Oleh Zamzuri Damanhuri
AGAK lama saya tak menulis. Saya tidak menulis bukan kerana saya tidak minat menulis tetapi kerana saya banyak menghabiskan masa menyusun beberapa artikel yang menyentuh tentang politik Terengganu, untuk saya bukukan.
Kesibukan itu menyebabkan masa menulis saya agak tersekat. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, banyak masa saya habiskan di surau kerana mahu sama-sama merebut peluang beribadat kerana Allah menjanjikan ganjaran besar jika kita melakukannya.
Namun, apabila saya membaca beberapa blog mengenai kemelut politik Umno Terengganu sudah nampak jalan penyelesaian, apabila ada lima ADUN yang selama ini bersama 10 ADUN yang terbabit memboikot persidangan DUN Terengganu, sudah menghulurkan salam perdamaian dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Bersyukur saya membaca berita itu dan saya mengharapkan ia adalah berita benar dan saya mendoakan semoga ia menjadi kenyataan. Sungguh besar jiwa lima ADUN tersebut kerana pepatah Melayu ada menyebut ‘sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan’.
Tidak ada apa yang hendak dimalukan. Mereka tidak harus meneruskan niat buruk untuk menggugat kestabilan politik Terengganu. Rakyat Terengganu mengharapkan pembelaan. Rakyat Terengganu akan lebih selesa jika Menteri Besar mereka juga selesa.
Jika Menteri Besar memperolehi keselesaan, maka banyaklah ideanya ditumpukan untuk terus membangunkan modal insan di Terengganu setelah Terengganu sebelum ini dikhabarkan terlalu ghairah membangunkan infra dan projek-projek mewah.
Datuk Ahmad memilih langkah lebih bijak apabila beliau menterjemahkan 1Malaysia kepada 1Terengganu, di mana rakyat didahulu. Ketika beliau diserang hebat, beliau tidak mampunyai masa untuk melayan semua itu, sebaliknya terus bertindak mendampingi rakyat.
Hari ini, ketika Perdana Menteri berulang-ulang kali menyeru wakil-wakil rakyat mendekati rakyat bagi merasai denyut nadi rakyat, Datuk Ahmad Said sudah dan sedang melaksanakannya. Beliau akan berjumpa sesiapa sahaja dan bersedia bila-bila masa, turun padang tanpa membawa banyak slogan termasuk slogan Islam Hadhari, Terengganu Bistari.
Bayangkan, kalau beliau tidak diganggu, lebih banyak sudah berjaya dilaksanakannya selama lebih setahun menjadi Menteri Besar. Di luar Terengganu, imejnya dirosakkan oleh mereka yang menentangnya. Namun, Datuk Ahmad bukan pemimpin melatah. Walaupun beliau mengetahuinya tetapi beliau tidak mengambil kesempatan untuk melayan semua isu ini.
Kalau kita ke Terengganu, kita boleh bertanya dengan rakyat Terengganu tentang perbezaan kepimpinan Datuk Ahmad dengan bekas-bekas Menteri Besar terdahulu. Jauh bezanya. Bayangkan, ketika Datuk Ahmad sanggup mencabar pembangkang kerana menuduh Terengganu lebih zalim dari Yahudi, dalam zaman beliau menjadi Menteri Besar, kawan-kawannya sendiri menjadi Yahudi.
Apa tidaknya, ketika Datuk Ahmad berhempas pulas menjalankan pentadbiran di Terengganu, mereka yang berperangai Yahudi ini ke hulu ke hilir membawa cerita buruk kononnya Terengganu akan hancur jika Datuk Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar. Mereka yang mencaci Menteri Besar ini sebenarnya mempunyai banyak masa terluang di Kuala Lumpur dan sesekali ke Indonesia, kerana mereka tidak berminat menjaga kawasan yang mereka wakili.
Inilah silapnya orang yang memilih mereka ini menjadi calon dalam PRU 12 yang lalu. Orang ini bukan sahaja tidak layak menjadi ADUN, malahan berfikiran cetek. Mereka taksub menyokong orang yang memilihnya tetapi mereka lupa, jika bukan kerana Umno dan BN, mereka tidak mungkin menjadi ADUN di kawasan masing-masing.
Saya berani melabelkan orang ini sebagai ‘pengkhianat’ kepada parti walaupun mereka merupakan penyokong kuat bekas Menteri Besar. Untuk apa mereka menjadi penyokong bekas Menteri Besar sedangkan Menteri Besar yang ada sekarang adalah orang Umno yang siang malam bekerja untuk kepentingan rakyat dan menjaga maruah parti!
Apa yang menjadi masalah ialah, apabila orang Umno sendiri melakukan kerja-kerja yang boleh merosakkan Umno. Mereka tidak pernah merasakan kepentingan Umno mengatasi kepentingan individu lain, walaupun ‘kita bukan tidak sayangkan dia tetapi kita mestilah lebih sayangkan Umno’.
Sempena menjelang Syawal ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Edul Fitr buat kelima-lima ADUN di Terengganu yang sanggup meninggalkan Geng 10 (yang kini hanya tinggal lima sahaja) demi menjaga kepentingan parti. Jangan pedulikan kita nista dari bekas kawan-kawan dalam Geng 10 kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai cukup kekuatan untuk melakukan muhasabah diri dan biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.
