Rabu, 2 Disember 2009

Najib Tidak Akan Jumpa Chin Peng

Oleh ZULKIFLI ABD. RAHMAN

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak tidak akan berjumpa dengan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng berhubung dengan hasratnya untuk kembali ke Malaysia.

"Tidak ada keperluan untuk saya berjumpa dengannya (Chin Peng)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC) di sini pada Rabu.

Najib berkata beliau tidak akan terbang ke Haadyai untuk bertemu dengan Chin Peng, sebagai menjawab kenyataan bekas setiausaha agung PKM itu yang ingin bertemu Perdana Menteri semasa mengadakan lawatan ke Selatan Thailand minggu depan untuk memohon dibenarkan kembali ke Malaysia.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan untuk membenarkan Chin Peng untuk balik ke Malaysia perlu mengikut suara ramai.

Katanya, beliau sendiri akan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh orang ramai.

"Saya kena ambil kira perasaan orang. Kalau orang suka tiada masalahlah, tapi kalau orang tak suka apa nak buat," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat LIMA 2009 di sini hari ini.

Diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor bahawa Chin Peng berhak kembali ke Malaysia sekurang-kurang secara lawatan sosial di bawah Perjanjian Damai Haadyai, Dr Mahathir berkata perjanjian itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

"Kena terang dengan orang ramai dahululah, kata dah janji," katanya.

Isu mengenai Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak.

Bagaimanapun perkara itu dibantah keras oleh ramai orang, khususnya bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis dahulu.

Kerajaan telah pun menyatakan pendirian bahawa ia bertegas tidak akan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang.


(Dipetik dari mstar.com.my)

Tiada ulasan: