Jumaat, 4 September 2009

IDRIS DAN ROSOL TIDAK HADIR

(Dipetik dari http://memobelakang.blogspot.com)


Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Idris Jusoh dan bekas Setiausaha Pehubungannya, Rosol Wahid tidak kelihatan di majlis Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini di Kuala Berang, Terengganu.


Sementara itu Muhyiddin menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut politik di Terengganu yang sudah berlarutan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Pemerhati politik berpendapat Muhyiddin lebih sesuai mengetuai UMNO Terengganu kerana dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, kumpulan 10 lebih menghormati Muhyididin daripada Hishamuddin yang lebih junior dari Idris dalam politik. Idris sudah jadi Ketua Pemuda UMNO Terengganu pada tahun 1993 sedangkan Hishamuddin baru menang Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada tahun yang sama.


Trend Timalan Perdana Menteri memimpin UMNO Terengganu pernah dirintis oleh Pak Lah apabila beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada tahun 1999.


Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau sedia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat kerana berpendapat kemelut itu lebih kepada masalah peribadi.


Katanya sejak beberapa bulan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar, telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memperbaiki keadaan tersebut.


"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.


"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini.


Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.


"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita..bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya."Saya melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kukuh dan bersatu padu...Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.


Dalam pada itu, beliau percaya tiada wakil rakyat BN Terengganu yang akan bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.


"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.


Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.


Namun begitu, beliau berkata kunjungan dan perjumpaannya dengan pemimpin Umno Terengganu adalah kritikal bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Kemelut politik Terengganu timbul selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Berikutan itu, beberapa isu timbul di kalangan pemimpin Umno Terengganu antaranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu April lepas, 10 wakil rakyat BN tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebagai "memboikot" kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.


Hishammuddin dan Ahmad turut hadir pada perjumpaan itu.Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu

Tiada ulasan: