(Dipetik dari http://www.bharian.com.my/)
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad berkata apa saja keputusan dibuat pucuk pimpinan parti mengenai calon pilihan raya kecil Bagan Pinang akan diterimanya dengan hati terbuka.
Beliau juga berharap semua pihak termasuk penyokongnya akur dengan keputusan itu yang akan diumumkan, Selasa depan.
“Pihak kami (Bahagian Umno Teluk Kemang) sudah mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan parti sebagai calon.
“Semuanya saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih... buat pertimbangan. Kerja pilih calon, Presiden dan Timbalan Presiden yang tentukan, siapa yang diputuskan kita terima, jadi tidak perlulah buat spekulasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata, beliau yakin Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pertimbangan yang adil dan tepat ketika memilih calon yang layak bagi memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklum balas pelbagai pihak terutama di bahagiannya sendiri yang mahu beliau dicalonkan manakala beberapa pemimpin veteran tidak bersetuju beliau dicalonkan.
Isa digantung selama tiga tahun oleh Umno sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan parti 2004.
Mengulas mengenainya, Isa berkata tiada sesiapa yang maksum (sempurna) di dunia ini selepas Rasulullah.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan membantu Umno dalam memastikan kemenangan tidak kira sama ada beliau dipilih sebagai calon atau tidak.
Di SEREMBAN, dua Ketua Umno bahagian di negeri ini berpendapat Isa adalah calon terbaik untuk mewakili BN pada pilihan raya kecil itu, walaupun ada bantahan.
Ketua Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail, berkata akar umbi di Bagan Pinang mahukan Isa dicalonkan mewakili BN pada pilihan raya kecil itu.
Pandangannya dikongsi Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Lilah Yasin, yang mahukan Isa diberi peluang untuk bertanding.
Sabtu, 26 September 2009
Isa sedia terima keputusan calon BN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan