Sabtu, 9 Januari 2010

Terengganu Timbang Wujud Skim Ganjaran Kepada Pemain Setia


KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan menimbang untuk memperkenalkan satu skim ganjaran atau kenaikan gaji pemain-pemain bola sepak yang setia kepada pasukan Terengganu pada masa akan datang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan bola sepak Terengganu bagi membincangkan perkara itu.

"Kami sedang fikirkan cara untuk mengadakan satu skim bagi pemain-pemain bola sepak (sebagai ganjaran) atas sikap mereka yang setia kepada pasukan Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kontrak pegawai dan pemain bola sepak Liga Super Teregganu dan penajaan Pronic 2010 di sini Rabu.

Beliau berkata skim berkenaan bukan sahaja diberikan kepada pemain-pemain kelahiran Terengganu, tetapi kepada mana-mana juga pemain yang menunjukkan kesetian mereka kepada pasukan Terengganu.

Sementara itu Menteri Besar memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberikan bonus atau ganjaran sekiranya Terengganu membawa pulang salah satu piala yang dipertandingkan dalam Liga M musim ini.

Pertandingan Liga Super tahun ini menyaksikan Terengganu diwakili dua pasukan iaitu pasukan negeri dan pasukan kelab bola sepak daerah Kuala Terengganu atau T'Team.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan memberikan bantuan mencukupi kepada pasukan Terengganu dan T'Team dalam mengharungi Liga M yang semakin mencabar itu.

"Jadi masalah kewangan bagi membiayai pasukan atau membayar gaji pemain-pemain tidak timbul sama sekali bagi negeri Terengganu," katanya sambil menyuarakan harapan agar pemain-pemain Terengganu dapt memberikan komitmen jitu kepada pasukan serta menjaga nama baik pasukan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: