunyai harapan untuk kembali menarik sokongan pengundi muda dalam pilihan raya umum akan datang?

(Dipetik dari Harakah Bil 1516, 22-25 Februari 2010)

1 ulasan:

Detguaq berkata...

Berita berbelit ini rupanya di petik dari tabloid harmakah! hu hu hu....

Waalupun beberpaa fakta yang vital di ketepikan, sesiapa yang lama dalam UMNO pasti tahu siapa kj!

ketepilah kau kj!