Isnin, 12 Oktober 2009

Kemenangan Isa di Bagan Pinang – Lembaga Disiplin Umno perlu dibubar


Oleh Zainal Yusof

SAYA tahu, ketika ini, mereka yang rajin membuat komen akan membuat komen yang berbaur mengampu pucuk pimpinan dengan slogan 1Malaysia.
Mereka bergembira dengan kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kerana kejayaan ini adalah kejayaan cukup besar dan paling bermakna buat Umno dan BN selepas tujuh siri pilihan raya kecil, mengecewakan.
Fokus tulisan ini ialah, pengundi di Bagan Pinang sebenarnya menghantar mesej kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno, supaya membubarkan Lembaga Disiplin Umno yang pernah menjatuhkan hukuman pengantungan terhadap Mohd Isa selama enam tahun.
Letih penceramah Pas mengingatkan pengundi-pengundi supaya jangan menyokong calon yang terpalit dengan rasuah tetapi pengundi mempunyai pendirian berbeza, terus menyokong Mohd Isa dengan sokongan yang cukup besar dan mengejutkan Pas.
Walaupun ada yang mengatakan rakyat sudah menerima Gagasan 1Malaysia dan menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tetapi hakikatnya seorang insane bernama Mohd Isa yang pernah dihina oleh seluruh ahli Umno di Malaysia, kini berjaya mengembalikan semula imej dan maruah Umno dan BN.
Kesabaran dan kesetiaan Mohd Isa turut menyebabkan pucuk pimpinan tidak mempunyai pilihan lain, selain akur dengan kehendak semua Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang yang mahu menamakan Mohd Isa sebagai calon BN di Bagan Pinang.
Hari ini, Mohd Isa membuktikan, ketika dia dihukum dahulu, dia keseorangan tetapi kini, sudah semakin ramai kawan-kawan lama yang datang kemabli kepadanya sebagai penyokong dan kawan semula.
Mohd Isa pernah kehilangan jawatan Naib Presiden Umno. Jawatan itu dimenanginya dengan cukup bergaya tetapi ada orang yang mencemburuinya.
Jangan pula kemenangan besarnya di DUN Bagan Pinang ini akan mengulangi nasib serupa ketika dia menang kerusi Naib Presiden dalam tahun 2004 dahulu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan berkempen di Bagan Pinang tentunya tidak sudi mengucapkan tahniah kepada Mohd Isa atas kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil ini.
Ada dua timbalan menteri yang mentah pemikirannya, Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Saifuddin Abdullah yang turut bersependapat dengan Dr. Mahathir supaya Mohd Isa tidak dicalonkan, tentunya sedar sekarang bahawa pemikiran mereka lapuk dan tidak dipakai oleh pengundi Bagan Pinang.
Penulis lama, Tan Sri Abdullah Ahmad yang turut mencadangkan Mohd Isa menolak jika namanya dicalonkan pucuk pimpinan juga sudah menjadi penulis ketinggalan zaman apabila pengundi di DUN Bagan Pinang memberi kemenangan kepada Mohd Isa.
Blogger yang mendapat tempat di hati pengelola ruangan ‘dari blog’ Utusan Malaysia juga tentunya mencari hujah baru bagi mengatakan pandangan mereka sebelum ini masih relevan dan Mohd Isa memang tidak sepatutnya diletakkan sebagai calon BN di Bagan Pinang.
Seorang penulis bergelar ‘doktor’ di akhbar Sinar Harian juga akan mencari hujah terkini yang membolehkan dia menyakinkan dirinya sebagai seorang pengulas politik berwibawa kerana tulisannya membuktikan bahawa perasaannya tidak mampu berkata benar bagi melawan otak dan pemikiran sendiri.
Mereka ini, bolehlah menubuhkan sebuah kelab dengan melantik Dr. Mahathir menjadi Presidennya, Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas sebagai Timbalan Presiden dan dua orang Timbalan Menteri yang juga berfikiran lapuk, menjadi Naib-Naib Presiden – bagi membincangkan hala tuju pemikiran lapuk di Malaysia yang membolehkan mereka bersuara lagi – mendahului Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam menentukan calon pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.
Mereka ini, tidak sedar bahawa pembaca mentertawakan mereka dan saya memetik kata-kata Tan Sri Mohd Isa Abd Samad ketika mendengar Dr. Mahathir mengkritiknya…”saya tersenyum mendengarnya!”
Namun, Mohd Isa tidak melayan langsung pandangan-pandangan dua timbalan menteri, Dollah Kok Lanas, seorang penulis bergelar doktor dari akhbar Sinar Harian dan beberapa blogger yang ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.
Mereka ini sebenarnya tidak layak menulis tetapi mereka ingin menulis. Mereka ini merasakan mereka hebat sangat tetapi orang yang membaca tulisannya tahu…kelas apa penulis jenis ini.
Lembaga Disiplin Umno…mereka yang menganggotainya memang jelas tidak relevan lagi.

Tiada ulasan: