Jumaat, 25 Disember 2009

Din Adam : Kenapa tendang bola ke gol sendiri?

Oleh Malek Saiful Muda

SEJAK sebulan lebih yang lalu, saya memikirkan krisis atau kemelut politik Terengganu sudah selesai kerana tidak banyak isu kedengaran – lebih-lebih lagi berkiatan dengan 10 Budak Hitam atau Geng 10 yang pernah mengemparkan negara, dengan isu memboikot persidangan DUN.
Sangkaan itu rupa-rupanya kurang tepat. Hari ini, ia terbongkar kembali. Rupa-rupanya air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya. Salah seorang dari anggota 10 Budak Hitam, Datuk Din Adam sudah mendapat gelaran baru, sebagai penjaring gol sendiri dalam pasukan bola.
Siapa yang memberi gelaran itu? Blogger Hambali Abdul Latif dalam tulisannya baru-baru ini menyifatkan Din Adam, bekas Exco Belia dan Sukan dalam era kepimpinan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar sudah menjadi ‘penjaring gol sendiri’.
Rekod yang ada pada Din memang kurang menarik untuk disebut. Maklumlah, dia yang dikatakan cukup rapat dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri yang sudah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, masih menjadi ‘musuh dalam selimut’.
Kalau dalam armada perperangan, bahaya ada anggota yang berpendirian seperti Din. Suatu ketika dia mencaci Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di depan Hishammuddin, dia kemudiannya dia diberi jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Hishammuddin.
Ramai juga yang pelik kenapa Din boleh terima jawatan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri sedangkan dia pernah ditawarkan jawatan Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, tetapi dia menolak dengan biadap.
Macam mana boleh disebut sebagai menolak jawatan dengan biadap? Dia tidak bercakap terus kepada Menteri Besar yang dia tidak dapat menerima tawaran tersebut, sebaliknya menyampaikan keengganan dia menerima tawaran itu kepada orang lain, supaya disampaikan kepada YAB Menteri Besar.
Tepatlah kalau perwakilan Umno dalam bahagian Dungun menolak Din daripada menjadi ketua bahagian. Ini kerana Din tidak sedar dek untung. Dia lupa dataran. Dia hilang hemah. Dia ego dan akhirnya, dia bermain bola tetapi menjaringkan ke gol sendiri. Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Hambali Abdul Latif lewat tulisannya itu.
Tiba-tiba Din risau kerana ada syarikat melombong besi di Bukit Besi. Dia hairan mengapa dia sebagai ADUN Bukit Besi tidak diberitahu mengenai perlantikan tiga buah syarikat itu. Kata orang Melaka, “lu sapa nak kena beritahu lu kalau kerajaan negeri mahu melantik mana-mana syarikat untuk mengusahakan perlombongan itu,”
Mungkin Din terlalu sibuk d Kuala Lumpur. Maklumlah, Din sekarang menjadi Pegawai Khas kepada Hishammuddin.Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin memang memerlukan ramai Pegawai Khas. Dulu pun, ketika Hishammuddin menjadi Menteri Pelajaran Malaysia, dia adalah satu-satunya menteri yang cukup ramai pegawai khas, termasuk seorang Ketua Pegawai Khas.
Eloklah Menteri Besar menyindir Din dengan kata-kata, Yang Berhormat pun lama dah tidak ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), maka banyak bendalah yang Yang Berhormat tidak tahu. Tinggi keMelayuan Menteri Besar Terengganu ketika bercakap. Memang Melayu, menyampaikan kemarahan atau teguran melalui sindiran.
Mudah-mudahan, Din yang pernah melantik Abdul Mubin Ismail menjadi pembantu khasnya di Pejabat Exco Belia dan Sukan Terengganu faham secara mendalam teguran dan ingatan Menteri Besar itu. Janganlah kerana Din makan gaji dengan Hishammuddin, Din sanggup menyerang Menteri Besar yang sentiasa mahu bekerja untuk rakyat Terengganu.
Jika Din melihat ADUN Alor Limbat yang sering mendabik dada mengatakan dia bukan ADUN Cap Ayam menyerang Menteri Besar, usahlah Din terikut-ikut rentaknya. Apakah Din dan Alias mahu membuktikan di depan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa mereka adalah jaguhan yang masih bertaji macam ayam laga.
Dulu, kedua-dua mereka ini adalah antara 10 Budak Hitam yang tidak menghadiri persidangan DUN atau dalam bahasa yang lebih mudah memboikot persidangan DUN.
Blogger A. Kadir Jasin pernah mengelarkan mereka ini sebagai ADUN-ADUN yang cetek pemikirannya.
Namun, atas arahan Perdana Menteri, kesemua ADUN-ADUN yang mendakwa keselamatan mereka terancam berdedai-dedai masuk dewan, kononnya setelah ada jaminan dari CPO Terengganu yang keselamatan mereka terjamin.
Bukan sedikit orang yang tertawa dengan keletah 10 Budak Hitam ini. Malahan, ada yang bergurau memberitahu monyet, kera dan lotong pun tersenyum apabila mendengar khabar bahawa 10 Budak Hitam cuba untuk berlaku biadap dengan Baginda Sultan Terengganu.
Barangkali, mereka lupa bahawa tiada sejarah pernah membuktikan apabila Istana bertelagah dengan orang politik, Istana tewas!
Din kena belajar sejarah ini sebelum bermain bola sepak dalam arena politik.

Tiada ulasan: