Sabtu, 26 Disember 2009

10 budak hitam: Boikot..senyap...serang

oleh Safar Jumaat

PERSIDANGAN DUN Terengganu baru-baru ini menjadi medan ‘10 Budak Hitam’ yang khabarnya sudah tinggal empat sahaja menyerang Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said, sekaligus mengesahkan kata-kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kemelut politik Umno Terengganu sudah selesai, sebagai tidak betul.

Mereka masih belum puas hati dengan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar masih kekal walaupun pelbagai usaha menjatuhkannya dijalankan, termasuk menggugat kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Mula-mula, mereka memboikot persidangan DUN. Alasan yang digunakan ketika memboikot persidangan itu, mereka menerima SMS bernada ugutan yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Tindakan memboikot itu selesai dengan campurtangan Perdana Menteri (PM) yang mengarahkan kesemua ‘10 Budak Hitam’ mesti menghadiri persidangan.

Lebih menarik, Menteri Besar ketika ditanya wartawan adakah beliau akan memujuk ’10 Budak Hitam’ ini supaya menghadiri persidangan DUN, dengan bersahaja menjawab, “tidak sama sekali.”

10 Budak Hitam merasakan mereka sudah berjaya dalam usahanya ‘menjatuhkan’ Ahmad apabila jawatan Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri terlucut. Besorak-sorai mereka ini dengan perkembangan itu dan mengharapkan jawatan Menteri Besar juga akan terlucut.

Gerakan mereka ini akhirnya menyebabkan Hishammuddin menjemput semua ketua-ketua bahagian dan semua ADUN-ADUN BN mengadakan pertemuan dengannya dalam dua sessi di Pejabat Menteri Dalam Negeri.

Khabarnya, salah seorang anggota ‘10 Budak Hitam’ mencaci kepimpinan Ahmad di depan Hishammuddin yang didengari sendiri Ahmad dan Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut sumber, Ahmad tidak sedikit pun menjawab untuk mempertahankan dirinya sebaliknya mendengar dengan penuh sabar cacian dari salah seorang orang kuat ‘10 Budak Hitam’ ini.

Mereka melakukan semua ini dengan harapan Hishammuddin akan melantik pegawai-pegawai Badan Perhubungan Umno Negeri dari kalangan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka tahu hubungan Hishammuddin dengan Idris dikatakan cukup intim – namun apa yang mereka mahukan tidak terjadi.

Pusingan kedua, 10 Budak Hitam menghadiri persidangan DUN tetapi kesemuanya ‘menjahit mulut’ tanda memprotes. Ahmad ketika memberi komen tentang sikap berdiam diri 10 Budak Hitam ini dengan kata-kata, “sudah ada perubahan terhadap mereka ini. Dulu mereka tak datang langsung, sekarang mereka dah datang,”

Dengan lain perkataan, strategi yang diatur 10 Budak Hitam nampaknya tidak menjadi. Apa sahaja mereka buat, Ahmad menganggapnya sebagai positif. Maknanya, Ahmad tidak terganggu dengan karenah 10 Budak Hitam. Ini yang menyebabkan 10 Budak Hitam terpaksa merubah strategi dengan menghadiri persidangan dan bercakap.

Kali ini mereka bukan sekadar bercakap, malahan menggunakan ‘ledakan bom’ – meminjam kata-kata Ahmad (Harakah muka surat N8, Bil 1499 – 25-27 Disember 2009 bertajuk Sidang Dun Terengganu kembali ‘panas’ ADUN BN ‘serang’ MB Terengganu) ketika menjawab serangan dari ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah dan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam dalam persidangan baru-baru ini.

Paling ketara, sebelum ini sudah kedengaran ‘10 Budak Hitam’ mengadakan pertemuan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi usaha mereka untuk melompat tidak mendapat sambutan.

Tidak pula diketahui apakah ada ‘amaran secara senyap’ dari Kuala Lumpur terhadap ‘10 Budak Hitam’ ini kerana selepas mereka mengeluarkan kenyataan mahu melompat parti, seolah-olah ‘lompatan’ mereka tidak melepasi palang yang diletakkan di hadapan mereka.

Apakah strategi 10 Budak Hitam ini akan bertukar lagi selepas ini apabila mereka kemudiannya dilibas oleh Ahmad ketika menjawab serangan dan ledakan bom ini? Atau, mereka akan menggunakan strategi senyap dengan menjadikan Kuala Lumpur tempat mereka memburuk-burukan kepimpinan Ahmad?

Dari mereka yang rapat dengan Ahmad mendakwa, dari 10 ADUN yang menentang Ahmad ini, sudah enam ADUN kembali bersama-sama Ahmad dan tidak mahu lagi terlibat dengan ‘10 Budak Hitam’ yang berketuakan Idris Jusoh.

Tidak hairanlah jika hanya Alias dan Din sahaja yang kelihatan beria-ia sangat bercakap dalam persidangan DUN kali ini, itu pun selepas Din dikatakan diberikan jawatan di Kuala Lumpur oleh Hishammuddin, sebagai ‘upah bertukar haluan’ dari tidak menyokong Ahmad kepada menyokong Ahmad.

Sambil bergurau, seorang penganalisis politik di Kuala Lumpur membuat komen, kononnya keberanian Din itu sebagai ‘persembahannya’ di hadapan Idris yang turut memerhatikan gelagat 10 Budak Hitam. Siapakah yang masih ‘lulus ujian’ dan siapakah yang sudah meninggalkan Idris kerana ‘kembali ke pangkal jalan’.

Din mungkin mahu terus ‘hidup di depan Idris, terus hidup di depan Hishammuddin’ dan tidak apalah jika terpaksa ‘menjadi cacing kepanasan’ bila berdepan dengan Ahmad. Maklumlah, Din mungkin merasakan dia lebih layak menjadi Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad kerana di bawah pentadbiran Idris, Ahmad dan Din adalah Exco Idris.

Din lupa, Ahmad adalah orang lama dalam Umno/BN Terengganu yang menyebabkan Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan, beliau adalah yang paling senior di kalangan ADUN-ADUN Terengganu yang ada sekarang, termasuk Idris.

Namun kenyataan Ahmad yang mengatakan beliau paling senior tidak dihiraukan Idris dan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka memang tidak dapat menerima Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu kononnya kerana Ahmad bukan dipilih atas kehendak pucuk pimpinan parti sebaliknya Ahmad hanya dikehendaki Istana Terengganu.

Itulah sebabnya, ada ADUN BN Terengganu yang sanggup mengoncang pagar istana kerana mahu menunjukkan protes kepada pihak istana, bahawa mereka tidak bersetuju dengan kehendak istana tetapi mahu Idris atau Datuk Rosol Wahid atau Din atau Alias atau, si anu-si anu boleh jadi MB Terengganu, asalkan bukan Ahmad

(Dipetik dari http://harakahdaily.net)

3 ulasan:

Insan berkata...

Setiausaha Kerajaan Gagal Beri Fakta Yang Betul Kepada Rosol dan Alias
Wajarkah Setiausaha Kerajaan tidak mengetahui kereta kerajaan negeri yang hilang ? Tapi amat parah lagi beliau gagal memberi fakta perjawatan sebenar mengenai pertukaran dan penempatan pegawai TCS yang beliau sendiri menandatangani arahan pertukaran berkenaan.
Apakah ini berlaku kerana beliau tidak memberi tumpuan dalam mengetuai Pentadbiran Negeri di bawah Ahmad Said. Amat mengejutkani apabila Dato'Haji Mokhtar Nong bersama sama kumpulan yang tidak sukakan Ahmad Said di Motel Desa Bukit Pak Apil dipertengahan tahun ini. Sepatutnya sebagai ketua pentadbir beliau berkecuali dari pertembungan politik di negeri ini.
Dalam sidang DUN Terengganu yang lalu YB Alias Alur Limbat telah bangkitkan isu pegawai 48 di bayar jusa dan pegawai 54 diletakan pada 'sarang' 48 secara sensasi menggunakan kekebalan DUN. Setelah dicabar oleh Ahmad Said supaya bercakap diluar dewan bagi memberi keadilan kepada pegawai yang dituduh Rakan seperjuangan yang merupakan saki baki budak hitan , Dato' Rosol telah menyambut cabaran Ahmad Said dengan buat pendedahan dalam laman blognya mengenai maklumat yang telah disensasikan dalam sidang DUN itu bagi mengambarkan pentadbiran Ahmad Said berada dalam caca merba.
Selaku orang yang sebelum ini bersama sama di Bukit Pak Apil, mereka patut berbincang dengan Setiausa Kerajaan terlebih dahulu samada betul atau tidak dari segi peraturan atas apa yang Pentadbiran Negeri lakukan. Setiausaha Kerajaan juga perlu merujuk kepada Pengurusan Sumber Manusia samada perkara yang sama beliau sendiri lakukan secara peribadi atau bersama matan Menteri Besar.
Terjadi di sebuah Yayasan, pengarahnya dinasihat untuk bersara awal di masa matan MB. Seorang Pegawai TCS Gred 48 telah dilantik mengganti Pengarah Yayasan berkenaan. Setiausaha Kerajaan Sendiri melalui jawatankuasa Perjawatan Yayasan itu telah memberi kelulusan kepada Pengarah gred 48 itu dibayar Jusa. Dikatakan keputusan ini tidak pernah disahkan oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan berkenaan serta tidak diangkat kepada Pentadbiran Negeri bagi persetujuan Pihakberkuasa Kewangan Negeri.
Pembayaran Jusa kepada pegawai TCS juga dilakukan diperingkat Persekutuan. Seorang TCS Gred 48 telah dipinjamkan ke peringkat persekutuan menjadi ketua jabatan (Pengelola) dan di bayar gaji Jusa. Perkara ini tidak pernah disensasikan kerana diperingkat Persekutuan, Ketua Pentadbirnya ada masa untuk semak perintah am dan peraturan yang berkaitan malah tidak pernah menyembelahi kumpulan penentang bos nya.

Insan berkata...

MB merupakan Pihakberkuasa Kewangan Negeri yang diberi kuasa perundangan oleh Akta Acara Kewangan dan Arahan Perbendaharaan meminda perjawatan, bukan “sarang”. DSIJ semasa meneraju negeri telah memberi taraf Jusa kepada YDP MPKT, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri. Selepas menganti DSIJ, Ahmad Said mengekalkan semua anugerah DSIJ kepada pegawai TCS . Oleh itu tiada isu bagi SUSK dibayar Jusa kerana mengikuti kelulusan sebelumnya. Perkiraan perbezaan puluhan ribu ringgit satu angka yang sengaja disensasi daripada insan yang tiada pengalaman mentadbir . Oleh itu isu yang dibangkitkan oleh Alias dan Rosol samada dibuat tanpa ilmu mentadbir atau penerusan fitnah dan konspirasi ?
Disamping mengekalkan apa anugerah yang telah DSIJ beri kepada pegawai TCS, Ahmad said menambah lagi kemudahan kepada pegawai TCS. Apabila Dungun dinaik taraf kepada Perbandaran, Yang Dipertua Dungun dan DO Dungun telah diberi kemudahan Jusa bersama dengan DO Kemaman. Oleh itu sekiranya Setiausaa Kerajaan memberi penerangan yang betul dalam pre concil, tidaklah Alias membazirkan masa dalam DUN mensensasikan perkara tidak benar dan Rosol pula membazir masa dalam blognya. Banyak masa yang diperlukan mereka untuk menganti masa terbuang sebelum ini dalam usaha menjatuhkan Ahmad Said untuk tugasan hakiki mereka kepada kawasan DUN yang mereka diamanahkan oleh pengundi.
Dalam blognya Dato' Rosol nyatakan isu Pegawai N 54 diletakan pada 'sarang' N 48, perkara ini disensasikan. Perkara ini tak sepatutnya disensasikan kerana dilakukan oleh oleh Pentadbiran bagi membangun kawasan Rosol sendiri. Seorang pegawai kanan 54 telah yang berpengalaman dari segi pentadbiran, perancangan dan pembangunan telah diletakan mengetuai sebuah Jabatan penting disitu. Ini selaras dengan hasrat Ahmad Said untuk majukan Tasik Kenyir menjadikan kawasan pelancongan. Tasik yang indah ini telah 30 tahun ketinggalan pembangunannya . Sekiranya Kenyir berjaya dibangunkan sebagai kawasan pelancongan, pengundi Rosol pasti mendapat limpahannya. Tidak ketinggalan juga hasrat Ahmad Said untuk menyediakan sebuah bandar baru Ajil yang Rosol jadi Tok Wakilnya. Semua ini dibuat berdasarkan kepada keperluan. Pegawai berkenaan tidak kerugian dari segi pendapatan malah untung kerana mendapat elaun pegawai pinjaman, elaun mesyuarat penuh dan jawatankuasa.
Tapi apa yang berlaku zaman sebelum ini semasa Rosol menjadi exco, Mohtar Nong juga sebagai Setiausaha Kerajaan yang mana mereka menggunakan kuasa secara luar biasa . Bayangkanlah seorang TCS 54 telahpun dianugerah Dato’ yang pernah menjadi Timbalan SUK dan Pesuruhjaya Agama ditempat pada tempat yang tiada "sarang", beliau ambil keputusan bersara awal dan sekarang dalam tindakan mohon gantirugi dari kerajaan di mahkamah, begitu juga dengan pegawai TCS 54 bekas DO dijerok tanpa 'sarang'hingga ‘sekarang’. Tiga Pengarah dari Bandaraya diletakan di Jabatan tanpa "sarang" ada yang hingga sekarang. Bekas DO yang pernah dibayar Jusa juga ditempatkan kejawatan yang tiada "sarang". Seorang lagi pegawai TCS N 54 diletakan menjaga Air di "sarang" lebih sempit . Pegawai paling kanan dari SEDC bersara kerana tidak hendak masuk "sarang" takut diperam.

Insan berkata...

Lebih menakutkan lagi Pegawai-pegawai kanan, Skim VSS telah diperkenalkan yang sama sekali bertentangan dengan perundangan yang terpakai kepada pegawai awam. Beberapa pegawai TCS yang kanan kanan telah hampir menjadi mangsa dan dah pun tak lena tidur malam. Lebih mendukacita lagi ramai anak muda calon TCS yang telah berjaya dalam ujian bertulis dan temuduga serta menerima surat tawaran "sarang" (jawatan), malah telah ada yang lapor diri, telah ditarik balik dan dibatalkan surat tawaran "sarang" (jawatan) kepada mereka.
Kegagalan Setiausaha Kerajaan beri penjelasan kepada ADUN ini menyebabkan mereka bercakap secara tiada ilmu di sidang DUN bagi tujuan mensensaisikan perkara ini dengan mengutuk pegawai yang tidak mempunyai kapasiti untuk memberi jawapan kepada sidang dewan. mereka telah menyalahgunakan kekebalan mereka dalam DUN yang mulia. Khusus bagi menunjukan kepada tuan tuan mereka bahawa pentadbiran Ahmad Said yang sebenarnya amat popular dan di amat senangi oleh rakyat bawahan ini digambarkan sebaliknya.
Harap Setiausaha Kerajaan Negeri akan berubah dan memberi sokongan padu kepada Menteri Besar selaku bosnya sebagaimana kesetiaan kepada MB terdahulu bagi memastikan Terengganu terus maju dengan Bajet yang telah diluluskan.
Yang lebih penting lagi saki baki Budak Hitam ini patut terimalah hakikat. Ikutilah jejak majoriti Budak Hitam yang balik ke pangkal jalan sekiranya ikhlas ingin melihat parti yang mereka dokongi itu bertapak lagi di negeri Darul Iman. Jangan lagi mengikuti jejak penjual ubat kurap.
Apakah mereka ini berfikir jika UMNO jatuh dari negeri ini, mereka akan menjadi pemimpin yang akan dilantik menjadi pengawal kepada berbilion Wang Ehsan hasil Petroleum sebagaimana di zaman PAS memerintah dulu ?