Ahad, 7 Februari 2010

Adun Behrang: Hanya 2 orang enggan salam sejak saya keluar PKR

Oleh G. Manimaran dan Clara Chooi

KUALA LUMPUR, Feb 7 — Tindakan mereka membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang berusia 11 bulan awal tahun 2009.

Bagaimanapun kedua-dua bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu (gambar) sehingga kini masih berpendirian tegas apa yang menimpa Pakatan Rakyat bukan kerana salah mereka.

Sebaliknya Jamaluddin dan Osman menyalahkan kelemahan kepimpinan PKR dan barisan pemimpin utama dalam kerajaan Pakatan Rakyat sendiri yang menyumbang kepada ‘tragedi’ itu.

“Orang Umno datang kepada kami untuk mengucapkan terima kasih tetapi saya sentiasa memberitahu mereka, jangan ucap terima kasih kepada kami. Ucap terima kasih kepada (bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad) Nizar (Jamaluddin) dan ucap terima kasih kepada Pakatan Rakyat.

“Kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerana mereka, bukan kerana kami, saya atau Osman,” kata Jamaluddin, bekas timbalan pengerusi dan bendahari PKR Perak kepada The Malaysian Insider sempena setahun perubahan kerajaan negeri Perak.

“Pada peringkat awal memang ada yang marah, ada rakyat yang marah.

“Tetapi saya suka memberitahu mereka yang marah dengan saya, datang jumpa saya dan bertanya mengapa saya berbuat demikian (keluar)... tanya mengapa kami keluar PKR.

“Kalau mati pun, Tuhan akan tanya kita kesalahan yang kita lakukan kan... jadi dalam hal ini, saya minta mereka yang marah, datang jumpa saya dan tanya kami.

“Bagi mereka yang datang, apabila saya memberi penjelasan mereka pun faham mengapa saya mengambil tindakan ini dan Kapten Osman keluar parti,” kata Jamaluddin, bekas posmen yang kemudiannya menceburi bidang perniagaan.

Beliau masih menafikan cakap-cakap bahawa dibayar berjuta ringgit untuk mengkhianati PKR.

Adun Behrang itu meneruskan ceritanya bahawa selepas setahun berlalu hanya ada dua orang yang tidak mahu bersalam dengan beliau.

“Sokongan kepada saya masih sama... cuma dua orang yang tidak mahu bersalam dengan saya, dulu (peringkat awal keluar PKR) dan baru-baru ini seorang... seorang dari kampung saya dan seorang lagi ahli PAS.

“Saya menghulurkan salam, tetapi dia tidak mahu terima... tak mengapa... saya masih boleh pergi ke masjid, ke surau seorang diri, jumpa orang ramai di kedai-kedai kopi... tiada masalah,” kata beliau.

Kedua-dua Adun Bebas ‘mesra BN’ ini berkata mereka masih merasakan kecewa dengan PKR, parti yang mereka terlibat secara langsung sejak hari pertama penubuhannya lalu dikembangkan seperti yang ada pada masa sekarang.

“Ia sesuatu yang sangat menyedihkan, ya betul. Saya merasakan sangat kecewa dengan situasi sekarang,” katanya.

Jamaluddin berkata walaupun setahun sudah berlalu dan keadaan kelihatan tenang sekarang, beliau seringkali merasakan tempoh bersama PKR sebagai sesuatu yang sia-sia.

“Kami rasa tenang tetapi menyesal kadangkala. Selepas begitu lama bersama PKR, masa saya, perjuangan saya, kesemuanya hilang begitu sahaja hanya kerana beri satu surat mengatakan saya telah meletakkan jawatan,” katanya.

“(Penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) adalah idola saya. Ya, itu memang betul. Beliau adalah idola saya tetapi apabila saya melihat sikap dia yang sebenar, keadaan berubah,” katanya.

Krisis Perak bermula awal Februari 2009 apabila khabar angin mula tersebar bahawa kerajaan PR tidak kukuh sebagaimana disangka.

Dua bersaudara Ngeh-Nga dari DAP didakwa menentukan kesemua dasar dan keputusan dibuat oleh kerajaan dan Nizar pula didakwa sebagai menteri besar boneka.

Ia disusuli dengan kehilangan Jamaluddin dan Osman sejak 31 Jan, 2009 dan mereka didakwa akan menyertai BN.

Oleh itu apabila pada 3 Feb mereka mengemukakan surat keluar PKR dan mengisytiharkan sokongan kepada BN, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan banyak pihak.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider kedua-dua Jamaluddin dan Osman mendakwa mereka tidak pernah merancang untuk keluar PKR ataupun mengosongkan kerusi mereka.

“Kami hanya marah dengan cara kerajaan diuruskan. Banyak keputusan tidak dimaklumkan kepada kami.

“Hanya tiga orang dalam kerajaan terlibat dalam membuat keputusan. Apakah perasaan anda? Lebih-lebih lagi, kepimpinan PKR adalah lemah dan tidak pernah bertindak untuk menjaga kami,” kata Jamaluddin sambil mendakwa kerajaan negeri dibentuk hasil kerjasama tiga parti, bukannya tiga individu.

Oleh katanya, untuk memberi pengajaran kepada Pakatan Rakyat kedua-dua mereka memutuskan untuk “pergi bercuti” buat sementara pada akhir Januari 2009 dengan harapan kerajaan negeri pimpinan Nizar akan berubah.

“Kami tidak pernah berhasrat untuk keluar parti. Kami tinggal di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur sepanjang masa mereka mendakwa kami sudah hilang,” kata beliau.

Osman pula berkata, tidak seorang pun termasuk Nizar dari kerajaan negeri Pakatan Rakyat mencuba untuk “memanggil kami dan berbincang dengan kami.”



Jamaluddin mengakui rancangan mereka cuma mahu melepaskan jawatan exco kerajaan negeri dan bukannya keluar PKR dan Pakatan Rakyat.

“Jika mereka gagal untuk berubah, kami hanya merancang untuk melepaskan jawatan Exco Kerajan Negeri.

“Tetapi apabila kepimpinan PKR menyerahkan surat letak jawatan tidak bertarikh kepada (bekas speaker) V. Sivakumar, kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Oleh itu kedua-dua Adun berkenaan menggambarkan mereka “dihalau dari rumah.”

“Bukan saya keluar rumah, tetapi dihalau dan PKR yang minta saya dan Kapten Osman keluar rumah (PKR)... misalnya kalau ada orang sakit di rumah kita, kita mesti membantu mereka dengan mengubati mereka, bukannya minta mereka keluar rumah,” ujar Jamaluddin.

Jadi apabila dihalau dari rumah, bagaimana boleh kembali ke rumah yang sama, tanya Jamaluddin menjawab soalan sama ada beliau masih berhasrat untuk kembali ke pangkuan PKR.

“Memang sampai sekarang pun masih ada usaha untuk meminta kami kembali ke PKR... sukar untuk kembali, sebab kami dihalau,” katanya lagi.

Jamaluddin dan Osman juga mendakwa kesemua yang berlaku adalah sebahagian daripada rancangan disusun Anwar untuk mengeluarkan mereka dari persekitaran politik negeri dan menggantikan dengan orang lain.

“Apa yang kami dengar ialah Anwar mahu Mustaffa Kamil dan Ismail bertanding dalam pilihan raya kecil dan jika menang, dia (Anwar) mahu mencetuskan masalah dalam kerajaan Pakatan negeri dan menggesa agar Mustaffa menggantikan Nizar sebagai menteri besar,” dakwa Jamaluddin.

Mustaffa Kamil Ayub baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak manakala Ismail Yusof merupakan bekas pengerusi PKR negeri.

Difahamkan Mustaffa Kamil, merupakan pemimpin PKR pilihan Anwar, kemungkinan dinamakan sebagai Menteri Besar Perak akan datang jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum dengan PKR mengatasi kerusi PAS.

“Ini adalah sebab mengapa kami terpaksa meninggalkan (PKR). Saya yakin dengan parti tetapi pemimpin-pemimpinnya lemah.

“Anwar hanya mengambil berat tentang diri beliau dan orang-orangnya. Apabila ada orang-orang macam ini, parti akan musnah,” kata Jamaluddin.

Berdasarkan keputusan 8 Mac, PKR mengatasi PAS dari segi jumlah kerusi yang diperoleh tetapi wakil PAS dilantik sebagai menteri besar. PAS memperoleh enam kerusi manakala PKR pula tujuh kerusi.

Menurut Jamaluddin, dalam satu pertemuan di rumah Anwar, ketua pembangkang itu mengatakan bahawa beliau akan dinamakan sebagai menteri besar dengan sokongan pemimpin-pemimpin PKR negeri.

“Saya tolak, masa itu juga saya memberitahu Anwar saya tidak mahu menjadi menteri besar. Jadi macam mana boleh kata saya kecewa kerana tidak mendapat jawatan menteri besar,” kata beliau sambil mendakwa ada seorang pemimpin PKR yang kalah dalam pilihan raya, kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, mengemukakan namanya sebagai calon menteri besar.

Jamaluddin mendakwa usaha itu dikatakan berterusan sehingga memaksa dirnya keluar PKR.

“Pemimpin PKR Perak ini tidak sabar, cepat mahu jadi Yang Berhormat (Exco atau Menteri Besar Perak)... suruh saya mengosongkan kerusi.

“Akhirnya apabila saya jadi wakil rakyat Bebas, semua tidak dapat... sama-sama rugi sebab dia tidak sabar,” katanya.

Osman juga berkata keputusan untuk meninggalkan PKR adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan tetapi akhirnya membawa sedikit ketenangan dalam hidupnya.

Ketika ditanya sama ada mereka bercadang untuk menyertai Umno kedua-dua mereka ketawa besar sambil berkata, terlalu awal untuk menjawab soalan seperti itu.

Bagaimanapun Osman masih berminat untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Jamaluddin yang berpegang pada pendekatan mesra rakyat Tan Sri Isa Samad yang kembali aktif berpolitik dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan pula berkata: “Siapa tahu, kemungkinan kami diminta supaya bertanding semula, jika benar apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu calon tempatan bertanding.”

Bagaimanapun beliau enggan mengatakan sama ada beliau bersedia untuk bertanding atas logo Umno.

Kedua-dua mengakui walaupun sebahagian masa mereka dihabiskan dengan menghadiri kes mahkamah, tetapi tidak pernah tertinggal daripada meluangkan masa untuk menemui pengundi mereka setiap minggu.

“Apa yang penting ialah kita dekat dengan orang ramai. Kami membuat mereka sebagai kawan kami dan fokus untuk memberi khidmat kepada mereka, bukannya bergantung pada isu-isu politik,” kata Jamaluddin.

Osman, Jamaluddin, ahli perniagaan Usaili Alias dan dua orang lagi iaitu juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos 2008.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos 2008 di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

(Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/)

Tiada ulasan: