Selasa, 23 Februari 2010

Apa salah KJ hingga dibenci sepanjang masa?


Oleh Idris Samad

KETIKA saya menulis rencana bertajuk ‘Najib, Tun M terus calar imej KJ’ – saya memikirkan soal desas-desus yang mengatakan ada desakan dari salah seorang Exco Pergerakan Pemuda Umno yang mahu KJ berundur kerana kononnya KJ tidak nampak mempunyai kemampuan menerajui pergerakan itu.
Alhamdulilah, Harakah (Bil 1516, 22-25 Februari 2010), sebuah akhbar milik pembangkang mempunyai sikap terbuka menyiarkan tulisan itu dan kemudiannya dipetik oleh blog citra-bangsa.blogspot.com – namun menerima komentar dari pembaca yang mendoakan supaya KJ dinyahkan dari persada politik Umno. (Lihat juga Berita Harian, Selasa 23 Februari 2010, artikel tulisan amhariah Jaafar bertajuk Kepemimpinan Pemuda Umno diuji, Sunday Star, Creating the path for change – 21 February 2010 dan Harakah, Bil 1516 Ruangan aspirasi Mohd Rashidi Hassan bertajuk Hikayat terakhir Khairy dalam Umno)
Hakikatnya, KJ menang pertandingan. Pertandingan itu tiga penjuru dan masing-masing, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah dapat menerima keputusan tersebut.
Cuma, kedua-dua calon yang kalah ini tidak pula membuat desakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya menerima kemenangan KJ itu kerana menghormati suara demokrasi dalam Umno.
Cukup malang bagi orang Melayu dalam Umno, jika mereka tidak dapat menerima hakikat, yang lebih undi, itulah yang menang dan yang mana dapat kurang undi, mereka kalah!
Di Perak, ketika Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak memohon pembubaran Dewan Negeri, khabarnya Sultan bertanya berapakah ADUN yang bersama Mohamad Nizar.
Disebabkan ketika itu Mohamad Nizar hanya mempunyai 28 ADUN (kerusi) manakala BN dan ada tiga ADUN Bebas menyokong BN mempunyai suara 31, maka Sultan khabarnya bersetuju untuk menerima Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menjadi Menteri Besar dan tidak memperkenankan permintaan Mohamad Nizar supaya Dewan dibubarkan!
Berbalik cerita KJ, beliau menang dengan jumlah undi yang besar mengalahkan dua calon lain yang masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk. Kesemua mereka, termasuk KJ adalah YB. Maka, jika yang menang diminta meletakkan jawatan hanya kerana perasaan benci, ini bukan amalan demokrasi.
Cukup mudah jika sesiapa tidak mahu kalah dalam pemilihan atau pilihan raya. Jangan bertanding, insyaAllah, kita tidak akan kalah. Kalau kita bertanding, bersedialah menerima keputusan perwakilan atau pengundi, menang atau kalah.
Lazimnya, yang mendapat undi lebih, walaupun satu undi lebih, merekalah yang menang dan yang mendapat undi kurang, merekalah yang kalah!
Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir KJ menang kerana undinya dikira sejak pagi walaupun perwakilan yang membuang undi sekitar 400 orang sahaja. Dia mungkin bermaksud, ada penipuan barangkali dengan kemenangan itu.
Tetapi, ingatkah Dr. Mahathir, ketika dia menang dengan kelebihan 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan tahun 1987 dahulu, tiba-tiba berlaku ‘blackout’ . Apakah Dr. Mahathir tidak bersyukur kerana berlaku ‘blackout’ tersebut hingga menyebabkan dia menang 43 undi?
Cuba lihat siapakah yang membuat desakan supaya KJ mengundurkan diri. Kalau tak silap, namanya Hishammudin Yahya dari Pergerakan Pemuda Umno Putrajaya.
Katanya, dia ni budak Khir Toyo. Dia memang tidak menyokong KJ. Maka, disebabkan dia mahu membuktikan yang dia masih setia dengan Khir Toyo, maka dia bersuaralah membuat desakan tersebut. Ini cerita yang dijaja ke sana ke mari sejak peristiwa itu berlaku.
Kata mereka yang faham sepak terajang politik Pemuda, Hishammuddin tidak bekerja cukup kuat untuk memenangkan Khir Toyo sebaliknya segala kemudahan dan bantuan yang dia dapat dari Khir Toyo digunakan untuk mencari kemenangan sendiri sebagai Exco Pemuda.
Bila keputusan Khir Toyo kalah, Hishammuddin yang merupakan orang kuat Khir Toyo sepatutnya menolak kemenangannya sendiri kerana tidak ada gunanya dia menang jika ‘bossnya’ kalah. Namun, kesetiaan yang ada pada diri Hishammudin terhadap Khir Toyo tidak menyebabkan dia sanggup menyelam dan lemas bersama-sama.
Dulu, ketika KJ menang kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, ada orang menyindir kemenangannya kerana bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Maknanya, mereka memang tidak mahu menerima hakikat bahawa KJ mempunyai aura sendiri hingga boleh menang dan bertahan dengan kemenangannya itu. Sebenarnya tidak ramai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang mampu naik ke kerusi ketua, kecuali Najib dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hari ini, bila Najib sudah jadi Presiden Umno, melalui kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pemuda, kemudian diikuti Hishammuddin Hussein yang sudah berada di kerusi Naib Presiden Umno selepas melalui pelbagai ujian di kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pemuda, ramai pula yang cemburu jika KJ juga akan mencontohi Najib dan Hishammuddin.
Kepada mereka yang mahu melihat KJ terkeluar dari kerusi Ketua Pergerakan Pemuda, sabarlah. Tunggu hingga tarikh pemilihan Umno akan datang dan lawanlah! Tapi, ingat ini demokrasi. Kalau sedia masuk gelanggang, bersedialah menerima keputusan pemilihan yang bakal dibuat oleh perwakilan.
Janganlah jadi manusia yang bila bertanding tidak dapat menerima keputusan. Ingat, bila kita bertanding tetapi tidak bersedia menerima keputusan, bermakna kita tidak mempunyai fikiran yang normal. Mental kita tidak stabil.
Saya masih ingat ketika satu ceramah agama diadakan di sebuah surau di kampung saya, seorang pendengar bertanya kepada pemberi ceramah. Soalnya, bagaimana mahu mengelak diri kita (perempuan) daripada dimadukan?
Maka penceramah itu menjawab, jangan berkahwin. InsyaAllah, jika puan tidak berkahwin, sampai bila-bila pun puan tidak akan dimadukan. Malahan, insyaAllah puan tidak akan bergelar janda dan tidak dianiaya suami yang tidak bertanggungjawab!
Dari jawapan itu, maka sesiapa yang tidak dapat menerima kekalahan, lebih baik jangan bertanding dan jika mereka tidak bertanding, insyaAllah, sampai bila-bila pun mereka tidak akan kalah dan tidak akan dikalahkah oleh sesiapa!
Kepada KJ, saya mencadangkan supaya lebih tabah untuk menjadi pemimpin besar suatu hari nanti. Semua halangan dan ujian ini akan mematangkan saudara kerana jika Dr. Khir Toyo dan Mukhriz mampu kalahkah, siapalah Hishammudin Yahya yang mendesak saudara berundur!

Tiada ulasan: