Rabu, 25 November 2009

Timbalan MB Kelantan berpeluang cerah ganti Nik Aziz?


Oleh Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR, Nov 25 — Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Ahmad Yaakob dilihat sebagai calon "terbaik" buat masa sekarang untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jika beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Pemimpin-pemimpin PAS dan penganalisis berpendapat Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mempunyai kelebihan berbanding calon-calon lain dari negeri itu.

Selepas 19 tahun mengetuai kepimpinan pentadbiran negeri, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS malam tadi membayangkan barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.

Nik Aziz tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Nik Aziz enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Dua hari lalu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan menggesa agar Nik Aziz menamakan penggantinya ketika pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau yang sudah tahun ke-19, terus dibelenggu isu demi isu.

Isu terbaru berkaitan dengan menantu Nik Aziz yang telah diminta melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Selain Ahmad, dua nama lain yang disebut-sebut ialah Timbalan Pesuruhjaya II negeri itu Datuk Husam Musa dan Mohd Amar sendiri.

Husam juga dilihat sebagai "anak emas" Nik Aziz.

Mengambil kira formula Nik Aziz bahawa dari segi hiraki PAS Kelantan, orang nombor dua ialah Ahmad. Malah beliau juga merupakan nombor dua dalam Kabinet pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu The Malaysian Insider, daripada tiga nama itu Ahmad dilihat berada di senarai teratas.

"Apabila anda bercakap mengenai satu pelan peralihan, ada tiga kriteria yang anda mesti beri pertimbangan. Pertama ialah aspek kekananan. Kedua ialah pengalaman dalam kerajaan dan ketiga pula persepsi politik.

"Daripada tiga kriteria ini, Ahmad Yaakob merupakan lebih kanan dan juga Timbalan Menteri Besar. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam kerajaan tetapi yang lebih penting beliau memenuhi keperluan yang ketiga," katanya.

Prasyarat ketiga memerlukan seseorang calon mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang Ahmad sedia miliki, kata Mujahid.

Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar pada tahun 2004 juga menikmati sokongan daripada pelbagai puak dalam lingkungan PAS Kelantan, tambah Mujahid.

Bagaimanapun prasyarat ini dilihat sebagai satu kekurangan kedudukan Husam yang merupakan lulusan ekonomi.

Meskipun dilihat sebagai rapat dengan Nik Aziz, Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri dilihat dikelilingi banyak musuh termasuk daripada kumpulan yang didakwa memihak kepada usaha dan kerjasama PAS-Umno dalam soal kerajaan perpaduan.

Pada Jun lalu, Husam, bekas Naib Presiden, tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh Nasharudin Mat Isa sejak 2005.

"Jadi Ahmad Yaakob dilihat sebagai pengimbang antara pelbagai puak dalam PAS Kelantan dan seorang calon yang mampu untuk menstabilkan parti di negeri itu," kata Mujahid lagi.

Sementara itu, Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa juga melahirkan pandangan yang serupa.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Abdul Aziz berkata mengambil kira kedudukan Ahmad sebagai Timbalan Menteri Besar beliau mempunyai kelebihan untuk menggantikan Nik Aziz.

Abdul Aziz percaya bahawa karakter Husam yang bersifat introvert dan lemah dari segi skil komunikasi serta lantang “menyerang” kumpulan yang konservatif dalam parti telah melahirkan banyak musuh di sekitar beliau.

Oleh itu kata Abdul Aziz, pelantikan beliau hanya akan memburukkan permusuhan di negeri itu.

Pun begitu apa pun boleh berlaku dari sekarang. Nik Aziz dilihat mempunyai “pengaruh” dalam menentukan penggantinya termasuk membuat rombakan Kabinet negeri.

(di petik dari http://www.themalaysianinsider.com)

1 ulasan:

Che Leh Jangok berkata...

Tak jadi lagu tuh. Kalu dio nak undur pun mesti dio keno jamin dulu Husam ayam tambatan dio jadi joro. Dok kae nak tinggal 'gatong 'gituh.

Tapi dok jadi laa... bia lah habih omo atas kerusi tu. Payoh nok mudah mudah undur tuh.