Rabu, 18 November 2009

Isu DUN Kota Siputeh : Muhyiddin kecewa, isu Geng 10 kenapa ‘ditatang’


Oleh Malek Saiful Muda

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melahirkan rasa kecewanya dengan apa yang berlaku di DUN Kota Siputeh, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku kekosongan di situ.

Ini berikutan ketidakhadiran Datuk Abu Hassan Sarif dua kali berturut-turut di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah menyebabkan Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membuat beliau membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Dalam kes ini, Abu Hassan perlu dipersalahkan oleh BN kerana dia sudah menjadi ADUN kawasan itu sejak empat penggal yang lalu tetapi seolah-olah tidak tahu peraturan Dewan hingga menyebabkan dia kehilangan kerusi itu secara ‘tidak sengaja’.

Amatlah silap jika benar-benar berlaku kekosongan dan pilihan raya kecil perlu diadakan, pucuk pimpinan BN masih mahu meletakkan Abu Hassan sebagai calon BN di sini kerana dia sudah tidak layak mewakili BN lagi kerana ‘dia kurang sihat’ sebagai seorang ADUN.

Menjawab pertanyaan wartawan beberapa ketika dahulu, Abu Hassan secara loyar buruknya berkata, “nak sakit tidak tahu bila. Jadi macam mana nak maklumkan lebih awal kepada Speaker.”

Akhirnya, inilah akibatnya dan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Muhyiddin kecewa dengan tindakan Abu Hassan ini, bagaimanakah dengan perangai Geng 10 ADUN di Terengganu yang secara sengaja memboikot Persidangan DUN dalam bulan April lalu?

Malahan, seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu yang sudah didakwa di mahkamah atas dakwaan menghantar SMS palsu hingga menyebabkan tiga ADUN dari Geng 10 membuat laporan polis, masih tidak digantung keahlian Umnonya seperti orang-orang lain yang pernah didakwa di mahkamah.

Kalau tindakan Abu Hassan yang dikatakan sakit pun mengecewakan Muhyiddin, tetapi tindakan Geng 10 yang memboikot Persidangan DUN dikatakan ‘ditatang’ pucuk pimpinan di Kuala Lumpur hingga menyebabkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang disandang Datuk Ahmad Said dilucutkan dan diberikan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kalau tindakan Abu Hassan mengecewakan, kenapa tindakan 10 ADUN di Terengganu kelihatan seperti ditatang bagai minyak yang penuh. Sebahagian dari Geng 10 diberikan jawatan dalam parti di peringkat negeri, dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri dan macam-macam lagi termasuk dilantik menjadi Pengerusi Penyelaras DUN yang turut mempunyai kuasa melantik JKKK dan APMT.

Tindak-tanduk mereka ini (Geng 10) adalah tindak-tanduk pengkhianat sebenarnya. Walaupun tiada ada pengisytiharan kekosongan kerusi DUN seperti yang berlaku di DUN Kota Siputeh, tetapi mereka ini (Geng 10) sudah keterlaluan hingga mengadakan perbincangan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat Terengganu dan mereka yang mengikuti perkembangan politik tanahair tentunya hairan ketika Muhyiddin kecewa apa yang berlaku di DUN Kota Siputeh, tetapi mereka di Kuala Lumpur memberi layanan istimewa kepada Geng 10 termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dipercayai menjadi ketua kepada kumpulan pengkhianat ini.

Apa perlunya mengekalkan Idris sebagai Pengerusi MARA jika dia tidak tahu menghormati Perlembagaan (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri) Negeri Terengganu dengan terus menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di Terengganu?

Tiada ulasan: