Rabu, 2 Disember 2009

Muhyiddin Nafi Dakwaan Yong Mengenai Cubaan Pengaruhi Rakyat Sabah

SANDAKAN, 2 Dis (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee kononnya kerajaan pusat mengikuti jejak penjajah British dengan mempengaruhi minda penduduk negeri itu.

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan pusat sentiasa berlaku adil dan komited untuk membangunkan Sabah supaya setanding dengan negeri-negeri lain daripada segi pembangunan.

"Kita tidak akan menganaktirikan mana-mana negeri. Kita akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Nampaknya beliau ketinggalan zaman dan tidak peka kepada perkembangan terkini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sri Libaran dekat sini Rabu.

Ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan SAPP bahagian Putatan dan Petagas 1 Selasa, Yong berkata Kuala Lumpur mempengaruhi rakyat Sabah sejak sekian lama agar kerajaan pusat dapat mengambil kesempatan terhadap kekayaan hasil bumi Sabah dan rakyat negeri itu dinafikan pelbagai peluang termasuk jawatan dalam perkhidmatan Persekutuan di negeri itu.

Sambil menolak dakwaan itu, Muhyiddin berkata kerajaan pusat telah memberi peruntukan yang adil kepada Sabah dan Sarawak terutama dalam membangunkan kawasan luar bandar.

"Sebenarnya Sabah mempunyai simpanan (daripada segi kewangan) yang besar dan di bawah Datuk Seri Musa Aman (Ketua Menteri) yang pandai mengurus ekonomi, ia meletakkan pentadbiran negeri ini di landasan yang betul," katanya.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri mahu melihat anggota komponen Barisan Nasional terutama di Sabah supaya terus bekerjasama dan sefahaman.

"Kita mahu parti kita kuat dan kukuh....tiada perbalahan dan tiada masalah. Ada beberapa parti dalam BN yang kini ada masalah yang mungkin akan memberi kesan negatif kepada kita dan rakyat.

"Sebab itu, langkah proaktif perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Muhyiddin berkata Sabah akan terus menjadi kompoenan penting kerajaan pusat.

"Saya dan Perdana Menteri akan sentiasa melihat dan memberi perhatian khusus kepada apa juga yang diperlukan oleh negeri ini terutama dalam konteks pembangunan," katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik tahun depan dan juga menekankan pentingnya rakyat memahami dan menyelami aspirasi gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Muhyiddin yang diringi Musa kemudian melawat tapak kawasan hab pendidikan untuk kawasan pantai timur Sabah seluas 542 hektar di km 16, Jalan Labuk di Sungai Batang, yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sibuga.

( Dipetik dari www.bernama.com)

Tiada ulasan: