Jumaat, 25 Disember 2009

Minta Undi untuk BN : Apa salahnya?

Oleh Zainal Yusof

HARI cuti ini saya habiskan masa di rumah. Selepas habis membaca akhbar harian, saya buka komputer, melayari internet. Alangkah terkejutnya saya apabila saya terbaca satu tulisan bertajuk ‘Pelajar Cemerlang Dirasuah Ahmad Said’ dalam harakahdaily.net.
Bersama-sama ini saya siarkan tulisan tersebut yang membuktikan betapa bodohnya manusia yang menganggap apabila Menteri Besar ada meminta undi dari ibu bapa pelajar yang menerima sumbangan dari Yayasan Terengganu, itu sebagai rasuah.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bukan memaksa atau ada aku janji atau ada bai’ah dengan ibu bapa pelajar yang cemerlag ini tetapi beliau meminta, undilah BN dalam pilihan raya akan datang – apakah itu suatu perbuatan yang salah?
Otak orang Pas ini, apabila ada pemimpin BN bercakap, mereka anggap semuanya salah. Kalau orang Pas yang bercakap, semuanya betul. Ini masalah mental mereka sebenarnya. Meminta adalah hak Datuk Ahmad Said, terserahkan kepada pengundi untuk memberi (mengundi) BN atau pun tidak.
Samalah dengan perbuatan doa. Doa itu, adalah meminta dari Allah. Terserahkan kepada Allah untuk memberi atau pun tidak. Memperkenankan atau pun tidak. Kenapa salah pula Menteri Besar meminta undi?
Kalaulah Menteri Besar sebelum ini meminta undi dengan cara berkias atau berlapik, itu cara bekas Menteri Besar. Janganlah samakan bekas Menteri Besar dengan Menteri Besar. Ini berbeza. Bekas Menteri Besar, bukan lagi Menteri Besar tetapi Menteri Besar yang ada sekarang adalah Menteri Besar, ketua kepada parti yang beliau wakili.
Apa pun caranya, berlapik atau beralas, menyindir atau berpantun, Menteri Besar mempunyai niat yang tulus ikhlas, bahawa tiada mengira anak penyokong Umno (BN) atau anak penyokong Pas (DAP dan PKR) kesemuanya mendapat sumbangan atas kejayaan mereka dari Yayasan Terengganu.
Atas keprihatinan Menteri Besar yang memberi peruntukan besar untuk pembangunan insan dan pelajaran di Terengganu, sepatutnya Menteri Besar Terengganu tidak perlu berselindung lagi betapa di bawah pentadbiran dan pemerintahan BN di Terengganu, nasib pelajar-pelajar dan keluarga misikin sentiasa mendapat pembelaan.
Malangnya, bagi mereka yang menyokong Pas, mereka tidak tahu berterima kasih. Masing-masing terkagum dengan cerita agama yang dibawa pemimpin Pas, kononnya segala-gala boleh datang sendiri tanpa perlu perancangan dan pentadbiran yang telus.
Itulah sebabnya, ada seorang ADUN Umno (BN) yang pernah bersama-sama Geng 10 atau 10 Budak Hitam menyerang Menteri Besar kononnya berlaku rasuah dalam pemberian kurma dan air zam-zam dalam bulan Ramadan yang lalu. Sudahlah mereka tidak boleh melakukannya, difitnahnya pula pemimpin yang ingin melakukan kebajikan.
Layaklah ADUN Umno ini kalau dia bersama-sama penyokong Pas, yang menyifatkan apabila ada ucapan yang meminta undi, segala kebaikan dianggap sebagai rasuah. Di bawah ini disiarkan semula tulisan yang tersiar dalam harakahdaily.net 25 Disember 2009 yang lalu.

Pelajar cemerlang dirasuah Ahmad Said



KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.(Harakahdaily.net)

1 ulasan:

Fazli Salleh berkata...

Sepatutnya cakaplah "sokonglah kerajaan". Jika laporan Harakahdaily ini betul, maka memang salah.

Adakah duit yang dihulur itu adalah dari duit poket orang BN? Jika ya, tidak mengapa. Tetapi jika duit sumbangan tersebut ialah hasil negeri yang disumbang oleh setiap pembayar cukai baik dari penyokong UMNO atau PAS, maka tindakan Ahmad Said itu sungguh tercela.

Tak salah minta orang sokong BN tetapi biarlah bertempat. Jangan jadi monyet.