Mereka lupa, ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, Datuk Ahmad adalah salah seorang Exco yang cukup kuat menyokong kepimpinan Idris. Tetapi ketika Datuk Ahmad menjadi Menteri Besar, kenapa Idris tidak sanggup menjadi penyokong kepada Datuk Ahmad?
Apa dosa Datuk Ahmad kepada Idris? Lupakah Idris ketika kerajaan negeri pimpinannya dihamun oleh ADUN Pas, siapakah yang bangkit mempertahankan kerajaan jika bukan Datuk Ahmad?
Lihat sahaja apabila berlaku runtuhan bumbung stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad tidak langsung menuding jari menyalahkan Idris sebaliknya beliau mahu satu penyiasatan menyeluruh dilakukan demi menjadi keadilan.
Padahal, kalau Datuk Ahmad jenis manusia yang pendendam, sudah tentu beliau boleh menyerang pemimpin sebelumnya, iaitu Idris Jusoh dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya seperti Datuk Din Adam yang mencaci Datuk Ahmad di depan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Datuk Rosol Wahid – yang secara tidak langsung terkait dengan pembinaan stadium tersebut.
Peringkat awal runtuhan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menyebut bahawa beberapa bekas Exco akan dipanggil memberi keterangan ekoran kejadian itu tetapi setakat ini, belum kedengaran apakah status siasatan SPRM tersebut.
Khabarnya Rosol pernah menyebut dia hairan mengapa namanya dikaitkan dengan isu keruntuhan ini kerana dia tidak tahu menahu mengenainya tetapi mengakui mengenali kontraktor yang mendapat projek ini.
Satu perkara yang Idris kena tahu ialah ‘giliran’. Jika dia faham erti giliran, dia tidak akan mengelabah untuk hidup. Dia pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan di mana MARA adalah di bawahnya. Hari ini, dia dilantik menjadi Pengerusi MARA dan dia menerimanya. Maknanya, giliran dia menjadi Timbalan Menteri sudah berlalu dan kenapa pula dia tidak menolak apabila ditawarkan jawatan Pengerusi MARA jika dia merasakan ini suatu penurunan pangkat?
Ini namanya giliran. Jika dia faham, ketika dia menjadi Timbalan Menteri, ada orang lain menjadi Pengerusi MARA. Kini ketika orang lain menjadi Timbalan Menteri, dia pula menjadi Pengerusi MARA. Maknanya, dia kena terima hakikat giliran.
Di Terengganu, dia pernah dilantik menjadi Menteri Besar. Umno bersetuju, BN bersetuju dan Istana Terengganu bersetuju. Tetapi apabila giliran orang lain pula menjadi Menteri Besar, janganlah dia atau orang-orang yang menyokongnya mahu marah kepada Umno, marah kepada BN dan marah kepada Istana Terengganu. Berterima kasihlah kerana dia sudah pernah menjadi Menteri Besar sedangkan orang lain, tidak berpeluang sepertinya.
Kalau mahu dikira jasa dan dosa, Idris tidak mampu untuk menafikan dia juga ada dosa dengan Umno Terengganu yang menyebabkan ada berlaku kebakaran rumah pekerja asing di Kerteh hingga membawanya ke USA dan pemboikotan Konvensyen Umno Negeri Terengganu yang membawanya ke Jordan.
Idris boleh buat-buat lupa tetapi inilah balasannya apabila giliran sampai, yang menjadi pemimpin mempunyai tanggungjawabnya sendiri manakala yang tidak dapat jadi pemimpin, jadilah penyokong.
Bahayalah kalau setiap masa kita mahukan diri kita mendapat giliran menjadi pemimpin dan mengharapkan orang lain menyokong kita tetapi apabila orang lain menjadi pemimpin, kita tidak mahu menerima giliran menjadi penyokong!
Kepada kelima-lima ADUN, terimalah perlantikan menjadi Penyelaras DUN dan gunakanlah peluang melantik pengerusi JKKK untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan kroni sendiri. Letakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kepentingan diri sendiri.
Selamat Hari Raya Edul Fitri maaf zahir dan batin.
Selasa, 15 September 2009
Terima kasih lima ADUN yang sanggup tinggalkan Geng 10
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Khabarkan kpd beberapa ekor kambing hitam ini... tidak semua rakyat memalu gendang dan bersilat tari bersama mereka. Hanya juak2 yg kepentingan projek dan peribadi yang masih bersama mereka. Umno hanya tersebut dibibir pabila ingin meminta projek. Khabarkan kpd YB Din Adam, sifat angkuh, dungu dan sombongnya itu akan memungkinkan org2 Bukit Besi menghantarnya pulang ke Kg Jerung. Din Adam mungkin lebih selesa tinggal di bunglonya di Gong Badak. Biarkan dia di sana kerana UMNO telah memberinya kemewahan dan prestij selama ini. Hari ini, Din Adam menggigit tangan UMNO yg memberinya makan selama ini. Apakah masih harus dibela org seperti ini? Fikir-fikirkanlah.....
Catat Ulasan