Khamis, 29 Oktober 2009

Seminar : Aziz Bari bakal menyuarakan idea Husam?


Oleh Zamzuri Damanhuri



BAGI Pas, mereka tidak akan mengadakan EGM tetapi menggantikannya dengan Seminar Khas yang bakal dihadiri 1,000 perwakilan, sebenarnya satu usaha untuk menyampaikan ‘idea Husam Musa’ melalui Prof Aziz Bari yang memulakan kemelut dalaman parti itu.

Bagi mereka yang sudah lupa, mereka akan terus melupakan siapa sebenarnya Aziz Bari yang suatu ketika pernah menjadi moderator dalam debat antara Husam dengan Khairy Jamaluddin.

Ketika itu, Husam Musa yang tercunggap-cunggap dibelasah Khairy Jamaluddin cuba diselamatkan Aziz Bari dan bagi mereka yang tahu, sejak peristiwa itu hubungan antara Husam dengan Aziz Bari dikatakan cukup rapat.

Apabila tersiar tulisan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya yang mengatakan ‘dua tiga kerat’ pemimpin Pas yang perlu dibersihkan (disingkirkan), ramai yang menuding jari mengatakan itu bukan pandangan dan tulisan Nik Aziz.

Ada yang mengatakan Husam Musa yang mempengaruhi Nik Aziz tetapi Husam kemudiannya menafikannya. Ketika Setiausaha Agung Pas mengadakan siding akhbar mengenai perlu atau tidak EGM, Datuk Mustafa Ali berkeras mahu Nik aziz menghadirkan diri di Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Pas atas kapasitinya sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan.

Nik Aziz yang pada awalnya enggan hadir dan memberi mandate kepada Naib Presiden, Salahuddin Ayob menyampaikan pandangannya kepada Mesyuarat Khas tersebut akhirnya mengesahkan mahu hadir dan hairan mengapa Dewan Tertinggi Pas tidak mengundang sama Aziz Bari dalam mesyuarat tersebut kerana Azizlah orangnya yang mencetuskan perkara ini.

Hari ini, Mesyuarat Khas yang diadakan di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur menggantikan EGM dengan Seminar Khas dan Aziz Bari akan diundang untuk memberikan ucaptama atau mungkin membentangkan kertas kerja.

Siapa Aziz Bari dalam Pas? Kenapa Aziz Bari menyerang Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul hadi Awang? Kenapa pandangan Aziz Bari amat-amat dipersetujui dan disukai oleh Nik Aziz? Apa kaitannya Nik Aziz-Husam-Aziz Bari?

Lebih menarik, Pas mengulangi pendirian tidak akan berunding lagi soal-soal Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Banyak pihak melihat pendirian Pas itu seperti yang diumumkan Hadi adalah kerana mahu menjaga hati Nik Aziz. Jika pendirian itu tidak diulangi, Hadi mungkin menjadi sasaran serangan Nik Aziz sekali lagi kerana Nik Aziz dan hadi kini ‘berlainan arah’ dalam soal bersama Anwar Ibrahim dan Pakatan Pembangkang.

Sebenarnya, ribut yang berlaku dalam Pas tidak disangka-sangka. Ketika Nik Aziz pernah menerima kehadiran Nasharudin Mat Isa yang pernah dimintanya supaya mengosongkan kerusi Parlimen Bachok yang dimenanginya dalam PRU 12 yang lalu, rupa-rupa masih ada dendam di hatinya.

Dendam itu, dakwaan banyak pihak mengatakan bahawa Nik Aziz kecewa apabila Husam tewas di tangan Nasharuddin dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas.

Kata mereka yang mendakwa tahu hasrat tersebut, Nik Aziz mahukan ‘orang Kelantan’ menjadi Timbalan Presiden kerana ‘politik Pas lebih gemilang di Kelantan’ daripada Terengganu.

Nik Aziz juga dikatakan sungguh kecewa apabila Hadi menggantikan Kamaruddin Jaafar dengan Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung Pas, kerana suara ‘orang Kelantan’ semakin berkurangan dalam Pas.

Tiada ulasan: