Ahad, 7 Februari 2010

Abdul Aziz Berhak Tuntut Semula Jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kangar

KANGAR, 5 Feb (Bernama) -- Bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Kangar, Abdul Aziz Abdul Majid yang dibebaskan daripada tuduhan memiliki ganja oleh Mahkamah Majistret di sini semalam berhak menuntut semula jawatannya yang telah dilucutkan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, mahkamah telah membuat keputusan bahawa Abdul Aziz tidak bersalah dan Umno Perlis tidak menghalang beliau menuntut semula jawatan yang telah dilucutkan dua tahun lepas.

Sejak berhadapan dengan kes mahkamah dua tahun lalu, jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Kangar dipangku oleh naib ketuanya, Areff Affandy Ariffin.

"Kita akan merujuk dengan pihak Umno pusat untuk mendapatkan pengesahan mengenai status beliau (Abdul Aziz) dari segi perlembagaan parti, termasuk khidmat nasihat undang-undang berhubung hasratnya itu," kata Md Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar ketika ditemui di sini pada hari Jumaat.

Semalam, Majistret Noorhisham Mohd Jaafar menggugurkan pertuduhan memiliki ganja ke atas beliau selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.

Abdul Aziz dituduh memiliki 0.8 gram dadah jenis ganja pada 10 Oktober 2007 kira-kira jam 1.10 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 2, Jalan Kaki Bukit dekat sini.

Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis berkata pihaknya tidak mempunyai halangan untuk menerima Abdul Aziz jika beliau dibenarkan semula menjadi Ketua Pemuda Umno bahagian Kangar.

Sementara itu Abdul Aziz berkata beliau akan menuntut semula jawatan yang disandangnya sejak Oktober 2008 untuk membolehkannya berkhidmat dalam parti Umno melalui sayap pemuda.

Katanya beliau berhadapan dengan keadaan yang memeritkan sejak menghadapi tuduhan itu dan kini merasa lega selepas dibebaskan daripada tuduhan.

Abdul Aziz juga telah menemui Md Isa semalam bagi memaklumkan mengenai keputusan mahkamah terhadapnya selain menyatakan hasrat untuk menuntut jawatannya yang hilang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: