Oleh Ahmad Ishak
AHLI-AHLI Umno sebenarnya sudah merindui ucapan dan sindiran bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sejak sekian lama. Walaupun beliau kerap juga memenuhi undangan memberi ceramah dan pidato politik di merata tempat tetapi jarang-jarang sekali media cetak arus perdana melaporkan.
Bukan kerana ucapan atau sindiran Mohd Isa sudah hilang bisanya tetapi mungkin editor media cetak tidak berminat untuk melaporkan bahan berita dari mereka yang tidak berjawatan tinggi – lebih-lebih lagi mereka seronok kalau dapat menyiarkan berita yang berbentuk krisis dan kemelut.
Hari ini, pembaca Utusan Malaysia mungkin akan terbaca kenyataan Mohd Isa yang bertajuk Jangan ganggu Presiden buat keputusan – Isa yang antara lain memetik sindiran Mohd Isa, bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang ditekan pihak tertentu melepaskan jawatannya terhadap mereka yang tidak tahu tugas masing-masing.
Katanya, semua pihak hendaklah menyerahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak untuk membuat keputusan berhubung soal calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang 11 Oktober ini.
Menurutnya, ketika ini terlalu banyak andaian dan senario sehingga tugas-tugas Presiden diambil alih oleh orang lain untuk membuat keputusan dan menentukan calon yang akan bertanding kelak.
“Biasanya di peringkat Umno bahagian kita akan menyenaraikan calon sama ada untuk pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.
“Kemudian terserah kepada Presiden untuk memutuskan calon yang sesuai bagi bertanding dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Masjid Kariah Bagan Pinang dekat Port Dickson, Jumaat, 24 September lalu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek.
Kata Mohd Isa yang disebut-sebut sebagai calon BN di kawasan itu, buat masa ini senarai nama calon belum diserahkan lagi dan apabila sampai waktunya nanti, beliau akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Tunggulah, bila saya disuruh berbuat demikian, saya akan laksanakan tugas itu. Memanglah saya akan hantar tiga nama seperti amalan biasa.
“Tak eloklah, saya nak beritahu siapa yang disenaraikan. Tak kiralah Wanita atau Pemuda dan sesiapa pun. Tunggulah pengumumannya yang akan dibuat kelak,” ujar beliau.
Beliau berkata, yang jadi masalah ketika ini terlalu ramai hendak menjadi ‘Presiden’ parti.
“Masalahnya ialah kerja Presiden orang lain hendak buat. Kerja Presiden biarlah Presiden yang buat. Kita di bahagian, buatlah kerja bahagian. Sebab itulah masyarakat jadi masalah, tak tentu arah,” kata beliau.
Ditanya apakah kenyataan beliau merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan beliau tidak layak menjadi calon di Bagan Pinang, Mohd Isa hanya tersenyum.
“orang tanya saya mengenai Tun Dr. Mahathir, saya hanya tersenyum. Itu yang boleh saya katakana,” kata beliau.- Utusan
Dalam kes ini, siapa yang Mohd Isa ‘kenen’ agaknya. Aduh, dahsyat bahasa ‘tersenyum’ yang Mohd Isa gunakan. Apa maknanya ‘tersenyum’? Tersenyum datangnya dari perkataan ‘senyum’. Senyum ini memberi erti kepada dua perkara. Pertama, setuju, kedua, geli hati bagi membayangkan rasa suka.
Dalam hal kenyataan Dr. Mahathir terhadap Mohd Isa yang dikatakan tidak layak menjadi calon di Bagan Pinang, saya penuh yakin Mohd Isa geli hati dengan kata-kata yang diluahkan oleh bekas Presiden Umno yang mungkin mahu menjalankan tugas-tugas Presiden yang ada, menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak.
Nasib baik Mohd Isa tidak ‘senyum kambing’. Kalau Mohd Isa ‘senyum kambing’ lain pula maknanya. Senyum kambing adalah senyuman yang dibuat-buat dengan tujuan mengejek. Alamak! Tentunya Mohd Isa tidak ‘senyum kambing’ kepada Dr. Mahathir. Kalau Mohd Isa ‘senyum kambing’ bererti beliau mengejek kenyataan Dr. Mahathir itu.
Maklumlah, apabila Dr. Mahathir bercakap soal politik wang, seolah-olah dia tidak tahu bahawa mereka yang bertanding dalam Umno, termasuk anaknya, Datuk Mukhriz tentunya faham bahawa ‘hulur salah, tak hulur kalah’. Namun, ramai juga yang hulur tetapi kalah! Itu yang menyebabkan Mohd Isa tersenyum barangkali.
Siapa agaknya yang paling bersih di dalam Umno ketika ini? Adakah Dr. Mohd Poad Zarkashi atau Datuk Saifuddin Abdullah yang kuat menyokong kenyataan Dr. Mahathir kononnya tidak mahu mereka yang sudah terpalit dengan hukuman Lembaga Disiplin Umno, tidak perlu dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihan raya.
Kenapa Dr. Mohd Foad dan Saifuddin tidak mencadangkan supaya Pindaan Perlembagaan yang sedang dibuat sekarang memasukkan satu klausa yang menjadikan hukuman mereka yang terlibat dengan politik wang ‘digantung dan dilarang untuk dicalonkan dalam pilihan raya’ sampai bila-bila.
Sebelum mencadangkan klausa tersebut, Dr. Mohd Poad dan Saifuddin kenalah bersumpah terlebih dahulu yang mereka juga tidak menggunakan wang ketika bertanding MT baru-baru ini hingga membolehkan Dr. Mohd Poad mengutip 1,700 undi manakala Saifuddin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh mendapat 1,619 undi.
Satu perkara lagi, Dr. Mohd Poad dan Saifuddin juga mungkin menerima hadiah ‘senyuman’ dari Mohd Isa kerana kenyataan-kenyataan yang mereka berdua keluarkan baru-baru ini membuktikan bahawa ‘budak-budak yang baru dapat jadi Timbalan Menteri’ dalam Umno ini sudah tidak memerlukan orang-orang lama seperti Mohd Isa untuk terus berbakti.
Kita tengok pusingan kedua pemilihan Umno kelak, apakah Dr. Mohd Poad dan Saifuddin boleh kekal sebagai anggota MT?
Perwakilan Umno tentunya tersenyum dengan artikel saya ini!
Sabtu, 26 September 2009
Aduh…siapa agaknya yang Isa ‘kenen’
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Isa samad .. cam ni la.. kerosakan UMNO bukan kerana ianya parti UMNO, tetapi ialah kerana orag orang seperti kamu la.. yang tak mahu berundur .... jangan samapi kamu menjadi liabiliti kepada UMNO.. jadi undur la.. bagi kepimpinan baru yang menerajui. Sokongan terhadap kamu adalah kerana BALACI, HANTU RAYA , KUDA DAN LEMBU yang dibela sekian lam.. itru sahaja...apa yang Tun katakan ada benar.. lepaskan jawatan dan berundur dan bagi kepimpinan baru. Jika tampok lama menerajui tiada apa pun perubahan yang berlaku.. masih ditakuk lama.. JANGAN JADI ORG GILA KUASA...
Catat Ulasan